Marvel kembali menggegarkan panggung dengan filem terbarunya, The Fantastic Four: First Steps. Ia merupakan sebuah reboot yang dinanti-nantikan oleh peminat setia francais superhero ini. Filem ini bukan sekadar membawa semula watak-watak ikonik seperti Reed Richards (Pedro Pascal), Sue Storm (Vanessa Kirby), Johnny Storm (Joseph Quinn) dan Ben Grimm (Ebon Moss-Bachrach). Ia juga memberikan nafas baru kepada jalan cerita dan elemen sinematiknya dan penuh aksi.
The Fantastic Four: First Steps membawa kita ke satu universe alternatif yang berlatarbelakangkan era 1960-an, memberikan elemen retro yang unik dan menarik. Di sini, kita dapat melihat sisi baru kehidupan Reed Richards dan Sue Storm yang kini bergelar ibu bapa. Namun, cabaran besar muncul apabila anak mereka dikatakan telah ‘menyeru’ makhluk kosmik terkuat, Galactus — entiti pemusnah planet yang dahulunya seorang manusia biasa, kini menjadi ancaman utama kepada keseimbangan alam semesta dengan bantuan Shalla Bal.
Pertembungan antara tanggungjawab sebagai sebuah keluarga dan misi menyelamatkan dunia mencetuskan konflik emosi yang mendalam. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada ahli Fantastic Four, malah turut dirasai oleh manuasia di bumi.
Dari sudut sinematografi, filem ini nyata mengagumkan. Set penggambaran dan suasana yang dibina di sekitar era 60-an memberikan sentuhan nostalgia yang memukau. Pakaian, teknologi dan rekaan dunia yang ditampilkan berjaya membawa penonton ‘masuk’ ke dalam waktu dan tempat yang unik, berbeza dari kebanyakan filem Marvel sebelum ini.
Aksi-aksi pertarungan juga dipertingkatkan dengan efek visual yang mengasyikkan dan dramatik. Hubungan antara watak turut disampaikan dengan lebih realistik, menjadikan setiap pertempuran bukan sekadar fizikal, tetapi juga emosional.
Seperti biasa, Marvel tidak pernah menghampakan dalam bab post-credit scene. Adegan akhir filem ini sememangnya penuh dengan kejutan dan membuat ramai penonton terdiam seketika. Ia membuka ruang besar kepada kesinambungan kisah yang lebih mendalam dalam Marvel Cinematic Universe — mungkin juga memperkenalkan cabang multiverse yang lebih kompleks.