LANGGAN

Pemilihan Fabrik Tepat Bagi Jejaka Berbaju Melayu

Hari Raya bukan sekadar mempamerkan pakaian baharu, ia tentang merayakan keselesaan sambil bergembira. Pemilihan fabrik yang tepat menonjolkan keyakinan dan personaliti yang menawan di setiap langkah.
Published: March 2, 2026
Gambar daripada Asal Lelaki

Koleksi utama di peringkat antarabangsa mungkin bergantung kepada musim dan kalendar pertunjukan fesyen. Namun di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri merupakan pentas fesyen paling dinanti-nantikan ramai! Inilah masa di mana pereka fesyen tempatan serta jenama lokal berlumba-lumba menampilkan koleksi terbaru, malah ada yang mempersembahkannya secara eksklusif dan penuh kemeriahan di atas pentas peragaan.

Walaupun kaum lelaki mungkin tidak begitu teruja seperti kaum wanita (yang mungkin mempunyai kemungkinan untuk membeli 30 busana untuk 30 hari Syawal), namun lelaki turut mahu berpenampilan kemas dan segak sempena Hari Kemenangan itu. Memakai pakaian baharu bukan sekadar soal gaya, ia juga merupakan cara untuk kita menzahirkan kesyukuran dan mengamalkan Sunnah berhias dengan pakaian-pakaian cantik sama ada di Hari Raya Aidilfitri mahupun di Hari Raya Aidiladha.

Baju Melayu telah lama menjadi pakaian rasmi bagi setiap lelaki di Malaysia (serta negara-negara serumpun yang lain) pada pagi Hari Raya pertama. Dari generasi ke generasi, ia terus berevolusi dengan sentuhan moden tanpa kehilangan identiti asalnya. Antara dua jenis utama Baju Melayu merupakan Baju Melayu Cekak Musang dan Baju Melayu Teluk belanga. Perbezaan utama antara kedua-duanya terletak pada rekaan leher bajunya, namun masing-masing membawa makna tersirat serta nilai sejarah dan budaya yang tersendiri.  

Tidak dapat dinafikan, mengenakan persalinan lengkap Baju Melayu boleh terasa agak panas dan tidak selesa, terutamanya dalam cuaca terik yang semakin ketara akibat peningkatan suhu global. Oleh itu, ramai lelaki memilih untuk menukar kepada pakaian yang lebih santai menjelang petang demi mengekalkan keselesaan badan. Ada juga yang terus kekal menggayakan Baju Melayu hingga ke malam untuk beraya dari rumah ke rumah.

Gambar daripada Asal Lelaki

Di sinilah terletak kepentingan untuk membuat pemilihan material yang tepat, bersesuaian dengan lokasi serta suasana perayaan. Fabrik yang sesuai bukan sahaja membantu mengekalkan keselesaan sepanjang hari, malah memastikan penampilan kekal kemas dan bergaya. Dengan kesedaran ini, kita bukan sahaja dapat menampilkan versi terbaik diri sendiri, tetapi juga dapat menikmati kemeriahan Hari Raya dengan lebih riang bersama keluarga dan sanak saudara.

Namun begitu, realiti dunia fesyen moden tidak selalunya memihak kepada keselesaan dan kualiti. Sesetengah rekaan masa kini dilihat mengabaikan kepentingan pemilihan fabrik serta potongan yang memudahkan pergerakan badan. Rekaan masa kini dilihat semakin berorientasikan keuntungan semata-mata. Akibatnya, terhasillah helaian yang menggunakan material jarang, mudah tercarik, tebal, tidak diperkemaskan dengan lapisan lining, serta pelbagai kelemahan lain seperti yang sering dibincangkan di platform Threads.

Sebagai pengguna, kita perlu bersikap lebih arif dalam membuat pilihan. Tindakan add to cart tidak patut dilakukan secara membuta tuli hanya kerana mengikuti trend. Sebaliknya, aspek praktikal, keselesaan dan ketahanan wajar diutamakan. Nilai sebenar sesebuah helaian bukan sahaja terletak pada harganya, tetapi pada rekaan yang elegan, kualiti unggul, kemasan yang teliti serta nilai keselesaannya ketika disarungkan.

Gambar daripada Asal Lelaki

Fabrik Yang Sesuai Untuk Baju Melayu Lelaki

Pemilihan fabrik memainkan peranan penting dalam memastikan Baju Melayu kelihatan kemas, juga selesa dipakai sepanjang hari. Dalam cuaca tropika Malaysia, keseimbangan antara fungsi, estetika dan ketahanan menjadi faktor utama. Berikut adalah fabrik yang disarankan untuk penampilan Raya yang lebih terserlah.

1. Kapas 

Kapas merupakan antara fabrik paling popular dan versatil untuk Baju Melayu. Dikenali dengan sifatnya yang ringan dan bernafas, ia membantu mengawal haba badan serta memberikan keselesaan optimum sepanjang hari.

Kelebihan:

Mudah dijaga, tahan lasak dan sesuai untuk cuaca panas serta lembap di Malaysia. Memberikan penampilan yang kemas tanpa rasa berat atau kaku, menjadikannya pilihan ideal untuk pemakaian dari pagi hingga ke malam.

2. Sutera 

Sutera menawarkan tekstur yang halus dengan jatuhan fabrik yang lembut dan eksklusif. Ia sering menjadi pilihan untuk majlis yang lebih formal, terutama bagi mereka yang ingin tampil elegan semasa Aidilfitri.

Kelebihan:

Memberikan sentuhan mewah dan sofistikated dengan kilauan semula jadi yang tidak berlebihan. Kekal selesa dipakai serta menaikkan nilai penampilan tanpa perlu rekaan yang terlalu sarat.

3. Linen 

Linen terkenal dengan cirinya yang sangat ringan dan bernafas, menjadikannya serasi untuk pemakaian di siang hari, khususnya dalam keadaan cuaca yang terik.

Kelebihan:

Memberikan aura moden dan santai namun tetap kemas. Ideal untuk lelaki yang menggemari gaya effortless, terutamanya bagi sambutan Raya dalam suasana yang lebih kasual atau santai.

4. Fabrik premium (high-quality blends)

Fabrik campuran berkualiti tinggi direka untuk menggabungkan kelebihan beberapa jenis material, menghasilkan helaian yang seimbang daripada segi struktur, keselesaan dan ketahanan.

Kelebihan:

Tekstur lebih halus dengan jatuhan yang kemas serta rasa premium ketika dipakai. Lebih tahan lama dan sesuai untuk pemakaian berulang kali setiap musim perayaan.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down