Bulan Jun nanti bakal menyaksikan dunia sukan bola sepak kembali rancak dalam ritma semangat yang sama. Anjuran Piala Dunia FIFA 2026 berlangsung sekali lagi sebagai edisi yang dinanti-nanti. Malah dibayangkan bakal menjadi sebagai antara anjuran yang paling ditunggu-tunggu dalam sejarah prestij penganjurannya. Kejohanan empat tahun sekali ini bakal menjadi titik temu gah paduan antara sukan, gaya hidup dan geopolitik moden. Namun kali ini, dimensinya jauh lebih luas. Tidak hanya terangkum pada angka pasukan negara malah termasuk kepada simbolisme setiap perlawanan, representasi negara dan pengaruh budaya global yang mengiringinya
Berdasarkan laman web rasmi FIFA.com mengesahkan buat pertama kalinya dalam sejarah, 48 negara akan beraksi di pentas perlawanan berbanding 32 pasukan sebelum ini. Perluasan ini memberi perubahan struktur pertandingan serta satu anjakan dalam landskap perlawanan bola sepak dunia. Lebih banyak negara bermakna lebih banyak kisah pertembungan aksi bakal terakam, lebih banyak gaya permainan dipertunjukkan kepada dunia dan lebih banyak kemungkinan yang sukar untuk diramal oleh sesiapa sahaja. Dengan 104 perlawanan dijadualkan sepanjang 39 hari penganjuran. Intensiti kejohanan dijangka memuncak daripada peringkat kumpulan yang sarat percaturan taktikal sehinggalah ke pusingan kalah mati nanti yang menuntut disiplin serta ketahanan mental tahap tertinggi. Setiap perlawanan selama 90 minit permainan tentunya akan membentuk naratif sejarah baharu.
Lebih signifikan lagi, edisi ini membuka lembaran baharu apabila tiga negara sah bergabung sebagai tuan rumah yakni Kanada, Amerika Syarikat dan Mexico. Gabungan ini melangkaui sempadan geografi dan memanifestasikan perpaduan serantau dalam skala yang belum pernah disaksikan mana-mana anjuran sebelum ini. Daripada latar kosmopolitan Toronto dan New York hingga ke warna-warni budaya Mexico City, pengalaman penyokong bakal menjadi sebuah perjalanan lintas budaya yang unik melalui tiket dibeli, negara dilewati dan semangat yang dipupuk segenap dunia.
Perlawanan pembukaan pula akan berlangsung di Estadio Azteca, Mexico City. Sebuah stadium ikonik yang pernah menjadi saksi kepada detik-detik lagenda bola sepak dunia. Perlawanan akhir nanti dijadualkan di lewat Stadium MetLife, Amerika Syarikat pada 19 Julai 2026. Sebuah arena moden yang bakal merakam detik kemuncak paling dramatik dalam kalendar sukan bola sepak global.
Di atas padang, kuasa-kuasa besar dunia dijangka kembali mendominasi perlawanan. Argentina hadir dengan reputasi juara, manakala Brazil terus membawa identiti samba dan warisan kejayaan yang panjang. Negara lain seperti Perancis, England serta Jerman pula tidak pernah hadir untuk melengkapkan jadual perlawanan semata-mata. Namun mereka mempunyai kekuatan dengan memendam strategi tersendiri yang tidak boleh dinafikan. Namun dalam sejarah Piala Dunia, reputasi tidak pernah menjadi jaminan mutlak kemenangan. Format serta strategi baharu yang dirangka selama empat tahun dan lebih sudah tentu membuka ruang kepada negara-negara yang sebelum ini hanya memerhati untuk mencipta lebih kejutan yang menjadi goncangan. Seperti mana kejayaan Sepanyol di Piala Dunia Afrika Selatan di tahun 2010. Mereka pernah mencipta satu detik magis sehingga mampu mengangkat sesebuah pasukan underdog itu ke puncak kemenangan.
Di luar stadium dan dalam talian pula impaknya besar turut tentu akan dirasai secara menyeluruh seperti anjuran sebelum ini. Infrastruktur diperkemaskan, ekonomi tempatan digerakkan dan jutaan pengunjung antarabangsa dijangka membanjiri bandar-bandar tuan rumah. Amerika Syarikat pernah mencatat rekod kehadiran penonton ketika menjadi tuan rumah pada 1994 dan edisi 2026 berpotensi melangkaui pencapaian tersebut dengan skala penganjuran yang lebih meluas. Lebih-lebih lagi dengan capaian penyiaran digital yang diyakini semakin progresif dan serba moden kekinian.

Akhirnya, Piala Dunia FIFA 2026 tentu meriah sebagai kejohanan sukan bola sepak bertaraf dunia yang dinanti-nanti ramai. Di Malaysia, ia ritual global tentang sokongan bersama jersi kebangsaan pasukan negara yang disokong, diskusi taktikal di meja makan atau restoran mamak sehinggalah tentang debaran yang menyesakkan dada. Segalanya sebelum sepakan penalti menentukan takdir kejayaan sebuah pasukan negara nanti.
Jun nanti, apabila tiupan wisel pertama FIFA dibunyikan pengadil, dunia akan menyaksikan perlawanan bermula. Sejarah silang budaya dunia bola sepak pula akan sekali lagi ditulis untuk tatapan mata peminat sukan dari seluruh pelosok dunia.