Cermin mata pintar kini bukan lagi hanya menjadi gajet atau teknologi berkonsep futuristik. Dengan keupayaan mengambil gambar dan video secara command, menjawab panggilan serta mengakses bantuan kecerdasan buatan (AI), aksesori ini hari ini telah menawarkan cara baru manusia untuk berinteraksi dengan teknologi tanpa perlu sentiasa bergantung kepada telefon pintar di tangan. Kini, Ray-Ban Meta Gen 3 dan Oakley Meta AI bakal tiba di pasaran Malaysia pada 20 Oktober. Ia menggabungkan fungsi digital dengan identiti gaya masing-masing penggunanya. Lebih menarik lagi, sokongan Meta AI dalam bahasa Melayu turut akan menjadikan pengalaman penggunaan gajet ini lebih relevan buat pengguna tempatan.
Ray-Ban Meta membawa pendekatan yang mengutamakan gaya harian tanpa mengetepikan fungsi teknologi. Melalui kamera terbina dalam bingkai cermin mata, pengguna boleh mengambil gambar dan merakam video daripada perspektif sendiri. Selain itu, boleh mendengar muzik dan podcast, menjawab panggilan serta menghantar mesej segalanya secara hands-free. Penggunanya juga boleh menterjemah penulisan di depan mata dan melakukan semua hal tersebut berturutan tanpa perlu mengeluarkan telefon daripada poket atau beg.

Bagi generasi terbaharu, Ray-Ban Meta (Gen 3) ditawarkan dalam tiga siluet utama, iaitu Wayfarer, Aviator dan Zena. Pilihan kanta turut merangkumi kanta jernih, cermin mata hitam, TransitionsĀ® dan kanta terpolarisasi. Selain itu terdapat pilihan penapis cahaya biru yang menarik. Pengguna yang memerlukan kanta preskripsi pula boleh mempertimbangkan model Ray-Ban Meta Blayzer Optics (Gen 2) dan Scriber Optics (Gen 2).
Gabungan rekaan yang sudah dikenali dengan keupayaan pintar ini menjadikan cermin mata tersebut alternatif kepada peranti mudah alih konvensional, khususnya buat mereka yang mahu kekal terhubung tanpa terlalu kerap melihat skrin.
Jika Ray-Ban Meta mendekati keperluan gaya hidup seharian, Oakley Meta pula menyasarkan pengguna yang lebih aktif dan cergas dengan kesibukan kesihatan. Menerusi model HSTN dan Vanguard, teknologi pintar disepadukan dengan rekaan berorientasikan sukan, Ia membolehkan penggunanya merakam aktiviti sambil terus memberi perhatian kepada persekitaran sekelilingnya.

Oakley Meta HSTN didatangkan dengan rekaan yang lebih menarik, dilengkapi kamera 3K Ultra HD, pembesar suara open-ear dan ketahanan air IPX4. Model terpilih ini turut menampilkan teknologi kanta Oakley PRIZM⢠yang membantu meningkatkan kontras visual dalam keadaan pencahayaan berbeza. Pendekatan ini memberikan kelebihan keseimbangan antara fungsi rakaman, keselesaan dan prestasi semasa penggunaan aktif.
Bagi mereka yang lebih serius tentang prestasi kecergasan yang lebih terperinci, Oakley Meta Vanguard menawarkan kamera ultra lebar 12MP dengan medan pandangan 122 darjah. Turut tersedia bersama pembesar suara open-ear serta teknologi pengurangan bunyi angin. Direka untuk aktiviti seperti berlari, berbasikal dan latihan lasak luar. Model ini membolehkan penggunanya bebas merakam sudut pandang sendiri tanpa perlu mengendalikan kamera secara manual.

Selanjutnya, integrasi dengan aplikasi seperti Strava dan Garmin turut memberikan nilai tambah kepada pengguna. Ia mampu menghubungkan pengalaman bersukan dengan data prestasi. Dengan kemampuan penarafan ketahanan air dan habuk IP67, Vanguard juga dibina kukuh untuk menghadapi persekitaran yang lebih mencabar.
Koleksi Ray-Ban Meta dan Oakley Meta akan tersedia di pasaran Malaysia mulai 20 Oktober 2026 dengan harga seperti berikut:
Daripada dua pilihan berbeza, Ray-Ban Meta jelas menawarkan gabungan gaya dan kemudahan untuk kegunaan kasual harian, manakala Oakley Meta memberi tumpuan kepada keperluan pengguna cergas dan aktif. Kedua-duanya mencerminkan perkembangan cermin mata pintar sebagai lebih daripada hanya aksesori. Sebaliknya cukup lengkap sebagai peranti yang berpotensi mengubah cara kita merakam, berkomunikasi dan mengakses maklumat ketika bergerak.