Di Malaysia, apabila berbicara tentang isu kesuburan, fokus sering kali diberikan kepada wanita. Ujian hormon, rawatan IVF dan tekanan kehamilan, semuanya berlegar di minda wanita. Namun realitinya, tahukah anda masalah kesuburan lelaki ini sebenarnya menyumbang hampir 40 hingga 50 peratus daripada kes kemandulan pasangan?
Angka ini bukanlah rekaan semata-mata, tetapi ia adalah fakta yang semakin hari makin banyak disokong oleh kajian dan statistik klinikal. Malangnya, isu kesihatan dan kesuburan lelaki masih dianggap tabu, dipandang sepi dan disembunyikan atas alasan ego dan stigma.
Kesuburan lelaki bukan sekadar berkait pada perihal ‘kejantanan’, tetapi melibatkan pelbagai aspek fisiologi seperti kuantiti dan kualiti sperma, tahap hormon testosteron, fungsi testis dan salur ejakulasi serta melalui gaya hidup, pemakanan dan tahap tekanan diri yang dialami seseorang itu.
Selain itu juga seperti yang kita sedia tahu faktor-faktor seperti merokok, berat badan berlebihan, kurang tidur, pendedahan terhadap bahan kimia industri dan pengambilan alkohol boleh memberi kesan langsung terhadap kesihatan sperma. Bahkan, ada kajian berkongsi di mana kekerapan penggunaan gajet riba di atas paha dan telefon bimbit dalam poket seluar juga dikaitkan dengan penurunan kualiti sperma akibat pendedahan haba yang berlebihan.
Ramai lelaki yang berkahwin (dan ingin berkahwin) hanya memilih untuk menjalani pemeriksaan kesihatan asas seperti tekanan darah dan kolesterol tetapi mengabaikan pemeriksaan hormon atau analisis air mani. Lebih membimbangkan, ramai juga yang tidak tahu bahawa kesuburan lelaki juga menurun seiring usia, terutamanya selepas umur menginjak 40 tahun.
Dalam kalangan pasangan yang sedang membuat persiapan untuk berkahwin pula, ujian kesihatan praperkahwinan sering dianggap formaliti, jarang membabitkan ujian kesuburan lelaki kecuali jika terdapat masalah kronik yang diketahui. Keadaan ini menimbulkan risiko pasangan hanya menyedari masalah sebenar selepas berkahwin, lantas diri dan perhubungan mula menjadi tertekan dan kemudian mencuba rawatan tanpa arah yang jelas.
Salah satu halangan terbesar ialah ketabuan masyarakat dan sikap segelintir lelaki yang mengaitkan kesuburan dengan harga diri. Ramai yang berasa malu atau enggan diuji kerana menganggap ia menggugat ‘kelelakian’. Namun hakikatnya, berani menjalani pemeriksaan dan mengambil langkah pencegahan adalah tanda tanggungjawab dan kematangan, bukan kelemahan.
Kesedaran awam juga masih rendah. Jarang sekali topik kesuburan lelaki dibincangkan secara terbuka di media arus perdana. Berbanding kesihatan wanita yang menerima banyak liputan dan kempen kesedaran, isu kesihatan lelaki sering dilihat sebagai hal peribadi yang ‘tak perlu diperbesarkan’.
TEMU BUAL BERSAMA DR. MOHD AIZUDDIN BIN MOHD ZULASTRI, Pakar Perubatan Dalaman, Pusat Perubatan Universiti Malaya
1. Apakah punca utama yang menyebabkan lelaki sukar menghamilkan isteri?
Antara punca utama termasuk bilangan sperma yang rendah, pergerakan sperma yang lemah, bentuk sperma yang abnormal (teratozoospermia), gangguan hormon, jangkitan, varikokel (salur darah testis yang bengkak) dan faktor gaya hidup seperti pengambilan alkohol, merokok atau obesiti. Penyakit kronik seperti kencing manis juga boleh menjejaskan penghasilan dan fungsi sperma. Berdasarkan kajian oleh WHO, kira-kira 1 daripada 6 pasangan mengalami masalah kesuburan, dan hampir separuh melibatkan faktor lelaki.
2. Mengapa isu kesuburan lelaki sering kurang dibincangkan secara terbuka dalam masyarakat kita?
Ini mungkin disebabkan norma budaya dan stigma maskuliniti, di mana kesuburan dikaitkan dengan kelelakian. Ramai lelaki merasa segan atau malu untuk mendapatkan rawatan kerana menganggap ia satu bentuk “kelemahan”. Kesedaran awam masih tertumpu kepada wanita dalam hal kesuburan. Menurut laporan dari Sunway Fertility Centre, berdasarkan data LPPKN, 95% lelaki yang melakukan hubungan seksual secara normal tidak menyedari bahawa mereka mungkin menghidap ketidaksuburan, menunjukkan tahap kesedaran yang sangat rendah
3. Apakah statistik terkini tentang sumbangan faktor lelaki terhadap masalah kesuburan pasangan di Malaysia?
Secara global dan juga di Malaysia, dianggarkan 40-50% kes ketidaksuburan pasangan berpunca daripada faktor lelaki sama ada secara tunggal atau gabungan dengan faktor wanita.
Kajian oleh LPPKN menunjukkan peningkatan masalah kesuburan lelaki, sebahagiannya dikaitkan dengan gaya hidup moden yang tidak sihat dan penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis.
4. Sejauh mana gaya hidup moden memberi kesan kepada kesuburan lelaki?
Gaya hidup moden termasuk tekanan kerja, kurang tidur, pemakanan tidak sihat, penggunaan rokok termasuk vape, serta kurang bersenam memberi kesan negatif terhadap kesuburan. Kencing manis dan obesiti, yang semakin meningkat dalam kalangan lelaki muda, turut menjejaskan penghasilan hormon dan fungsi sperma. Berdasarkan kajian-kajian antarabangsa, lelaki dengan BMI tinggi dan HbA1c ( indeks kawalan gula) tidak terkawal mempunyai kadar kualiti sperma yang lebih rendah.
5. Apakah masalah kesihatan biasa yang menjejaskan kualiti sperma lelaki?
Masalah seperti kencing manis, obesiti, gangguan hormon (hipogonadisme), varikokel, jangkitan pada testis atau prostat, dan rawatan kanser (kemoterapi, radioterapi) boleh menjejaskan kualiti sperma. Kencing manis yang tidak terkawal contohnya boleh menyebabkan kerosakan pada salur darah dan saraf yang penting dalam fungsi seksual dan penghasilan sperma.
6. Adakah faktor genetik turut memainkan peranan dalam isu kesuburan lelaki?
Ya. Mutasi genetik seperti microdeletion pada kromosom Y atau sindrom Klinefelter boleh menyebabkan penghasilan sperma yang tidak normal atau tiada langsung (azoospermia). Walaupun lebih jarang, kencing manis jenis 1 ( autoimun) yang bermula sejak usia muda juga dikaitkan dengan perubahan genetik tertentu yang boleh memberi kesan pada kesuburan.
7. Bolehkah masalah kesuburan lelaki dirawat sepenuhnya?
Bergantung kepada punca. Sesetengah masalah seperti varikokel, jangkitan atau gangguan hormon boleh dirawat. Dalam kes lain seperti kencing manis yang dikawal awal, fungsi sperma boleh diperbaiki. Kajian menunjukkan kawalan gula dalam darah yang baik boleh meningkatkan kualiti sperma dalam tempoh 3-6 bulan. Untuk kes lebih rumit, rawatan seperti ubat hormon, IUI atau IVF/ICSI boleh membantu pasangan mencapai kehamilan.
8. Ujian apa yang boleh dilakukan oleh lelaki di rumah untuk menilai tahap kesuburan lelaki?
Terdapat kit ujian di rumah yang boleh menilai kiraan dan pergerakan sperma secara asas ( screening test) . Dengan perkembangan teknologi terkini, terdapat beberapa kit ujian di rumah yang mempunyai ketepatan ujian menghampiri 90% dan keputusan dapat diperolehi dalam masa 30minit. Namun, untuk pengesahan diagnosis yang lebih tepat (gold standard) , ujian analisis air mani di makmal dan mendapat pandangan daripada doktor adalah lebih disyorkan.
9. Apakah mesej penting yang doktor ingin sampaikan kepada pasangan yang sedang berusaha untuk mendapatkan zuriat?
Kesuburan adalah tanggungjawab bersama, bukan isu wanita semata-mata. Lelaki perlu bersikap terbuka dan proaktif untuk menjalani ujian serta menerima rawatan jika perlu. Jika terdapat penyakit kronik, kawalan awal sangat penting. Dapatkan nasihat pakar selepas 6–12 bulan mencuba tanpa kejayaan. Ingat, zuriat adalah rezeki, tetapi usaha yang tepat dan bersama akan membuka lebih banyak peluang