Maison Francis Kurkdjian melapangkan perspektif, ‘berkelana’ ke Asia Selatan dan menerokai aroma oud untuk rangkaian haruman berlandaskan kayuan damar serta pokok aloewood dan mencipta Oud Velvet Mood!

Aromanya infiniti, melepaskan sela-sela haruman yang menjentik ingatan kita pada Timur Tengah. Ekspresif dan mengesani sesuatu yang serasa mewah. Apalagi menimba ilham fabrik dalam pengisian estetika baunya. Ia bertitik tolak daripada ilhamnya yang membayangkan sinar mentari naik di ufuk di timur teluk Persia, di gurun Liwa, lalu tersusup adicita mencipta bau yang memberatkan atribut sensual dengan kemodenan kelembutan.
Perihal inilah yang termuat dalam ruang imaginasi Maison Francis Kurkdjian dan lahirlah Oud Velvet Mood Extrait de Parfum. Inspirasi fabrik baldu memperkayakan lagi tafsiran haruman ini. Si perfumer handalan, Francis Kurkdjian menyelami taraf tertinggi alam haruman, mengukur kemewahan adibusana pada estetika olfaktori.

Oud Velvet Mood adalah persambungan daripada rangkaian Oud Silk Mood dan Oud Satin Mood yang menggugah kecondongan suka Francis tentang bauan Oud – menyedari kesejarahan, kompleksiti serta sensuality fauna. Apalagi nota-nota yang bersifat kehaiwanan seperti castoreum dan kesturi seakan-akan sirna daripada palet-palet, justeru oud membenarkan kita menampilkan sisi kehaiwanan yang kian tidak kerap digunakan dalam dunia perfumery moden.
Oud Velvet Mood yang diilhamkan daripada narasi pengalaman Francis kala ke gurun Liwa, reseptif terhadap vista yang tak berhujung dengan batas, dengan seyojana mata memandang. Kecantikan gurun itu begitu mempesona, ditambah lagi rasa sensual pada kersik halus, bukit-bukitnya yang organik dan senantiasa berubah terbentuk oleh angin siliran. Unsur fantastik inilah yang menjadi inti sari Oud Velvet Mood.

Seperkara tentang inovasi Francis adalah keulungan dalam menggandingkan dua elemen kontra yakni pic dan kayu oud. Dia menjambatani tradisi wanigan Perancis dengan bahan-bahan yang diperoleh dari segenap dunia. Apa yang tercipta adalah jukstaposisi tradisi dengan kontemporari dan tafsirah baharu nota kayuan oriental yang mengharumkan kulit tubuh.
Asas wanigan ini adalah kayu oud asli, bahan resin yang memancarkan aroma smoky namun ada daya tarikan distingtif. Francis membelah aroma tersebut dengan memperkuatkan lagi bauan oud yang secara semula jadinya punya sisi bau buah-buahan serta madu. Francis tidak menyingkir terus identiti bauan kayu pada oud, sebaliknya menyisip nota pic segar serta bertekstur dan ia melembutkan bauan kayu tersebut. Kesetimbalan itu terletak pada kelembutan intensity dan pada masa yang sama, mengekalkan sifat semula jadi. Bunga Osmanthus dan nota aprikot menyempurnakan keseluruhan wanigan ini, dengan paduan accent sued yang menggandakan rasa lembut itu. Safron berempah, balm copaiba dan bunga melur menambah sensual pada teras oud ini, lantas kenikmatan baunya bertahan pada tubuh.