LANGGAN

Minggu Fesyen, Heatwave dan Industri Yang Enggan Berubah

Heatwave di Milan Men's Fashion Week 2026
Published: August 20, 2026

Pengalaman pertama saya menghadiri Milan Men’s Fashion Week dalam kehangatan heatwave yang melanda benua Eropah meninggalkan persoalan tentang industri fesyen yang masih terperangkap dalam warisan masa lalu. 

Thom Browne

Pada Jun lalu, saya terbang ke Itali untuk menghadiri Milan Men’s Fashion Week, untuk menyaksikan koleksi Musim Bunga/Panas 2027 yang dipersembahkan di sekitar kota yang menjadi nadi fesyen dunia. Bukan sahaja ini merupakan kali pertama saya menghadiri minggu fesyen lelaki, malah ia juga pengalaman pertama saya mengunjungi Eropah pada musim panas.

Daripada apa yang sering saya baca dan lihat di media sosial, musim panas di Eropah dikatakan antara waktu paling meriah dan menyeronokan. Hari yang lebih panjang, festival yang memenuhi kota, kehidupan yang seolah-olah bergerak lebih perlahan tetapi pada masa yang sama lebih hidup. Saya sendiri merancang untuk meneruskan percutian beberapa hari selepas minggu fesyen, sekadar untuk menikmati Milan dan meneroka sisi lain kota ini sebagai seorang pengembara, bukan hanya sebagai editor yang berkejar dari satu pertunjukan ke pertunjukan yang lain.

Gelombang Haba Ekstrem di Eropah

Han Stary Kids
HAN daripada Stray Kids di acara Tod's

Seperti biasa, sebelum terbang, saya menyemak ramalan cuaca. Dan di sinilah cerita mula berubah. Milan, malah sebahagian besar Eropah sedang berdepan heatwave atau gelombang haba yang membawa suhu ekstrem. Suhu siang hari hampir mencecah 40°C. Pada mulanya, saya fikir, takkanlah panas sangat? Saya datang dari Kuala Lumpur. Panas adalah sebahagian daripada kehidupan harian kita. Saya sudah biasa dengan matahari, kelembapan dan peluh yang muncul beberapa minit selepas keluar rumah. Rupa-rupanya, saya silap.

Apa yang membezakan Milan dengan Kuala Lumpur ialah satu perkara penting. Di sini, konsep pendingin hawa dan minuman berais bukanlah sesuatu yang boleh dianggap sebagai hak asasi manusia. Saya masih teringat ketika menghadiri pertunjukan Thom Browne. Di tengah-tengah gelombang haba yang sedang melanda, jenama itu tetap memilih untuk mempersembahkan koleksi di ruang terbuka! Di bawah langit biru dan pancaran matahari yang menusuk ke kulit. 

Secara seorang pengarang fesyen, pertunjukan Thom Browne sememangnya berada dalam senarai wishlist saya sejak dulu lagi. Saya cukup mengagumi estetika jenama ini dan cara Thom Browne mencabar definisi pakaian formal, khususnya dalam fesyen lelaki. Jadi, walaupun suhu hampir membuatkan saya mempertikaikan segala keputusan hidup, saya tetap meneruskan misi minggu fesyen saya.

Sehari sebelumnya, saya terdengar bisikan daripada beberapa rakan media bahawa pertunjukan itu mungkin diadakan di luar. Saya masih optimistik. Mungkin mereka akan menukar lokasi, mungkin ada pelan B. Mungkin ada ruang tertutup yang berhawa dingin. Tetapi apabila saya tiba di lokasi, saya sedar bahawa mungkin bukanlah satu pelan. Saya terus berkongsi pengalaman itu di Instagram, dan ada yang menasihati saya supaya tidak duduk di ruang terbuka itu. Namun, dalam fikiran saya, saya sudah sampai di situ. Saya sudah terbang dari Kuala Lumpur ke Milan. Jadi, takkan saya mahu mensia-siakan peluang untuk menyaksikan salah satu pertunjukan yang paling saya nantikan hanya kerana cuaca? Jadi saya pun duduk.

dolce & gabbana
Pertunjukan Dolce & Gabbana Musim Bunga/Panas 2027

Nasib baik, Thom Browne menyediakan air minuman, gelato untuk membantu tetamu menyejukkan badan serta payung untuk berlindung daripada sinaran matahari. Tetapi untuk saya, pengalaman itu pasti menjadi salah satu momen yang paling saya ingati sepanjang minggu fesyen. Bukan kerana koleksinya sahaja, tetapi kerana ia meninggalakn personalan dalam diri saya. Adakah industri fesyen sudah benar-benar bersedia untuk menghadapi dunia yang semakin berubah?

Teknologi dan Industri Fesyen

Dengan teknologi moden yang kita miliki hari ini, situasi seperti ini mungkin boleh diminimumkan. Ramalan cuaca semakin tepat. Teknologi boleh membantu kita merancang hampir segala-galanya. Namun, adakalanya saya merasakan industri fesyen masih sedikit stuck dalam masa lalu. Saya memahami kepentingan warisan, saya memahami nilai tradisi. Saya juga percaya bahawa pengalaman fizikal iaitu berada di sesuatu lokasi, merasai suasana dan melihat koleksi secara langsung itu merupakan sebahagian daripada magis minggu fesyen. Tetapi warisan tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menolak adaptasi.

Jika ramalan cuaca sudah menunjukkan kemungkinan berlakunya gelombang haba ekstrem, mungkin kita perlu lebih bersedia. Mungkin lokasi pertunjukan boleh diubah, mungkin waktu pertunjukan boleh ditukar. Mungkin teknologi boleh digunakan untuk memastikan pengalaman pertunjukan fesyen tidak datang dengan risiko terhadap kesihatan tetamu dan pekerja yang terlibat.

prada
Pertunjukan Prada Musim Bunga/Panas 2027

Fesyen sentiasa bercakap tentang masa depan. Kita melihat pereka mencipta siluet baharu, material inovatif dan teknologi yang mengubah cara kita berpakaian. Tetapi bagaimana pula dengan cara kita menghasilkan dan mempersembahkan fesyen? Ini menjadi lebih penting apabila kita sedar bahawa industri fesyen sendiri merupakan antara penyumbang kepada masalah alam sekitar dan perubahan iklim global. Jadi, mungkin gelombang haba yang semakin ekstrem ini bukan sekadar masalah cuaca. Ia juga satu peringatan.

Mungkin sudah tiba masanya industri fesyen berhenti hanya bercakap tentang masa depan dan mula benar-benar bersedia untuk menghadapinya. Kerana jika fesyen mahu terus menjadi industri yang menentukan masa depan, ia juga perlu belajar menyesuaikan diri dengan dunia yang sedang berubah. Dan untuk rekod, jika saya kembali ke Milan ketika musim panas nanti, saya akan membawa satu perkara yang lebih penting daripada fashion week schedule, kipas mudah alih!

Share this article:
READ NEXT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down