
Selepas beberapa kolaborasi yang mengangkat elemen budaya tempatan, ASICS Sportstyle Malaysia dan SneakerLAH kembali dengan satu lagi rekaan yang cukup dekat dengan identiti Malaysia. Memperkenalkan ASICS GEL-KAYANO™ 20 ‘ICE KACANG’, kasut sniker edisi terhad yang mengambil inspirasi daripada pencuci mulut klasik kegemaran ramai. Kolaborasi ini menggabungkan gaya streetwear, nostalgia dan elemen tempatan dalam sebuah siluet yang diinspirasikan sepenuhnya oleh semangkuk ais kacang.
Hubungan ASICS Sportstyle Malaysia dan SneakerLAH dalam menghasilkan sneaker berteraskan kisah Malaysia bukan sesuatu yang baharu. Sebelum ini, kedua-duanya menghasilkan GEL-KAYANO™ 5 OG ‘NASI LEMAK’ (2019), GEL-LYTE™ III ‘KUALA LUMPUR TWIN TOWERS’ (2020), GEL-LYTE™ III ‘TEH TARIK’ (2022) dan ASICS SKYHAND™ OG ‘MAMEE MONSTER’ (2024).

Menariknya, idea untuk menghasilkan sneaker bertemakan ais kacang sebenarnya sudah berada dalam bank konsep SneakerLAH dan ASICS Sportstyle Malaysia sejak 2018. Ketika kedua-duanya mula merancang kolaborasi pertama. Kini, hampir sedekad kemudian, idea tersebut akhirnya direalisasikan menerusi GEL-KAYANO™ 20 ‘ICE KACANG’.
Rekaan kasut ini menterjemahkan komponen ais kacang satu demi satu. Bahagian atas didominasi warna putih, mengambil inspirasi daripada timbunan ais yang menjadi asas pencuci mulut tersebut. Panel rona merah jambu ros pula mewakili sirap ros, manakala aksen kuning merujuk kepada jagung manis. Bahagian cage FLUIDFIT™ iaitu struktur bersilang pada bahagian atas diinspirasikan daripada siraman susu cair yang menjadi antara elemen penting ais kacang.


Teknologi dual GEL® pada bahagian sole tengah hadir dalam rona hijau sebagai penghormatan kepada cendol. Manakala sistem sokongan GUIDANCE TRUSSTIC® pada sole luaran tampil dalam warna hitam yang mewakili cincau. Perincian kacang merah pula diterapkan pada bahagian lace eyelets dan toe box. Ini melengkapkan palet warna yang terus mengingatkan kepada semangkuk ais kacang. Sebagai sentuhan akhir, sistem outdoor-style lace lock memberikan karakter lebih lasak. ia diinspirasikan daripada perkakasan kasut outdoor dan menjadi yang pertama digunakan dalam siri kolaborasi ini.
Kolaborasi Edisi Terhad
Berharga RM899, ASICS GEL-KAYANO™ 20 ‘ICE KACANG’ akan terlebih dahulu ditawarkan secara dalam talian menerusi sistem cabutan bertuah di sneakerlah.com mulai 5 Oktober 2026. Pelancaran rasmi pula akan berlangsung pada 10 dan 11 Oktober 2026 di LahLahLand, Mines International Exhibition Convention Centre.