LANGGAN

The Hype Is Real: Berbaloi Ke Beratur Demi Jenama Tempatan?

Apa yang membuatkan SVG Worldwide menjadi rebutan?
Published: October 26, 2026

SVG Worldwide, diterajui oleh Muhammad Ashraf Khairul Anuar, 36 berjaya mencipta identiti tersendiri menerusi pendekatan streetwear yang berani, kreatif dan dekat dengan cita rasa gen Z. Setiap pelancaran koleksi bukan sekadar memperkenalkan rekaan baharu, malah turut membangkitkan keterujaan dalam kalangan peminat yang ingin mendapatkan keluaran eksklusif jenama tersebut. Namun, di sebalik sambutan luar biasa ini, sejauh manakah nilai sesebuah pakaian diukur melalui kualiti material dan taktik pemasaran?

Hype of SVG Worldwide

Gambar Instagram : @501awani


Di sebalik menjadikan sesuatu jenama tempatan itu sensasi, Ashraf Anuar melancarkan pertunjukan fesyen ‘solo’ pertamanya untuk Musim Bunga/Panas 2025 bertemakan 'The Journey', yang menceritakan permulaan perit dan sukar mewujudnya jenama itu. Pertunjukkan yang memakan 3 juta ringgit Malaysia itu berjaya memperagakan lebih dari 100 koleksi, menjadikannya acara fesyen jalanan ‘solo’ terbesar dalam sejarah Malaysia. 

Hype of SVG Worldwide

Gambar Instagram : @thestarhillkl

Tidak terhenti di pentas peragaan, SVG Worldwide turut memperluas pengaruhnya menerusi pembukaan pop-up store di The Starhill Kuala Lumpur. Lokasi strategik ini memberi peluang kepada peminat untuk mendapatkan koleksi edisi terhad, sekali gus memperkukuh kedudukan SVG sebagai antara jenama tempatan yang mencetuskan fenomena dalam dunia streetwear Malaysia.

Hype of SVG Worldwide

Gambar Instagram : @svgwrldwide

Harga Sebuah Eksklusiviti

Namun, di sebalik keterujaan mendapatkan koleksi eksklusif SVG Worldwide, timbul pula persoalan mengenai kewujudan personal shopper dan individu yang mengambil peluang menjual semula barangan pada harga lebih tinggi. Lebih mengejutkan, terdapat pengguna yang sanggup membayar caj tambahan semata-mata untuk memiliki sehelai pakaian yang menjadi rebutan ramai.

Kebangkitan jenama tempatan seperti SVG Worldwide membuktikan bahawa industri fesyen Malaysia mampu membina pengaruh dan daya tarikan tersendiri. Namun, populariti sesebuah jenama tidak semestinya menjadi ukuran mutlak terhadap nilai produknya. Memiliki koleksi eksklusif memberikan kepuasan dan nilai sentimental, manakala bagi yang lain, harga serta ketahanan pakaian kekal menjadi keutamaan dalam menentukan sama ada sesuatu pembelian itu berbaloi.

Hype of SVG Worldwide

Gambar Instagram : @svgwrldwide

FOMO: Apabila Trend Mengatasi Minat

Fenomena ini turut berkait rapat dengan budaya Fear of Missing Out (FOMO) yang semakin sinonim dengan gen Z. Keinginan untuk sentiasa mengikuti trend dan memiliki barangan yang menjadi bualan ramai mendorong pengguna membeli tanpa mempertimbangkan nilai sebenar atau minat mendalam terhadap sesuatu rekaan. Lama-kelamaan, penghargaan terhadap kreativiti dan hasil seni sesebuah jenama berisiko dibayangi oleh budaya kepenggunaan berlebihan, apabila pakaian tidak lagi dinilai berdasarkan keunikan dan kualitinya, sebaliknya sekadar menjadi simbol status dan populariti sementara.

Hype of SVG Worldwide

Kolaborasi SVG Worldwide bersama Selangor Football Club (Gambar Instagram : @svgwrldwide)

Tidak dinafikan, pengaruh media sosial memainkan peranan besar dalam membentuk corak pembelian generasi muda. Namun, apabila sesuatu koleksi menjadi rebutan hanya kerana popularitinya, timbul persoalan sama ada pengguna benar-benar menghargai kreativiti di sebalik rekaan tersebut. Budaya membeli semata-mata untuk mengikuti trend berisiko menjadikan fesyen sebagai persaingan status, bukannya medium untuk mengekspresikan identiti dan cita rasa peribadi.

Dalam masa yang sama, fenomena ini tidak seharusnya dilihat dari sudut negatif semata-mata. Sambutan luar biasa terhadap jenama seperti SVG Worldwide memperlihatkan perubahan landskap industri fesyen Malaysia apabila karya pereka tempatan semakin mendapat pengiktirafan. Keberanian pengguna menyokong jenama tempatan juga membuka ruang kepada lebih banyak pereka muda untuk berkarya, berinovasi dan membina identiti tersendiri tanpa perlu bergantung kepada pengaruh jenama antarabangsa.

Pada akhirnya, berbaloi atau tidak beratur berjam-jam demi mendapatkan koleksi jenama tempatan bergantung kepada nilai yang dicari oleh setiap individu. Jika pengorbanan masa dan wang hadir bersama penghargaan terhadap rekaan, kualiti serta kepuasan peribadi, mungkin itulah nilai sebenar yang tidak dapat diukur melalui harga semata-mata. Namun, jika pembelian hanya didorong oleh ketakutan untuk ketinggalan trend, adakah sehelai pakaian itu benar-benar berbaloi? Kerana dalam dunia fesyen, memiliki sesuatu yang menjadi rebutan ramai tidak semestinya bermakna kita memiliki gaya tersendiri.

Share this article:
READ NEXT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down