Apple terus memperluaskan lagi ekosistem teknologinya menerusi barisan produk generasi terbaharu. Antaranya termasuk iPhone 18 Pro, iPhone 18 Pro Max, iPhone Duo, Apple Watch Series 12, Apple Watch Ultra 4 dan AirPods 5. Didatangkan dengan peningkatan daripada aspek kamera, prestasi, bateri serta ciri pintar. Rangkaian produk generasi baharu ini direka untuk menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih berkuasa dan terus diperibadikan.

Bagi iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max, antara kemuncak utama dengan kamera Fusion 48MP baharu dengan bukaan apertur boleh ubah. Ia sudah tentunya memberikan lebih kawalan kreatif ketika merakam foto. Ciri Pro Controls turut membolehkan pengguna menyesuaikan pengalaman dalam aplikasi kamera. Turut tidak dilupakan Photographic Styles yang dipertingkatkan siap dengan kawalan tekstur dan grain untuk lebih banyak pilihan dalam menghasilkan imej.
Kedua-dua model ini dikuasakan cip A20 Pro bersama sistem vapor chamber generasi baharu. Ciri ini mengekalkan prestasi tinggi dalam tempoh lebih lama, termasuk untuk tugasan AI yang dijalankan terus pada peranti. Reka bentuk bateri yang dikemas kini pula memanfaatkan kecekapan silikon untuk memberikan jangka hayat bateri yang lebih panjang. Ini membuktikan iPhone 18 Pro Max menawarkan peningkatan hayat bateri terbesar pernah ditawarkan pada model Pro.

Daripada segi video, pengguna turut boleh menggunakan kesan sinematik selepas rakaman untuk video sehingga 60fps. Kedua-dua model didatangkan dengan sistem iOS 27 dan ditawarkan dalam empat kemasan — hitam, perak, glacier serta burgundy, warna baharu untuk siri ini.

Sementara itu, Apple Watch Series 12 dan Apple Watch Ultra 4 menampilkan Health Sensing System baharu bersama cip S11. Sistem ini membawa penderiaan kadar denyutan jantung yang dipertingkatkan, bacaan kadar denyutan jantung dan heart rate variability (HRV) pada frekuensi lebih tinggi. Selanjutnya, selain ciri kesihatan serta kecergasan baharu termasuk readiness score yang membantu pengguna memahami tahap kesediaan tubuh untuk menjalani hari.
Apple Watch Series 12 menawarkan sehingga 24 jam penggunaan harian, manakala pengecasan selama 15 minit boleh memberikan sehingga 12 jam tambahan penggunaan. Untuk Apple Watch Ultra 4 pula, pengguna mendapat sehingga 45 jam penjejakan aktiviti senaman luar dan sehingga 50 jam hayat bateri untuk penggunaan harian.
Melengkapkan barisan baharu ini ialah AirPods 5, yang membawa Active Noise Cancellation (ANC) pada reka bentuk open-ear. Dengan seni bina akustik multiport baharu dan Adaptive EQ generasi seterusnya, fon telinga ini menjanjikan pengalaman audio yang lebih memuaskan. Teknologi ANC-nya juga mampu mengurangkan sehingga 50 peratus lebih banyak bunyi luaran berbanding AirPods 4 dengan ANC.

AirPods 5 dengan Wireless Charging Case turut menawarkan hayat bateri lebih panjang. Turut serta force sensor dengan kawalan leretan untuk melaraskan kelantangan — ciri pertama seumpamanya pada reka bentuk open-ear. Pengguna juga boleh memberikan respons kepada Siri menggunakan gerakan kepala.
Bagi pengguna yang mencari lebih kuasa untuk tugasan profesional, Apple turut memperkenalkan Mac mini baharu. Ia dipadukan dengan cip M6 dan M5 Pro. Dengan cip M6, Mac mini menawarkan sehingga empat kali lebih pantas untuk prestasi AI, dua kali lebih pantas dari segi storan dan grafik. Selain itu peningkatan prestasi CPU sehingga 40 peratus berbanding generasi sebelumnya.

Mac Studio pula didatangkan dengan M5 Max dan M5 Ultra, menawarkan peningkatan prestasi AI sehingga 4.3 kali ganda, storan sehingga dua kali lebih pantas, grafik sehingga 1.8 kali lebih pantas dan prestasi CPU sehingga 1.3 kali lebih pantas. Dengan sehingga 512GB unified memory, lebar jalur memori sehingga 1.2TB/s serta Thunderbolt 5, Mac Studio disasarkan kepada pengguna dengan keperluan kerja berprestasi tinggi seperti produksi kreatif, pembangunan, penyelidikan AI dan sains data.
Untuk pengguna yang mahu menaik taraf peranti, Apple turut menawarkan Apple Trade In. Ia membolehkan nilai kredit antara RM700 hingga RM5,250 bagi pertukaran iPhone 13 atau model lebih baharu. Segalanya bergantung kepada keadaan, tahun dan konfigurasi peranti yang layak.
