Bleu de Chanel L’Exclusif — konsentrasi tertinggi untuk sebuah keinginan, visi dan sebuah permulaan baharu. Haruman terbaharu ini melangkaui batas kebiasaan. Sofistikated, berani dan tiada kompromi.
Ini adalah kisah tentang ekspresi terunggul Bleu de Chanel. Sebuah haruman yang mencabar norma-norma tradisi dalam dunia minyak wangi. Dengan ciptaan baharu yang memukau oleh Olivier Polge, Pakar Haruman Chanel, kini melangkaui batas maskuliniti.
Bleu de Chanel L’Exclusif menzahirkan kekuatan, kekayaan dan kerumitan aromanya. Dengan haruman kayu Amber yang amat kuat dan meninggalkan jejak yang mendalam, i a adalah haruman yang memikat, menangkap perhatian dengan lapisan aromanya yang mendalam. Kayu cendana yang agung menjadi nadi kepada intensiti ciptaan ini, manakala nota kulit dan resin daripada cistus labdanum menyerlahkan sisi karakter yang lebih misteri dan menawan.
Ekstrak kayu cendana berharga yang digunakan dalam komposisi minyak wangi Chanel, termasuk Bleu de Chanel L’Exclusif, diperoleh daripada rantaian bekalan bersepadu di pulau Mare, New Caledonia. Proses ini memastikan sumber kayu cendana yang beretika dan lestari, dengan mengambil kira kelestarian alam sekitar, sumber asli, serta komuniti tempatan.
Hanya teras kayu yang kaya dengan minyak pati digunakan dan diproses dengan teliti melalui kaedah pengekstrakan khas yang dicipta khusus. Kualiti unik ekstrak kayu cendana ini memberikan haruman Chanel ciri olfaktori yang tersendiri dan tiada tandingan.
Bersama Sylvie Legastelois, Pengarah Penciptaan Pembungkusan dan Identiti Grafik di Chanel Parfums/Beauté berbicara tentang Bleu de Chanel L’Exclusif:
Sylvie Legastelois, Pengarah Penciptaan Pembungkusan dan Identiti Grafik di Chanel Parfums/Beauté
Pelancaran Bleu de Chanel L’Exclusif disertai dengan botol baharu. Bagaimana anda bekerjasama dengan Olivier Polge untuk menghidupkannya?
Olivier amat terinspirasi oleh projek ini. Dan itu sangat penting! Tanpa inspirasi, tiadalah haruman. Beliau mendekati Bleu de Chanel L’Exclusif seperti mana beliau mendekati ekstrak minyak wangi wanita — dengan intensiti yang sama. Itu sesuatu yang jarang berlaku bagi haruman lelaki. Ia selaras sepenuhnya dengan kekuatan spiritual warna biru. Beliau melangkaui apa yang pernah dilakukannya untuk haruman asal. Ia adalah satu kemuncak yang menginspirasi. Skala cabaran yang Olivier tetapkan untuk dirinya benar-benar membuka jalan untuk saya. Saya berkata pada diri sendiri bahawa botol ini mesti mencerminkan kekuatan ekstrak ini. Kami perlukan botol khusus dengan bentuk dan identiti yang kukuh, yang dapat memberikan ekspresi visual yang jelas tentang kepekatan haruman ini, kerana nama sahaja tidak cukup untuk menggambarkannya.
Apakah makna warna biru bagi anda dan juga bagi Chanel?
Biru ialah warna spiritual. Ia mempunyai kualiti yang sukar ditakrifkan. Adakah ia biru? Atau hitam? "Terlalu hitam untuk menjadi biru, terlalu biru untuk menjadi hitam…" Saya suka sifat versatilnya itu. Anda juga boleh lihat dalam arkib bahawa Gabrielle Chanel suka mencampurkan biru navy dan hitam. Beliau menghargai kualiti yang penuh misteri itu. Pada tahun 1930-an, beliau mencipta Bleu de Chanel, sama seperti Beige de Chanel dan Rouge de Chanel. Jadi warna ini memang sah milik kami. Ia adalah sebahagian daripada warisan kami.
Bagaimanakah anda akan menggambarkan haruman ini dalam tiga perkataan?