Siapa yang tidak mengenali pasangan yang sering mencuri perhatian ramai, tidak lain tidak bukan YB Syed Saddiq dan Bella Astillah. Selepas mengikat tali pertunangan pada Mac lalu, pasangan ini bakal melangkah ke fasa baru dalam hubungan mereka dengan majlis perkahwinan yang dinanti-nantikan. Malah, penyatuan mereka turut menjadi bualan ramai sehingga digelar ‘Wedding of the Year.’

YB Syed Saddiq dan Bella Astillah bakal disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober 2026 di Menara Merdeka 118. Sementara itu, majlis resepsi mereka dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).
Selain majlis pernikahan dan resepsi, Syed dan Bella turut merancang untuk mengadakan majlis di Muar, Johor dan Sabah bagi meraikan hari bahagia mereka bersama orang ramai dan peminat yang sentiasa menyokong mereka.

Sebelum hari pernikahan, pasangan ini terlebih dahulu mengadakan majlis khatam Al-Quran pada 9 Oktober 2026. Majlis tersebut turut mencuri perhatian di media sosial apabila Syed Saddiq hadir membawa sejambak bunga ros merah buat bakal isterinya. Kedua-duanya tampil sedondon dalam persalinan serba putih, menambahkan lagi suasana yang penuh bermakna menjelang hari bahagia mereka.
Beberapa hari sebelum hari pernikahan, Bella Astillah dan Syed Saddiq berkongsi potret pra-perkahwinan mereka yang diambil di London. Setiap gambar memperlihatkan sisi romantik pasangan ini dengan momen sederhana yang cukup menggambarkan kebahagiaan mereka menjelang hari istimewa.
Potret tersebut dirakam oleh jurugambar @pinography, manakala Bella tampil anggun dalam busana daripada Hijabista Hub, dilengkapi solekan hasil sentuhan @flackitsman. Penampilan Bella yang manis dan Syed Saddiq yang bersahaja menyerlahkan sisi elegan dan maskulin pasangan sejoli ini. Sekali gus menjadikan sesi fotografi tersebut antara momen yang mencuri perhatian peminat.
Sebelum hari pernikahan, dokumentari berdurasi lebih 40 minit turut membawa penonton menyelami kisah hubungan Bella dan Syed Saddiq dengan lebih dekat. Selain memaparkan momen di sebalik persiapan perkahwinan, dokumentari tersebut turut berkongsi kisah bagaimana mereka memperkenalkan diri kepada keluarga masing-masing.
Buat peminat yang ingin mengikuti perjalanan istimewa ini, episod ‘Walimatul Urus Bella Astillah & Syed Saddiq’ bakal menampilkan siaran langsung majlis pernikahan pada 10 Oktober serta majlis resepsi pada 18 Oktober 2026 menerusi Astro Ria saluran 104, Astro Prima saluran 105 dan Astro Awani saluran 501.
Dengan persiapan yang semakin lengkap dan keterujaan peminat yang kian terasa, perkahwinan Bella Astillah dan Syed Saddiq pastinya menjadi antara detik istimewa yang dinanti-nantikan. Kini, hanya tinggal beberapa jam sebelum pasangan ini memulakan lembaran baharu sebagai suami isteri.