LANGGAN

Montblanc Terus Mengangkat Seni Pertukangan Kreatif

Koleksi High Artistry: A Tribute to Craftsmanship meraikan keindahan seni pertukangan menerusi instrumen penulisan edisi terhad.
Published: July 30, 2026

Montblanc sekali lagi meraikan kemuncak seni pertukangan menerusi pelancaran koleksi terbaharu High Artistry A Tribute to Craftsmanship. Ia merupakan sebuah himpunan instrumen penulisan edisi terhad yang menggabungkan ketepatan teknikal, nilai artistik dan warisan budaya. Setiap rekaan mentakrifkan objek seni yang memperlihatkan kehalusan kemahiran artisan Montblanc yang dipupuk sejak sekian lama.

Koleksi kali ini mendapat ilham daripada falsafah pertukangan Asia, khususnya Jepun. Ia mengangkat keseimbangan, simbolisme dan hubungan harmoni dengan alam semula jadi yang boleh dilihat melalui gabungan teknik ukiran halus, lakuer tradisional, enamel, tatahan batu permata dan penggunaan material berharga. Montblanc menerjemahkan segala dedikasi terhadap ketelitian yang diwarisi daripada satu generasi ke generasi.

Perincian Koleksi

Mengetuai koleksi merupakan High Artistry A Tribute to Craftsmanship Limited Edition 1994 Coffret, diinspirasikan daripada warisan budaya Kyoto. Dihasilkan daripada resin merah vermilion yang melambangkan perlindungan dan kehidupan. Instrumen ini menampilkan motif burung jenjang yang diukir dengan teliti serta mata pena emas yang dihiasi bunga sakura. Edisi ini dihadkan kepada 1,994 unit sebagai penghormatan kepada pengiktirafan monumen bersejarah Kyoto sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1994.

Turut diperkenalkan ialah Limited Edition 333. Koleksi ini menampilkan corak tempurung kura-kura bersalut emas dan rodium sebagai simbol umur panjang. Turut disertakan bersama motif pepatung, ikan koi dan bunga kekwa yang membawa makna keberanian, ketabahan serta kemakmuran. Setiap simbol diterjemahkan melalui seni ukiran dan lakuer yang memperlihatkan ketelitian luar biasa.

Bagi Limited Edition 10, Montblanc memberi penghormatan kepada Kuil Emas Kinkaku-ji di Kyoto menerusi teknik tradisional maki-e, iaitu lapisan lakuer urushi yang disempurnakan dengan serbuk emas. Hasilnya ialah kemasan yang memancarkan dimensi dan kilauan luar biasa. Ia juga diperkaya dengan perincian jed hijau, berlian, motif buluh serta ukiran burung phoenix yang melengkapkan keindahan rekaannya.

Kemuncak koleksi ini diterjemahkan melalui Limited Edition 5 dan Limited Edition 1. Ia mempamerkan penguasaan seni enamel, ukiran emas, tatahan batu permata. Tidak dilupakan komposisi ekslusif khas tiga dimensi. Daripada ilustrasi harimau yang dihasilkan oleh artisan Van Cleef & Arpels hinggalah taman tradisional Jepun yang lengkap dengan bunga sakura, ikan koi, burung pegar dan dedaunan maple. Setiap instrumen menjadi lambang kesabaran, kemahiran dan kecemerlangan seni pertukangan.

Menerusi High Artistry A Tribute to Craftsmanship, Montblanc terus memperkukuhkan komitmennya dalam memelihara seni pertukangan tradisional sambil mengangkat inovasi moden. Koleksi eksklusif ini mula ditawarkan di butik Montblanc terpilih serta dalam talian bermula Jun 2026. Ia sekali gus menjadi bukti bahawa dunia penulisan masih mampu menjadi medium kepada ekspresi seni yang bernilai tinggi.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down