IKEA Malaysia memperkenalkan koleksi YXSTABY, membawakan lapan perabot dan aksesori permainan video rumah hasil kolaborasi bersama XBOX. Koleksi ini direka untuk menjadikan pengalaman bermain video lebih selesa, praktikal dan menyeronokkan di ruang kediakan.

Dijual secara rasmi pada 12 November 2026, koleksi ini turut membawa tema perniagaan IKEA yakni A Place for Everything and Everyone. Ia dengan jelas memberikan mesej penyelesaian kepada masalah ruang penyimpanan peralatan permainan video yang sering menjadi cabaran di sesetengah kediaman. Bermula dengan alat kawalan permainan, kabel wayar hinggalah fon kepala. Setiap kelengkapan kini mempunyai ruang tersendiri tanpa perlu mengorbankan estetika ruang tamu.

Menariknya, setiap produk dalam koleksi YXSTABY dibangunkan menerusi kerjasama bersama pereka IKEA dan XBOX dengan pakar industri permainan video. Proses reka bentuk kolaborasi ini mengambil kira keperluan pemain serta ahli keluarga lain yang turut berkongsi ruang yanv sama. Berpandukan falsafah Democratic Design IKEA, setiap produk menggabungkan aspek fungsi, kualiti, reka bentuk dan harga berpatutan. Hal ini dilakukan supaya penyelesaian yang baik dapat dinikmati oleh lebih ramai pengguna IKEA.
Antara tarikan utama koleksi ini merupakan meja TV beroda berharga RM399. Meja ini membolehkan televisyen dan peralatan permainan dialihkan mengikut kesesuaian ruang. Ia turut dilengkapi ruang penyimpanan di bahagian belakang untuk memastikan segala kelengkapan lebih teratur. Melengkapinya merupakan meja sisi beroda (RM499) dengan pintu gelangsar serta ruang mengecas peranti, sesuai untuk mereka yang mahukan kemudahan tambahan ketika bermain atau bersantai.



Bagi pemain permainan video yang mempunyai sudut permainan tersendiri, kaki monitor (RM99) menawarkan ruang untuk meletakkan satu atau dua skrin pada kedudukan lebih ergonomik. Ia turut menyediakan ruang penyimpanan di bahagian bawah serta pemegang khas untuk telefon, fon kepala dan alat kawalan. Sementara itu, sokongan komputer riba dengan ruang storan (RM99) didatangkam dengan reka bentuk praktikal yang membolehkan penutupnya digunakan sebagai kaki komputer riba apabila tiba masa untuk bekerja.
Namun, koleksi YXSTABY tidak hanya tertumpu pada kelengkapan permainan video. Ia turut merangkumi perabot untuk waktu bersantai seperti kerusi santai (RM399) yang dilengkapi ruang penyimpanan tersembunyi bawah tempat duduk.

Bangku thumbstick (RM169) pula diinspirasikan daripada reka bentuk kayu bedik pada alat kawalan permainan video dan boleh dicondongkan mengikut pergerakan pengguna. Melengkapkan koleksi ini tentunya kusyen berbentuk D-pad (RM59) serta kotak pameran bercermin (RM99) yang sesuai untuk mempamerkan alat kawalan dan pelbagai barangan kegemaran.
Kesemua koleksi ini boleh didapati mulai 12 November 2026 di semua cawangan IKEA serta dalam talian menerusi IKEA.my. Ia turut akan ditawarkan di IKEA Kuching mulai 27 November 2026.