OPPO Malaysia memperkenalkan telefon pintar paling premium terbaharunya dalam siri Reno yakni OPPO Reno16 Pro. Telefon ini tampil dengan gabungan rekaan premium, keupayaan fotografi yang dipertingkat serta pengalaman penggunaan lebih pintar menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI). Meneruskan legasi siri Reno yang sinonim dengan gaya dan inovasi, model terbaharu ini turut membawakan pelbagai peningkatan prestasi dan ketahanan.

Bahagian hadapan Reno16 Pro dihiasi paparan AMOLED berukuran 6.32 inci. Ia juga lengkap dengan resolusi 2640 × 1216 piksel serta kadar segar semula 144Hz yang menjanjikan pengalaman visual lebih lancar. Skrinnya turut menyokong kecerahan sehingga 3,600 nits. Selain teknologi 10-bit dan DC Dimming untuk paparan yang lebih jelas serta selesa digunakan dalam pelbagai keadaan pencahayaan.
Daripada aspek prestasi, peranti ini dijana cip MediaTek Dimensity 8550 Super yang dipadankan dengan memori 12GB LPDDR5X. Tidak dilupakan storan dalaman 256GB yang cukup besar dan selamat untuk semua tahap penggunaan. Ia menjalankan sistem operasi ColorOS 16 yang hadir bersama pelbagai ciri pintar. Ini termasuklah AI Snap Key yang direka bagi memudahkan pengguna mengakses fungsi kamera dan ciri AI dengan lebih pantas.
Keupayaan fotografi terus menjadi tarikan utama Reno16 Pro. Ia dilengkapi kamera utama 200MP dengan sokongan penstabilan imej optikal (OIS). Turut dipadankan lensa ultra lebar 50MP serta lensa telefoto 50MP yang turut menyokong OIS. Bagi penggemar swafoto, kamera hadapan 50MP dengan autofokus membolehkan rakaman imej yang lebih tajam dan terperinci.


Melengkapkan keseluruhan pengalaman penggunaan ialah bateri Silicon-Carbon berkapasiti 6,700mAh yang menyokong pengecasan pantas 80W SUPERVOOC. OPPO turut membekalkan ciri ketahanan IP66, IP68, IP69 dan IP69K, pembesar suara stereo berkembar, sensor cap jari optikal di bawah skrin serta sambungan Bluetooth 5.4.
OPPO Reno16 Pro kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM3,699 bagi varian 12GB RAM bersama storan 256GB.