
Magis malam terletak pada kedipan bintang dan terang bulan yang sentiasa menemani. Penuh cerita, misteri dan keindahan - menjadi ilham terbaru Rado dalam mentafsir penciptaan kini Centrix Moonphase Limited Edition yang terbaru. Diilhamkan daripada hikayat Seribu Satu Malam yang penuh fantasi dan pesona.
Centrix Moonphase Limited Edition dicipta bagi memberi pentafsiran kisah legenda yang digambarkan dalam koleksi cerita rakyat Timur Tengah yang terkenal tersebut. Setiap yang memakai akan mencipta kisah serta panduan tersendiri menghayati hikayat di sebaliknya.
Pada permukaan dail, satu jalur melengkung yang dihiasi 29 berlian Top Wesselton melambangkan lengkungan bumi – bahawa ini bukan batu permata biasa dibuktikan dengan kehadiran perkataan Jubilé di bawah logo Rado. Pesonanya melengkapi kehendak rekaan serta kepenggunaan yang nyata dan berketahanan tinggi.

Planet tempat kita tinggal digambarkan dalam mother-of-pearl hitam, menghadirkan keanggunan organik dengan tona sepadan yang membingkai tingkap tarikh pada kedudukan jam enam. Selebihnya dail terdiri daripada latar aventurine yang dihiasi dengan kemasan seperti serbuk berlian, memberikan kilauan kompleks yang kelihatan seperti sejuta bintang yang bertaburan di seluruh galaksi.
Tepat di atas garis ufuk, di situlah paparan fasa bulan (moonphase) dapat dilihat. Malah, ini merupakan kali pertama Rado menggunakan komplikasi moonphase pada model Centrix. Di sini, bulan digambarkan dalam kemasan rhodium, sepadan dengan jarum jam dan minit pada jam tangan tersebut, serta memaparkan keseluruhan kitaran bulan ketika ia membesar dan mengecil setiap bulan.