LANGGAN

ELIE SAAB H&M - Kolaborasi Yang Merai Seni Haute Couture

H&M x Elie Saab
Published: September 3, 2026

H&M mengumumkan kolaborasi bersama pereka fesyen seterusnya iaitu ELIE SAAB yang akan mempersembahkan koleksi buat lelaki dan wanita dalam meraikan seni haute couture. 

H&M Elia Saab

Saban tahun, H&M akan tampil dengan kolaborasi bersama pereka atau jenama fesyen yang sentiasa dinanti-nantikan peminat fesyen. Kali ini, H&M mengumumkan pereka seterusnya iaitu  ELIE SAAB. Sebagai antara rumah haute couture terkemuka dunia, ELIE SAAB diasaskan di Beirut, tempat asal Elie Saab mula mencipta nama menerusi rekaan busana pengantin yang halus dan penuh perincian. Beliau kemudian menjadi antara pereka antarabangsa terawal yang diterima menyertai Chambre Syndicale de la Haute Couture, sebuah pencapaian penting yang mengiktiraf kedudukan serta sumbangannya di peringkat fesyen tertinggi dunia couture.

Rekaan Elie Saab telah menjadi sebahagian daripada pelbagai momen ikonik di karpet merah, mencerminkan visi fesyen yang berteraskan seni pertukangan, kehalusan, glamor dan kemewahan moden. Kini, dunia ELIE SAAB merangkumi koleksi couture, himpunan sedia-pakai serta aksesori.

H&M Elie Saab

Koleksi ELIE SAAB H&M bakal menampilkan visi kontemporari serta kod reka bentuk ikonik rumah fesyen tersebut. Merangkumi pakaian wanita, lelaki dan pelbagai aksesori termasuk kasut, koleksi ini mengetengahkan gaun berhias perincian mewah, helaian berkilauan serta rekaan tailoring berpotongan tajam. Perincian seperti renda halus, labuci bergradasi dan monogram ikonik ELIE SAAB turut menjadi elemen utama koleksi.

Bagi Elie Saab, kolaborasi ini merupakan sebuah penghormatan kepada mereka yang mengagumi dunia rekaannya. Selain peluang untuk menterjemahkan identiti rumah fesyen tersebut dalam perspektif baharu.

Elie Saab

“Koleksi ini dicipta untuk semua yang mengagumi dunia ELIE SAAB, dan saya berharap ia akan diterima dengan semangat yang sama seperti ketika ia dihasilkan. Saya sangat gembira dengan kolaborasi ini dan cara kami bekerjasama dengan pasukan H&M untuk menghidupkan koleksi ini. Ia benar-benar sebuah proses yang kolaboratif dan memberi inspirasi. Setiap helaian dihasilkan dengan penuh teliti dan dedikasi, menghimpunkan sebuah almari pakaian lengkap yang meraikan setiap detik dalam kehidupan seorang wanita,” kata Elie Saab.

Koleksi ELIE SAAB H&M akan dilancarkan pada 22 Oktober 2026 di H&M Avenue K serta secara dalam talian di hm.com

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down