Sebagai pace car rasmi acara ELLE Men Style Run: Beat The Time, Ford Ranger Raptor memulakan pemanduan sedikit lebih awal daripada puluhan peserta di garisan mula.
Mengangkat bersama semangat tema ‘Beat The Time’, trak pikap berprestasi tinggi itu mendahului larian sejauh 5 km di The Courts, KLGCC sekali gus sebagai panduan sepanjang lima pusingan yang perlu ditempuhi semua peserta.

Sepanjang acara, Ford Ranger Raptor memastikan perjalanan larian sentiasa teratur tanpa mengganggu trafik kenderaan lain. Bergerak paling hadapan, ia menjadi penanda arah yang jelas. Khususnya ketika peserta melalui laluan berbukit dan dikelilingi pepohon yang menuntut fokus larian lebih tinggi. Fizikalnya yang besar dan mudah dilihat dari jarak jauh juga turut memberikan rujukan visual kepada peserta sepanjang larian.
Peranan Ford Ranger Raptor pada hari itu turut dipelbagaikan. Ruang muatan belakangnya dimanfaatkan oleh jurukamera, jurugambar dan kru acara untuk merakam pelbagai momen sepanjang trek larian. Daripada situ juga, bendera dikibarkan dan sorakan diberikan menggunakan mikrofon mini bagi menyuntik semangat kepada para peserta.

Selanjutnya, semasa acara larian tamat, Ford Ranger Raptor dilihat telah mencuri perhatian ramai. Identiti Ford cukup jelas menerusi gril hadapan yang menampilkan huruf besar F-O-R-D, lampu Matrix LED berbentuk C-Clamp, bampar yang dipasang terus pada casis serta pelindung bawah. Padanan rim aloi 17 inci bersama tayar BFGoodrich All-Terrain pula melengkapkan penampilan lasak yang sudah sinonim dengan siri Raptor.

Peserta turut berpeluang meninjau ruang dalaman Ford Ranger Raptor dan melihat sendiri tahap keselesaannya. Kerusi hadapan dan belakang yang diinspirasikan daripada tempat duduk pesawat pejuang menawarkan sokongan tambahan. Ia sekali gus menjadikan ruang kabin lebih bersedia untuk menempuhi apa jua perjalanan mencabar.
Jelas sepanjang ELLE Men Style Run: Beat The Time, Ford Ranger Raptor membuktikan keupayaannya sebagai sebuah kenderaan yang serba boleh. Sepanjang lima pusingan di The Courts, KLGCC, ia berfungsi sebagai penanda arah, kenderaan sokongan dan platform bergerak buat kru acara. Dengan karakter lasak, ruang yang praktikal serta keupayaan untuk mengharungi pelbagai cabaran, Ford Ranger Raptor sememangnya menjadi padanan tepat untuk mengetuai cabaran ‘Beat The Time' dan apa sahaja perjalanan seterusnya.