Eco Week anjuran Royal Selangor sekali lagi dianjurkan tahun ini untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat dengan lebih dekat usaha mereka mengamalkan prinsip kelestarian dalam setiap aspek operasinya. Tahun ini, acara tersebut dianjurkan dengan lebih giat lagi menerusi pameran interaktif dan pelbagai aktiviti menarik. Pengunjung dapat memahami secara terus proses pembuatan barangan yang lebih bertanggungjawab sebagai sebahagian daripada identiti jenama ini.
Antara usaha yang diketengahkan ialah penggunaan pewter yang boleh dikitar semula sepenuhnya. Lebihan bahan daripada proses pengeluaran turut dikumpulkan dan digunakan semula bagi mengurangkan pembaziran. Selain itu, sejak 2019 hampir 3,000 panel solar siap dipasang di fasiliti Royal Selangor. Usaha ini dilakukan untuk menjana tenaga boleh diperbaharui, malah lebihan tenaga disalurkan kembali ke grid nasional.
Selanjutnya, Royal Selangor turut memperkenalkan bahan komposit mesra alam yang dihasilkan daripada habuk kayu terpakai dan resin. Pembungkusan produknya juga kini menggunakan kertas sarang lebah biodegradasi sebagai pengganti buih plastik, sekali gus mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
Eco Week 2026 tahun ini turut menampilkan pelbagai koleksi yang diinspirasikan oleh keindahan alam semula jadi, usaha pemuliharaan hidupan liar serta warisan budaya. Koleksi-koleksi ini membuktikan bahawa rekaan yang indah juga mampu membawa mesej tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
Bagi melengkapkan lagi pengalaman pengunjung, Royal Selangor turut telah menganjurkan Kokedama Making Workshop. Ia merupakan anjuran sebuah bengkel yang memperkenalkan seni hortikultur Jepun menghasilkan tanaman yang dibalut dengan lumut. Peserta yang hadir dapat mempelajari teknik menghasilkan kokedama dan membawa pulang hasil ciptaan sendiri sebagai simbol hubungan yang lebih dekat dengan alam.



Menerusi Eco Week 2026, Royal Selangor membuktikan bahawa kelestarian merupakan komitmen berterusan yang boleh diterjemahkan dengan inovasi, kreativiti dan warisan. Ia satu pertukangan yang kekal relevan untuk generasi akan datang.