Setiap perjalanan membawa cerita yang berbeza. Daripada rutin harian di bandar, perjalanan hujung minggu bersama keluarga, sehinggalah detik-detik yang tidak dirancang di sepanjang jalan. Melihat kepada gaya hidup yang semakin dinamik, Volkswagen memperkenalkan all-new Tayron, sebuah SUV tujuh tempat duduk yang direka untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai keperluan.
Dipasang secara tempatan di fasiliti Volkswagen di Pekan, Pahang, Tayron hadir dalam dua pilihan varian iaitu Elegance yang menekankan keselesaan dan kepraktisan dan R-Line yang membawa karakter lebih sporty dengan prestasi lebih agresif.
Volkswagen Tayron Elegance hadir dengan enjin 1.5-litre eTSI mild hybrid yang menghasilkan kuasa 150PS dan tork 250Nm. Varian ini direka untuk mereka yang mencari keseimbangan antara kecekapan bahan api, keselesaan dan pengalaman pemanduan yang lebih lancar.
Teknologi mild hybrid 48-volt bersama sistem Active Cylinder Management (ACTplus) membantu mengoptimumkan penggunaan tenaga dengan menyesuaikan operasi enjin mengikut keadaan pemanduan. Sistem ini membolehkan sebahagian silinder dinyahaktifkan ketika beban enjin rendah bagi meningkatkan kecekapan tanpa menjejaskan pengalaman pemanduan.

Bagi mereka yang menginginkan pengalaman lebih bertenaga, Tayron R-Line menawarkan enjin 2.0-litre TSI turbocharged dengan kuasa 265PS dan tork 400Nm. Digabungkan bersama sistem pacuan semua roda 4MOTION. Varian ini memberikan tahap cengkaman dan kestabilan lebih tinggi terutama dalam pelbagai keadaan jalan raya.
Kedua-dua varian dilengkapi transmisi tujuh kelajuan DSG serta Volkswagen Dynamic Chassis Control Pro (DCC Pro). Ia menyesuaikan sistem suspensi secara automatik untuk memberikan keseimbangan antara keselesaan dan kawalan pemanduan.

Tayron memberikan rekaan generasi terkini dengan penampilan yang lebih berani dan premium. Bahagian hadapan tampil lebih tinggi dengan bonet yang berukir dan garis badan yang kemas memberikan imej sebuah SUV yang kukuh tetapi moden.

Varian Elegance menampilkan lampu LED Plus, lampu belakang 3D LED serta elemen kemasan khas Elegance pada bahagian hadapan dan belakang. Sementara itu, R-Line tampil lebih dinamik dengan lampu IQ.LIGHT HD Matrix, lampu belakang 3D LED bersama isyarat membelok dinamik serta kemasan berinspirasikan prestasi.
Sebagai sebuah SUV tujuh tempat duduk, kelebihan utama Tayron terletak pada fleksibiliti ruangnya. Kabin direka untuk memenuhi keperluan keluarga moden dengan susunan tempat duduk yang boleh diubah mengikut keperluan penumpang atau barangan.

Dengan tempat duduk baris kedua boleh dilipat dalam konfigurasi 40:20:40 dan baris ketiga dalam konfigurasi 50:50. Ruang penyimpanan boleh diperluaskan sehingga 1,905 liter apabila kedua-dua barisan tempat duduk dilipat.
Keselesaan turut menjadi fokus utama menerusi tempat duduk hadapan Varenna leather ergoActive Plus yang menawarkan pelarasan elektrik 12 hala, fungsi pemanasan, pengudaraan serta ciri urutan pneumatik dengan 10 kusyen udara.
Dari aspek hiburan, Tayron Elegance dilengkapi sistem audio 8 pembesar suara. R-Line pula hadir dengan sistem bunyi Harman Kardon 10+1 pembesar suara bersama subwoofer, penguat digital 16 saluran dan output 700 watt.
Mengikuti perkembangan teknologi automotif masa kini, Tayron menawarkan ekosistem digital yang lebih intuitif untuk pemandu dan penumpang.
Varian Elegance dilengkapi sistem infotainmen Discover bersaiz 12.9 inci, manakala R-Line menampilkan skrin Discover Pro Max 15 inci. Kedua-duanya menggunakan perisian MIB4 serta menyokong sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto.

Selain itu, kedua-dua varian hadir dengan Digital Cockpit Pro 10.25 inci yang memaparkan maklumat penting secara lebih jelas di hadapan pemandu. R-Line turut menerima ciri head-up display yang memaparkan maklumat seperti kelajuan, navigasi dan amaran bantuan pemanduan terus pada cermin hadapan.
Sistem pembantu suara IDA turut melengkapkan pengalaman digital ini, membolehkan beberapa fungsi dikawal dengan lebih mudah tanpa mengganggu fokus pemanduan.
Dari segi keselamatan, Volkswagen Tayron menerima penarafan lima bintang daripada Euro NCAP. Ia mencerminkan tahap perlindungan tinggi melalui gabungan sistem keselamatan aktif dan pasif.
Kedua-dua varian dilengkapi teknologi IQ.DRIVE yang merangkumi pelbagai ciri bantuan pemanduan. Antaranya seperti:
Turut disediakan juga sistem perlindungan penumpang proaktif seperti Emergency Assist dan sembilan beg udara termasuk beg udara tengah hadapan. Ia direka untuk mengurangkan risiko pelanggaran antara pemandu dan penumpang hadapan ketika impak sisi.