Hari itu cuaca sangat terik, namun Seon-ho tiba di set dengan banyak ketawa. “Apa yang membuat saya bertahan dengan panas terik sebegini? Sudah tentu keindahan laut. Apabila berada dekat dengan dekat laut, hati saya ini teruja tanpa sebab,” ujar Kim Seon-ho.
“Selain itu, team saya bekerja juga turut datang bersama. Apabila orang di sekeliling saya tersenyum gembira saya jadi lebih bersemangat bekerja. Semasa kita berjumpa untuk sesi editorial lain dahulu juga, kita banyak berkata tentang laut bukan? Tetapi hari ini suasana laut itu terasa sedikit berbeza buat saya. Empat tahun lalu, watak Hong Ban-jang boleh terus berlari masuk ke dalam air laut. Sekarang, saya hanya suka merenung dari jauh, seakan-akan menghayati sebuah lukisan. Saya juga sebenarnya tidak tahu berenang, tetapi saya sangat suka bermain dengan air. Saya suka termenung menatapnya lama.”
Apabila ditanya adakah Seon-ho masih sukakan ketam biru dan makanan laut yang lazat di sekitar sini jawapannya ringkas sahaja “Sudah tentu. Setiap kali penggambaran di tepi laut, saya pasti akan mencari hidangan ketam, sama ada ketam bunga atau ketam besar. Saya rasa penggambaran lain lalu pun saya banyak makan hidangan yang hampir sama juga.”
E: Semasa dalam mode kerja adakah rutin Seon-ho berubah? Mungkin menjadi lebih sensitif?
KSH: Sebenarnya rutin harian saya menjadi lebih teratur apabila saya bekerja. Saya cuba kekalkan keseimbangan emosi sepanjang masa. Contohnya, kalau saya sedang membawa apa-apa babak atau watak sedih, saya tidak boleh berada dalam mood dopamine yang tinggi. Jadi saya akan memastikan diri saya stabil terlebih dahulu, kemudian apabila pengarah memberi arahan atau sebaik sahaja emosi watak itu datang, barulah saya boleh menerima dan memproses lakonan dengan baik. Dari itulah saya temui sisi baru diri saya yang tidak pernah saya sangka.
E: Tentang projek terbaharu berjudul ‘When Life Gives You Tangerine’. Boleh kongsikan.
KSH: Penampilan kasar dengan janggut penuh itu memang beri impak kepada diri saya dan karier lakonan. Ramai yang terkejut dan bertanya "Adakah itu Kim Seon Ho?." Saya kira apabila ramai yang tidak dapat mengenal pasti, itu bermaksud kami berjaya menjadikan watak itu berkesan. Solekan pertama sahaja mengambil masa hampir tiga jam, setiap helai rambut perlu ditampal satu persatu. Ia nampak mudah, tetapi sangat teliti dilakukan. Pengarah dan penulis juga bersetuju supaya penonton tidak dapat terus mengenali saya yang membawa watak itu. Rakan-rakan juga terkejut sehingga ada yang takut bahawa rupa itu akan kekal sehingga habis cerita yang dilakonkan. Tetapi saya sebenarnya gembira dengan penghasilannya.
E: Adakah Seon Ho dapat membaca skrip penuh?
KSH: Tidak. Pada awalnya saya hanya diberikan bahagian skrip saya sahaja kerana ingin mengelakkan kes spoiler. Jadi agak lama sebelum saya dapat faham keseluruhan jalan cerita. Namun begitu apabila semua kepingan cerita dan babak itu bersatu saya terus terkedu. Ia merupakan cerita yang sangat menarik. Saya rasa belum pernah lagi saya menangis hanya kerana membaca skrip cerita.
E: Dalam babak perkahwinan semasa Chung Seop mengenyit mata kepada Geum Myeong (lakonan IU) yang menjadi ‘Kim Seon Ho Challenge’, adakah menyangka ia akan tular?
KSH: Mula-mula saya fikirkan ia hanya lakonan dan gurauan sahaja. Tetapi apabila Ariana Grande sendiri memuat naiknya, saya mula sedar betapa besarnya perkara itu sehingga tular. Hingga sekarang apabila ke acara ramai meminta untuk saya mengulangi babak itu. Tetapi saya menjadi malu dan saya tidak boleh melakukannya semula dengan baik.
E: Babak itu ad-lib (spontan)?
KSH: Tidak. Dalam skrip yang diterima ia memang tertulis sebegini ‘Geum Myeong ‘menembak’ Chung Seop dengan senyuman dan dibalas semula dengan kenyitan mata’. IU sangat pandai menangkap mood watak yang dibawa. Jadi babak yang dilakonkan itu menjadi mudah. Malah terasa macam sesuatu yang saya sendiri akan lakukan dalam kehidupan sebenar.
E: Tentang watak Chung Seop. Ingin kongsikan.
KSH: Watak itu dilakukan berkisarkan Chung Seop yang berasal dari Bongcheon-dong, sama seperti saya yang turut dibesarkan di sana. Jadi suasana, bau-bauan dan persekitaran kampung itu semua mengingatkan saya kepada zaman kecil sendiri. Mudah untuk saya menyelami watak itu. Malah setiap babak membuatkan saya teringat kepada ibu bapa saya sendiri. Saya rasa watak ini memang diciptakan untuk saya yang membawanya.
E: Seon Ho sering membawa watak lelaki baik tetapi dengan luka dalaman seperti watak Ji Pyeong dalam ‘Start-Up’ dan Du Shik dalam ‘Hometown Cha-Cha-Cha’. Apa yang menarik tentang setiap pemilihan watak?
KSH: Saya selalu bertanya persoalan ‘kenapa?’ kepada setiap watak yang saya bawakan. Jika saya tidak temui jawapannya, maka saya akan rasa jauh dengan watak itu. Tetapi apabila saya boleh rasakan hubungan dengan watak yang dibawa, saya akan tenggelam ke dalamnya pula. Kadang-kadang seakan terhipnosis sendiri. Watak yang diberikan membuatkan saya tidak sedar akan realiti dunia luar.
E: Watak mana yang pernah dibawa paling menggugat emosi?
KSH: Watak Ji Pyeong dalam ‘Start-Up’. Saya masih harap kalau dia wujud di dunia sebenar, dia akhirnya akan menemui kebahagiaan. Babak saya menangis dalam pelukan ibu Ji Pyeong (lakonan Kim Hae Sook) itu juga masih sebak untuk dilakonkan jika diingat kembali.
E: Tentang projek Netflix ‘Can This Love Be Translated?’ bersama Go Youn Jung. Ingin kongsikan.
KSH: (Ketawa) Saya hanya mahu mencerita hal sama. Youn Jung itu seorang yang mempunyai aura positif luar biasa. Kalau saya lontarkan satu ayat, dia akan balas semula dengan sepuluh ayat lain. Dia itu mampu menghidupkan suasana dan saya banyak ketawa apabila bertemu dengannya. Kami juga banyak bertukar idea dan banyak adegan menjadi lebih seronok dilakonkan daripada hanya mengikut skrip asal. Dia memang berbakat dari segi suara, masa dan fleksibiliti lakonan. Saya ada bercakap kepada dia bahawa saya cemburu kerana saya tidak ada semua itu pada usianya. Kalau ada peluang saya ingin bergandingan lagi dengannya dalam lakonan.
E: Untuk pengarah pula, apa pengalaman bekerja di bawah Han Jae Rim.
KSH: Selepas ‘Can This Love Be Translated?’, saya turut sertai projek Disney+ bertajuk ‘Delusion’ arahannya yang berlatar belakangkan Gyeongseong pada tahun 1935. Saya jarang memilih kerja atau watak berdasarkan siapa yang mengarahnya. Tetapi apabila saya mengetahui yang Jae Rim merupakan pengarahnya, saya terus setuju tanpa berfikir panjang.
E: Bagaimana Seon Ho melihat dirinya hari ini?
KSH: Untuk menjadi seorang pelakon yang baik, penting untuk memahami siapa diri mereka sendiri. Saya masih dalam proses itu. Apabila orang bercakap “Seon Ho boleh melakukan apa sahaja watak dengan baik”, saya rasa bangga. Namun kadangkala saya tetap gusar dengan penerimaan orang ramai. Saya mahu semua orang berfikir bahawa ‘Itulah Seon Ho’. Saya mahu menjadi pelakon yang boleh diharapkan dalam apa sahaja watak yang diberikan, namun saya juga mahu menjadi mudah didekati seperti kawan.
E: Definisi lakonan yang baik?
KSH: Seorang pelakon lama pernah memberi tahu saya bahawa lakonan yang baik adalah apabila kita berjaya buat pilihan yang lebih matang. Ia bukan sekadar tentang nombor atau umur, tetapi kebijaksanaan membuat keputusan dalam watak serta babak yang dilakonkan. Semasa tindakan kita menyampaikan sesuatu lakonan itu sampai kepada orang lain dengan cara yang matang, itu sebenarnya lakonan yang menjadi. Saya tahu saya tidak melakukan ini bersendirian. Kerana itulah saya sering membentuk diri saya dengan sentiasa bergaul dan bekerja dengan orang-orang baik di sekeliling saya.