Berkatalah hati, “Am I a brand-conscious person?” Dalam penyusunan gaya peribadi, yang memancarkan ketepatan aturan – dari kepala hingga ke kaki, segalanya berlandaskan jenama. Apalagi jelas terpapar logo jenama yang pastinya menerbitkan selintas rasa umum bahawa anda sesungguhnya seorang pencinta jenama, ataupun memandang tinggi kualiti.

Apakah ia berlanjutan ke aksesori kecil yang sekadarkan cuma dipakai pada pergelangan tangan? Sekecil mana pun logo atau nama jenamanya, namun ia terangkum sebagai penyambung nadi keseluruhan penampilan? Seandainya anda seorang yang mementingkan setiap pojok aspek penggayaan, penelitian yang berkecambah ke gelang kecil pada tangan pasti juga diberi tumpuan.
Gagasan untuk tidak melunturkan kecintaan pada jenama menerusi pernyataan jelas ‘namanya’ – berlingkar pada pergelangan tangan, terpamer nama jenama yang tidak lagi berselindung. Membuktikan sense of fashion atau kepekaan si pemakai, barangkali menerbitkan perihal intim untuk mengecap kepuasan pada penggayaan. Serasa mendorong kepada sesuatu yang dapat dilihat dan dapat disentuh.
Memposisikan si pemakai dalam peringkat permulaan, menerobos ke dunia fesyen dan mementingkan aspek identiti sesuatu jenama. Sebagai tanda ekspresi? Mungkin juga. Nama LOUIS VUITTON, PRADA, DIOR dan seumpamanya menjelmakan keuniversalan. Baik untuk penampilan kasual, mahupun formal. Dan memilih material perak (sebagai material dominan) mengandalkan tafsiran maskulin si lelaki.
Suatu ketika dahulu (malah, sampai sekarang pun), jam tangan adalah satu-satunya pelengkap ‘mesti ada’ untuk lelaki. Kini, kemantapan gaya diperkaya oleh gelang tangan – menjadi lapisan kedua. Bertolak daripada hal ini, gelang tangan berjenama dianggap sebagai penanda aras cita rasa. Sebagai ekspresi diri? Mungkin. Sebagai identiti gaya? Mungkin juga.
Ukiran nama jenama seperti DIOR, LOUIS VUITTON atau PRADA sejujurnya membawa satu nilai. Ia melangkahi aspek kefungsian semata-mata. Ia mengundang suatu pemahaman bahawa si lelaki itu ada satu ‘keterikatan’ terhadap DNA sesebuah rumah fesyen, malah menjadi sebahagian daripada buana mewah fesyen – dalam erti kata lain, entry level – tanpa perlu melabur lebih pada helaian pakaian atau aksesori lain seperti beg dan kasut.
Kadar saiznya biarpun kecil, namun apa yang mengekor adalah impak visual. Ia menyemai daya tarikan yang mencadangkan “saiz kecil, tetapi besar maknanya”. Gelang tangan berjenama kini adalah titik fokus gaya lelaki moden, memperhebat penampilan untuk gaya harian atau acara tertentu.






