LANGGAN

What’s New Today?: Mental Sihat Bersama ‘Brainstacking’!

Take over your brain with these routines!
Published: October 14, 2026

Apa yang membuatkan minda seseorang kekal cerdas dan aktif? Selain menjaga kesihatan fizikal, otak juga memerlukan latihan untuk terus dirangsang. Baru-baru ini, ‘brainstacking’ atau cognitive stacking mula mendapat perhatian di media sosial. Rutin ini menggabungkan beberapa aktiviti yang merangsang minda dalam satu sesi tanpa memerlukan usaha yang terlalu besar. 

Sebagai penulis digital dan gaya hidup, saya tertarik untuk mencubanya sendiri. Selepas hampir dua minggu mengamalkan rutin ini, saya mula menyedari perubahan dalam cara saya menguruskan fokus, terutamanya ketika berdepan dengan gangguan harian. Bagi saya, ia menjadi ruang untuk memperlahankan rentak dan berehat seketika daripada dunia digital. Jadi, apa sebenarnya ‘brainstacking’ dan bagaimana anda boleh mencubanya?

Memberi Ruang Kepada Minda

Kesihatan mental dan kesejahteraan minda wajar diberikan perhatian dalam kehidupan seharian. Dalam dunia digital kini, kita sering menghabiskan masa di hadapan skrin tanpa menyedari berapa lama perhatian kita terarah kepada kandungan yang tiada kesudahan.

Di sinilah ‘brainstacking’ boleh menjadi salah satu alternatif untuk mengisi masa dengan aktiviti yang lebih bermakna. Melalui rutin yang ringkas dan tersusun, kita boleh meluangkan masa untuk menyelesaikan teka-teki, menulis jurnal atau membaca buku. Aktiviti ini juga memberi peluang untuk menjauhkan diri seketika daripada skrin dan kembali memberi perhatian kepada perkara yang sedang dilakukan.

Bagi mereka yang mudah terganggu ketika bekerja atau belajar, rutin ini boleh menjadi permulaan untuk membina tabiat yang lebih teratur. Walaupun tidak menawarkan penyelesaian segera kepada masalah fokus atau keresahan, meluangkan masa untuk aktiviti yang menenangkan boleh membantu kita mewujudkan ruang rehat dalam kesibukan harian.

Kenapa Rutin Ini Menjadi Trend Baru?

Bagi saya, ‘brainstacking’ bukan sekadar trend media sosial. Ia mencerminkan keinginan untuk mendapatkan semula fokus dalam dunia yang dipenuhi kandungan digital. Daripada satu video ke video seterusnya, kita mudah terperangkap dalam tabiat doom scrolling sehingga masa berlalu tanpa disedari.

Kehadiran kandungan yang sentiasa diperbaharui, termasuk yang dihasilkan melalui kecerdasan buatan (AI), turut menjadikan dunia digital semakin sukar untuk ditinggalkan. Kita sentiasa mempunyai sesuatu untuk ditonton atau diterokai. Akibatnya, masa untuk berhenti seketika dan memberi perhatian kepada diri sendiri semakin terhad.

Sebab itu, saya melihat ‘brainstacking’ sebagai peluang untuk mengubah rutin harian. Daripada terus menatap skrin ketika mempunyai masa terluang, mengapa tidak gunakan waktu tersebut untuk melakukan sesuatu yang merangsang minda? Perubahan kecil ini mungkin nampak mudah tetapi ia boleh menjadi langkah pertama untuk membina hubungan yang lebih seimbang dengan teknologi.

Apa Yang Anda Dapat Daripada Brainstacking?

Fokus kita tidak semestinya sama setiap hari. Ada masanya kerja menjadi keutamaan, manakala pada hari lain, kita memerlukan lebih banyak ruang untuk berehat dan menjaga diri. Walaupun ‘brainstacking’ kelihatan seperti rutin yang mudah, ia memberi peluang untuk kita memperlahankan rentak dan menyusun semula perhatian.

Sebelum mengenali rutin ini, saya lebih cenderung menganggap waktu malam sebagai masa untuk berehat selepas seharian bekerja. Namun, apabila saya mula mencuba ‘brainstacking’, saya menemui cara lain untuk mengisi masa tersebut. Daripada menghabiskan malam dengan melihat skrin, saya mula meluangkan masa untuk menyelesaikan teka-teki, menulis jurnal dan membaca buku.

Perubahan ini memberikan pengalaman yang berbeza. Saya dapat menikmati masa tanpa perlu sentiasa memeriksa telefon, sekali gus memberi lebih banyak perhatian kepada aktiviti yang sedang dilakukan. Rutin ini juga menjadi ruang untuk melepaskan tekanan selepas hari yang panjang. Bagi saya, perkara paling menarik ialah perasaan lebih bersedia untuk memulakan hari berikutnya dengan fikiran yang lebih teratur.

Cara-Cara ‘Brainstacking’: Apa Ritualnya?

Tiada satu cara khusus untuk melakukan ‘brainstacking’. Anda bebas memilih aktiviti mengikut minat, keselesaan dan masa yang ada. Jika anda lebih suka menulis jurnal atau membaca buku, kedua-duanya juga boleh menjadi sebahagian daripada rutin ini.

Untuk saya, rutin ‘brainstacking’ bermula dengan Sudoku, teka silang kata, journaling dan membaca buku pilihan. Gabungan aktiviti ini memberikan variasi supaya sesi tersebut tidak terasa membosankan. Anda juga boleh mencuba beberapa aktiviti berikut untuk membina rutin sendiri

  • Jigsaw Puzzle 
  • Murdoku 
  • Murdle 
  • Word Search 
  • Gratitude Journal 

Anda tidak perlu melakukan semuanya dalam satu sesi. Mulakan dengan dua atau tiga aktiviti yang paling menarik perhatian anda. Tetapkan masa yang sesuai dan nikmati prosesnya tanpa menjadikannya satu lagi tugasan yang perlu diselesaikan. Apa yang penting ialah membina rutin yang realistik dan mudah diteruskan.

Bukan Sekadar Trend

Walaupun ‘brainstacking’ mula dikenali melalui media sosial, tidak bermakna amalan ini perlu berakhir apabila popularitinya semakin berkurangan. Bagi saya, bukan semua perkara yang bermula dari media sosial perlu kekal sebagai trend semata-mata. Ada kalanya, ia menjadi titik permulaan untuk kita mencuba sesuatu yang akhirnya sesuai dengan gaya hidup sendiri.

Lihat sahaja aktiviti seperti Pilates, larian dan pickleball yang turut mendapat perhatian ramai. Ada yang mencubanya kerana ingin mengikuti tren tetapi ramai yang menjadikannya sebahagian daripada rutin harian mereka. Perkara yang sama boleh berlaku dengan ‘brainstacking’. Kita mungkin bermula kerana rasa ingin tahu tetapi jika aktiviti tersebut memberikan pengalaman yang positif, tiada salah untuk meneruskannya.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down