LANGGAN

Definisi Pengalaman Udara Sebenar Bersama Etihad Airways

Up in The Air
Published: September 22, 2026

Dari Kuala Lumpur ke Milan, penerbangan Business Suite bersama Etihad Airways memberikan definisi sebenar pengalaman mewah dengan persinggahan istimewa di Abu Dhabi. 

Abu Dhabi

Up in the air. Ada perjalanan yang sekadar membawa kita dari satu destinasi ke destinasi lain. Namun, apabila perjalanan itu bermula dari Kuala Lumpur menuju Milan untuk menghadiri Milan Men’s Fashion Week 2026, setiap detik di udara terasa seperti sebahagian daripada pengalaman itu sendiri. Kali ini, saya terbang bersama Etihad Airways iaitu syarikat penerbangan kebangsaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Business. Bagi perjalanan sejauh ini, keselesaan bukan lagi sekadar kemewahan. Sebaliknya satu keperluan terutamanya apabila destinasi terakhir ialah kota fesyen Milan dengan jadual pertunjukan yang padat.

Dari Kuala Lumpur, penerbangan membawa saya ke Abu Dhabi sebelum meneruskan perjalanan ke Milan. Namun, pengalaman ini tidak berakhir sebaik sahaja mendarat. Dalam perjalanan pulang, saya memilih untuk memperlahankan rentak dengan menghabiskan dua malam di Abu Dhabi dengan memanfaatkan Stopover Programme percuma Etihad sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

Etihad Business Class

Bagi seorang pengembara yang perlu bergerak dari satu pertunjukan ke pertunjukan lain sepanjang minggu fesyen, ruang, privasi dan kemampuan untuk berehat menjadi antara perkara paling penting ketika saya memilih penerbangan ke Milan. Di sinilah pengalaman Business daripada Etihad memberikan perbezaan. Boeing 787-9 Dreamliner generasi terbaharu menampilkan kabin yang lebih moden, luas dan elegan. Selari dengan identiti kontemporari Etihad. 

Pengalaman Business Suite Yang Terbaik

Apa yang paling menarik perhatian saya ialah kabin Business yang menawarkan akses terus ke laluan aisle bagi setiap penumpang. Tempat duduknya boleh diturunkan sepenuhnya menjadi katil sepanjang 78 inci. Satu kelebihan yang saya sangat hargai untuk penerbangan jarak jauh. Dilengkapi pula skrin TV 4K, sambungan Bluetooth, pengecasan tanpa wayar, pelbagai port pengecasan serta ruang penyimpanan yang mencukupi. Ruang ini terasa lebih seperti suite peribadi di udara berbanding sekadar tempat duduk pesawat.

Etihad

Tidak boleh dilupakan, pilihan makanan dan minuman daripada pembuka selera, sajian utama dan pemanis mulut yang cukup menyelerakan. Bagi saya, kemampuan untuk benar-benar berehat sebelum tiba di Milan membuatkan pengalaman perjalanan terasa jauh lebih ringan. Apatah lagi apabila hari berikutnya perlu dihabiskan berjalan dari satu lokasi pertunjukan fesyen ke lokasi yang lain.

Sebelum meneruskan penerbangan pulang ke Kuala Lumpur, penumpang kabin Business boleh menikmati kemudahan lounge Business Etihad yang luas dan selesa di Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed. Daripada ruang untuk berehat hingga pilihan makanan dan minuman, lounge menjadi tempat ideal untuk memperlahankan rentak sebelum kembali ke rutin harian. Malah, terdapat juga ruang khas untuk urusan daftar masuk bagasi yang menjadikan keseluruhan proses sebelum penerbangan terasa lebih lancar.

Terminal A Lounge

Bagi saya, perjalanan ke Milan untuk Milan Men’s Fashion Week 2026 bukan sekadar mengenai pertunjukan fesyen yang menanti di penghujung penerbangan. Ia bermula sebaik sahaja meninggalkan Kuala Lumpur. Dan mungkin itulah definisi sebenar perjalanan mewah hari ini. Bukan sekadar tiba di destinasi dengan lebih selesa, tetapi menikmati setiap kilometer perjalanan sebelum sampai ke sana bersama Etihad Airways. 

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down