LANGGAN

Ulasan Apple Watch 12 - Jam Pintar dengan Fungsi Kesihatan Lebih Baik

Menawarkan pengesanan kadar jantung paling tepat pada peranti boleh pakai, berfrekuensi lebih tinggi dan skor kesediaan.
Published: October 1, 2026

Setelah tiga hari menggunakan Apple Watch Series 12, pada saya perubahan paling ketara terletak pada keupayaannya memudahkan urusan harian, khususnya dalam membantu pengguna menjadi lebih peka terhadap kesihatan dan aktiviti fizikal. Pengalaman menggunakannya terasa intuitif dengan kebanyakan fungsi dan aplikasi beroperasi di latar tanpa memerlukan terlalu banyak interaksi daripada penggunanya.

Ciri Kesihatan Dipertingkatkan

Secara luaran, ia masih kelihatan seperti sebuah Apple Watch biasa, tetapi pengalaman menggunakannya memperlihatkan bagaimana pelbagai data kesihatan dikumpulkan secara berterusan dan terangkum. Antaranya seperti bacaan kadar denyutan jantung, heart rate variability (HRV), tempoh tidur dan aktiviti berjalan yang semuanya direkod secara automatik. Tambahan pula, dengan sensor kesihatan baharu, pemantauan dapat dilakukan dengan lebih kerap untuk memberikan gambaran yang lebih menyeluruh tentang keadaan tubuh sepanjang hari. Pada masa sama, paparan di pergelangan tangan menjadikan maklumat penting mudah dibaca tanpa perlu mengeluarkan iPhone setiap kali ingin menyemaknya.

Dalam tempoh singkat mencubanya juga, Dynamic Readiness menjadi antara ciri yang paling menarik perhatian saya. Daripada memaparkan terlalu banyak angka yang mungkin mengelirukan, Series 12 merumuskan tahap kesediaan pengguna daripada 0 hingga 10. Skor ini turut disesuaikan berdasarkan tahap pemulihan tubuh, lengkap dengan cadangan jika tubuh memerlukan rehat, relaks atau sudah sedia beraktiviti. Konsepnya mudah, tetapi cukup bermanfaat dalam memberikan konteks kepada data yang dikumpulkan sepanjang malam dan siang. Skor ini turut dikemas kini apabila data baharu diterima, menjadikannya lebih dinamik berbanding laporan kesihatan yang hanya diperiksa sekali sehari.

Bateri dan Pengecasan

Untuk penggunaan yang lebih aktif, peningkatan ketahanan bateri turut menambah praktikaliti Apple Watch Series 12. Dengan hayat bateri sekitar 30 jam, ia menawarkan kira-kira empat jam lebih lama berbanding Siri 11. Ia sekali gus memberikan lebih banyak ruang untuk penggunaan harian tanpa terlalu kerap memikirkan soal pengecasan. Kelajuan pengecasan yang dipertingkatkan juga membantu memastikan jam ini tidak terlalu lama ditinggalkan pada pengecas. Apple menawarkan sehingga 10 jam penggunaan ketika senaman luar dan sehingga 12 jam tambahan selepas hanya 15 minit pengecasan.

Penjejakan langkah yang dipertingkatkan pula menjadikan jam ini lebih meyakinkan sebagai teman kecergasan harian. Dalam masa sama, cip S11 membantu menjadikan pengalaman menggunakan watchOS 27 terasa lebih lancar, termasuk ketika menggunakan ciri berasaskan Siri AI. Beberapa fungsi kecil seperti Shazam dan Sound Recognition turut menambah kepelbagaian kegunaan dalam situasi seharian.

Apa yang paling memuaskan selepas tiga hari sudah tentu kebolehan Apple Watch Series 12 memantau aktiviti, melihat data kesihatan, menyemak langkah dan mengetahui tahap kesediaan tubuh tanpa membuatkan pengguna terasa perlu sentiasa memeriksanya. Dalam konteks itu, Series 12 cukup sebagai sebuah peranti yang sentiasa bersedia memberikan maklumat kepada penggunanya apabila diperlukan.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down