LANGGAN

Ombak KLCC Rai Wajah Malaysia Menerusi Program Jiwa Merdeka

Empat hari meraikan seni, warisan, muzik dan komuniti di destinasi gaya hidup berteraskan budaya pertama di Malaysia.
Published: August 31, 2026

Ombak KLCC, destinasi gaya hidup berteraskan budaya terbaharu Malaysia dan tambahan terkini dalam KLCC Precinct, kini menjadi lokasi pertemuan pelbagai wajah budaya tempatan menerusi Jiwa Merdeka. Sebuah sambutan selama empat hari yang menghimpunkan seni, budaya dan kreativiti kontemporari.

Berlangsung dari 28 hingga 31 Ogos 2026, Jiwa Merdeka membawa semangat kemerdekaan menerusi 69 aktiviti. Segalanya merangkumi seni, kraf, makanan, muzik dan komuniti bersempena ulang tahun ke-69 kemerdekaan Malaysia.

Meraikan Budaya Dalam Wajah Baharu

Jiwa Merdeka mencerminkan bagaimana budaya Malaysia terus berkembang mengikut zaman. Batik dan songket yang dahulunya sinonim dengan busana rasmi kini turut menghiasi pentas peragaan. Selanjutnya wayang kulit turut diberi nafas baharu untuk generasi yang membesar dengan anime.

Muzik menjadi antara nadi utama program Jiwa Merdeka, dengan barisan nama besar yang mewakili pelbagai generasi dan genre muzik tempatan. Sambutan dibuka oleh penyanyi legenda Malaysia, Datuk Sheila Majid. Keesokan hari diikuti persembahan Yuna, Dayang Nurfaizah, Reshmonu, Atilia, Vince Chong dan DJ Santan sepanjang tiga hari berikutnya.

Warisan Bertemu Kreativiti Kontemporari

Sepanjang empat hari sambutan, pengunjung berpeluang meneroka pelbagai perkongsian budaya Malaysia. Seni grafiti jalanan dipersembahkan di ruang concourse, sementara persembahan yoyo Cina, tarian Borneo dan bhangra menghidupkan lagi suasana.

Antara tarikan utama ialah Jiwa Merdeka Immersive Experience yang membawa tiga kawasan ikonik Kuala Lumpur ke dalam ruang Ombak KLCC menerusi pengalaman budaya yang lebih interaktif.

Little India mengetengahkan aktiviti seperti ikatan sari, seni kolam, pembuatan kalungan bunga dan persembahan tarian iringan tabla. Chinatown pula menampilkan paluan gendang Cina, seni kipas oriental, kaligrafi serta lukisan dakwat. Sementara itu, Kampung Baru menghidupkan kembali warisan Melayu menerusi tenunan songket, batik canting, congkak dan batu seremban, permainan tradisional zaman kanak-kanak.

Menyemarakkan Suasana Merdeka

Pesta Kopi Merdeka turut berlangsung di Rooftop Garden, manakala Pasar Seloka di Concourse Level menghimpunkan barisan penggiat seni, artisan dan kraf tempatan. Pada 30 Ogos, Semarak Jiwa Merdeka di KLCC pula membawa sambutan ke KLCC Park menerusi gabungan muzik, cahaya dan bunyi. Ia sekali gus menghimpunkan masyarakat untuk meraikan semangat kemerdekaan di tengah-tengah ibu kota.

Ombak KLCC: Budaya, Seni dan Gaya Hidup Dalam Satu Destinasi

Mengambil inspirasi daripada perkataan Melayu ‘ombak’, konsep tersebut turut diterjemahkan menerusi seni bina dan reka bentuk bangunan yang mempunyai akses terus ke Stesen MRT Persiaran KLCC. Merentasi tujuh tingkat, Ombak KLCC menghimpunkan seni, budaya, sajian dan pilihan runcit terpilih. Ini termasuklah Sky Garden di aras bumbung serta plaza terbuka.

Sebagai penyewa utama, Galeri PETRONAS menjadi antara elemen penting dalam pengalaman budaya Ombak KLCC. Buat masa ini, pengunjung berpeluang melihat gambaran awal ruang baharu galeri tersebut sebelum ia beroperasi sepenuhnya pada tahun hadapan. Dengan ruang yang direka khusus untuk pameran, ekspresi seni dan pertukaran budaya, Galeri PETRONAS melengkapkan ekosistem kreatif yang terus berkembang di Ombak KLCC.

Menerusi Jiwa Merdeka, Ombak KLCC membuka ruang untuk masyarakat meneroka, menghargai dan meraikan pelbagai lapisan budaya Malaysia dalam satu destinasi yang mempertemukan warisan, kreativiti dan gaya hidup kontemporari.

Share this article:
READ NEXT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down