Setiap generasi mempunyai lagu yang menjadi latar kepada hidup mereka. Bagi sesetengahnya, ia mungkin lagu yang dimainkan berulang kali daripada kaset dan CD. Bagi yang lain, ia mungkin lagu yang ditemui di gig kecil atau platform digital
Begitulah perjalanan muzik alternatif Malaysia. Ia berubah mengikut zaman tetapi tidak pernah benar-benar hilang. Bulan Oktober ini, perjalanan tersebut seakan-akan bertemu di satu titik. Odeon KL bakal menjadi pentas kepada dua persembahan yang mempertemukan nama-nama daripada era berbeza. '2 Konsert, 2 Generasi' mempersembahkan OAG dan The Times akan bergabung menerusi ‘Disko Dansa Generasiku’ sebelum FUGŌ dan Midnight Fusic mengambil alih pentas seminggu kemudian untuk ‘Panggung Sandiwara’ pada 17 Oktober 2026.


Jika berbicara tentang muzik alternatif Malaysia, nama OAG sukar untuk dipisahkan daripada era 1990-an.
Ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 1992 sebagai Old Automatic Garbage, OAG hadir dengan bunyi yang berbeza ketika muzik tempatan masih banyak dipengaruhi rock, pop dan balada. Alternative rock, fuzzy guitars dan melodi pop menjadi antara elemen yang membentuk identiti mereka.
Naza dan Mono, yang pernah menjadi sebahagian daripada barisan OAG, memilih untuk membawa haluan sendiri sebelum menubuhkan The Times pada 2004. Kumpulan itu kemudian membina identiti menerusi campuran British pop, mod, psychedelia dan rock 'n' roll, dengan sentuhan Melayu yang jelas dalam penulisan serta humor mereka.
Kembali bertemu di Odeon KL, kedua-duanya bukan sekadar berkongsi pentas, tetapi turut membawa sejarah dan perjalanan muzik yang pernah dilalui bersama.
Beberapa tahun kemudian, muzik alternatif tempatan terus melahirkan bunyi dan identiti baru.
FUGŌ, yang ditubuhkan pada 2019, hadir dengan pendekatan nu-vintage yang menjadi sebahagian daripada karakter muzik mereka. Midnight Fusic pula sudah lebih sedekad membina perjalanan mereka sejak 2013. Dengan karya seperti ‘Caramel Cream’, ‘Time Machine’ dan ‘Under The Weather’, kumpulan ini bergerak antara bossa nova, indie rock dan garage rock.
FUGŌ dan Midnight Fusic bakal berkongsi pentas dalam satu pertemuan yang sudah lama dinantikan. Kedua-dua kumpulan ini sebelum ini pernah membincangkan idea untuk bekerjasama dan konsert ini menjadi ruang untuk merealisasikan perancangan tersebut.
Apa yang menarik tentang dua persembahan ini ialah bagaimana kedua-duanya memperlihatkan kesinambungan muzik alternatif Malaysia tanpa perlu meletakkan generasi lama dan baru dalam persaingan.
OAG dan The Times membawa bersama nostalgia daripada dua era penting muzik alternatif tempatan. FUGŌ dan Midnight Fusic pula mencerminkan bagaimana generasi yang lebih baru terus bereksperimen dengan bunyi, persembahan dan identiti mereka sendiri.
Pada akhirnya, muzik alternatif bukan sekadar tentang genre. Ia tentang komuniti, pengalaman dan memori yang terbentuk di sekelilingnya.