LANGGAN

8 Filem Mengimbau Sut Gah Giorgio Armani

Sut hasil rekaan Giorgio Armani yang menonjol dalam beberapa filem pilihan.
Published: September 22, 2025

Tiada figura dalam dunia fesyen lelaki yang benar-benar menyamai Giorgio Armani sehingga hari ini. Namanya bukan sekadar tentang jenama, ia adalah simbol keanggunan, ketepatan dan definisi maskuliniti moden. Dalam sejarah panjang dunia fesyen, hanya segelintir sahaja hari ini yang dilihat mampu mencorakkan gaya global hampir seakan beliau.

Giorgio Armani bukan sahaja telah membina empayar di pentas fesyen namun turut menawan layar perak. Dari Hollywood ke Milan sut rekaan beliau bukan sekadar pakaian, ia digayakan dan mencipta watak bagi karakter dalam filem-filem besar. Potongan bahu tegap dan garisan V yang tajam telah menjadi kod visual kelelakian yang kekal relevan walaupun fesyen lelaki hari ini berevolusi ke arah lebih eksperimental.

Jika diimbau kembali di karpet-karpet merah ikonik di Instagram pula, sut Armani benar-benar hidup. Warisan beliau merentasi industri perfileman. Dari American Gigolo ke The Dark Knight dan dari Casino ke Inglourious Basterds, sentuhan Armani cukup ketara. Jadi sebagai penghormatan kepadanya, berikut merupakan 8 filem ikonik yang memperlihatkan kekuatan, gaya dan ketelitian sut Giorgio Armani.

The Dark Knight (2008) & The Dark Knight Rises (2012)

Dalam sekuel kedua trilogi Batman arahan Christopher Nolan, Armani merupakan pereka sut untuk watak Bruce Wayne. Sut itu tersebut berjaya memancarkan kemewahan, kuasa watak dan segala rahsia. Kesemuanya dihasilkan dalam satu potongan yang tajam dan kemas oleh Armani.

Goodfellas (1990)

Filem ini ditayangkan pada tahun yang sama dengan dokumentari Made in Milan. Ia sebuah karya tentang proses kerja Giorgio Armani (yang kini boleh ditonton di YouTube). Filem ini membuka kerjasama jangka panjang antara Armani dan Scorsese.

Casino (1995)

Robert De Niro sebagai Ace Rothstein memakai hampir 70 jenis sut dalam filem ini sahaja. Sebahagian besarnya direka oleh Armani sendiri. Jelas dilihat palet warna berani dan potongan klasik menjadikan gaya dalam Casino sebagai rujukan abadi dunia fesyen lelaki.

The Wolf of Wall Street (2013)

Era 80-an dan 90-an adalah zaman kegemilangan Armani di Wall Street. Jordan Belfort (lakonan Leonardo DiCaprio) telah memakai sut berkerah kontras yang bold dan ia juga hasil ciptaan Armani yang menangkap sepenuhnya semangat kegemilangan Wall Street di waktu itu.

American Gigolo (1980)

Filem ini merupakan filem dengan kredit Hollywood pertama khas buat Armani. Richard Gere yang memainkan watak sebagai Julian Kaye memperkenalkan rekaan Armani kepada penonton Amerika dan secara tidak langsung mempromosi jenamanya. Hal tersebut terus menjadikan jenama ini sinonim dengan gaya lelaki urban dan elegan di era itu.

Inglourious Basterds (2009)

Hanya satu tuksedo dalam filem ini, tetapi sangat bermakna. Armani menghasilkan tuksedo yang dipakai oleh Brad Pitt sebagai Leftenan Aldo Raine yang menyamar sebagai stuntman Itali dalam satu babak penting. Lapel besar dan bahu lebar menyerlahkan status orang-orang berada walaupun loghat yang digunanya sebaliknya.

The Social Network (2010)

Watak Sean Parker, lakonan Justin Timberlake digambarkan sebagai ikon gaya moden dan Armani jugalah yang menyediakan sut-sut untuk watak ini. Pakaian yang ditonjolkan menambah lapisan sofistikasi dalam cerita tentang perubahan teknologi dan kuasa.

The Untouchables (1987)

Sebuah filem klasik era gangster arahan Brian De Palma. Walaupun memainkan cerita dengan plot era 1930-an, reka bentuk sut dalam filem ini semuanya dengan bahu besar dan lapel rendah. Ia secara kebetulan menjadi ciri khas dalam rekaan Armani sendiri. Sebuah gabungan antara sejarah dan gaya moden.

Jelas bahawa Giorgio Armani bukan sekadar pereka pakaian, beliau adalah arkitek gaya maskulin moden. Sutnya bukan hanya pakaian tetapi mampu menjadi kenyataan gaya hidup dan dunia hiburan. Untuk benar-benar memahami pengaruhnya, tonton filem-filem yang disenaraikan di atas dan lihat ciri-ciri rekaan beliau dalam memberi “nyawa” kepada watak-watak yang boleh kita ingat sehingga hari ini.

Share this article:
READ NEXT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down