Larian bukan sekadar rutin kecergasan, ia adalah gaya hidup. Berlari juga adalah bentuk senaman yang paling ringkas dan mudah diakses jadi ia lebih bermakna apabila dikongsi dalam komuniti yang sama matlamat. Daripada kumpulan larian sosial hinggalah joging santai merentasi bukit-bukit indah di KL, pasti ada sesuatu untuk setiap gaya dan tahap pelari.
Godspeed Running Club mengadakan sesi larian mingguan secara konsisten, namun yang menjadikannya lebih istimewa adalah penganjuran acara kolaboratif dan larian berkumpulan dari semasa ke semasa. Di sini anda berpeluang untuk berlari dan mengenali individu lain yang berkongsi minat yang sama. Kelab ini biasanya berlari merentasi pelbagai laluan di sekitar Kuala Lumpur, disesuaikan mengikut keperluan latihan dan tema mingguan yang berbeza.
Challo bermula sebagai sebuah kelab bola sepak pada tahun 2017 sebelum berkembang menjadi kelab larian. Menariknya, Challo turut dikenali dengan penjenamaan yang tersendiri serta kehadiran selebriti tempatan ternama dalam kalangan ahlinya seperti Hakimi Nordin, Meerqeen, Aedy Ashraf dan Amir Ahnaf dan ramai lagi.
Pelari dari semua peringkat kecergasan dialu-alukan, tanpa mengira tahap pengalaman. Brand New Waves Running Club menggabungkan semangat larian dengan subbudaya kreatif seperti fesyen, muzik dan seni. Setiap malam Khamis, mereka menganjurkan sesi larian, kebiasaannya di TTDI atau lokasi lain sekitar KL.
Journey Run Club sesuai untuk beginner runners atau sesiapa yang ingin kembali aktif dengan larian secara santai. Mereka berkumpul setiap Isnin jam 8.15 malam di Sri Hartamas Park untuk sesi larian mingguan. Budaya kelab yang mesra dan memberi semangat menjadikannya pilihan utama dalam kalangan peminat kecergasan komuniti.
Diketuai oleh pelari berpengalaman, ASICS Running Club adalah komuniti inklusif yang menawarkan sesi larian dan latihan di pelbagai lokasi sekitar Lembah Klang. Sama ada anda baru bermula atau sudah berpengalaman, anda boleh mendaftar dengan mudah dan sertai sesi mereka untuk kekal aktif serta berhubung dengan komuniti yang lain.