Hanya segelintir rumah barang kemas yang benar-benar mampu membentuk wajah industri perhiasan dunia. Nama-nama yang kini menjadi lambang warisan dan ketukangan agung. Kerana apabila kita berbicara tentang barang kemas, ia bukan semata-mata mengenai kilauan batu permata. Di sebaliknya tersimpan kisah, legasi dan seni yang diwariskan dari generasi ke generasi. Justeru, mengenali dari manakah perhiasan itu datang menjadi sama pentingnya dengan memakainya.
Legasi: Sebuah rumah barang kemas yang kisahnya tidak terpisah daripada sejarah diraja Eropah. Ditubuhkan di Paris pada tahun 1780 oleh Marie-Étienne Nitot yang pernah menjadi anak murid serta pekerja kepada Ange-Joseph Aubert, tukang emas peribadi Permaisuri Marie-Antoinette.
Namanya melonjak apabila dia dilantik sebagai tukang emas rasmi Maharaja Napoleon Bonaparte. Untuk Permaisuri Joséphine, dia mencipta karya gemilang yang mengukuhkan legasi Chaumet sebagai simbol kemegahan empayar, status yang terus hidup selama berabad-abad.
Pada 1812, anaknya François-Regnault menggantikannya, memindahkan bengkel ke Place Vendôme, menjadikan Chaumet rumah barang kemas pertama yang beroperasi di alamat ikonik itu, kini lokasi Ritz Paris. Namun figura yang benar-benar memberi identiti kepada maison ini ialah Joseph Chaumet, pengarah antara 1885 hingga 1928. Sepanjang abad ke-19 dan ke-20, Chaumet menyerap arus seni zamannya, daripada geometri Art Deco sehingga ke romantisme Belle Époque. Hari ini, Chaumet kekal setia menghormati akar empayar sambil melangkah ke era moden. Karyanya sering memberi penghormatan kepada Joséphine, muse Napoleon dengan tafsiran kontemporari.
Karya Ikonik: Tiara Joséphine lambang abadi kekuatan feminin, romantisme empayar dan keanggunan Paris.
Selepas persinggahan di Paris dan Osaka, Chaumet meneruskan jelajahnya ke Seoul dengan mempersembahkan koleksi Bee de Chaumet melalui sebuah pop-up eksklusif di Menara Lotte World, Seoul. Diinspirasikan daripada pameran yang asalnya direka untuk Expo 2025 Osaka, pop-up ini membawa para pengunjung menyelami pengalaman yang mengasyikkan.
Sebagai penghormatan kepada ketukangan Korea, susunan sel sarang lebah daripada kertas hanji mengubah ruang tersebut menjadi sebuah sarang lebah kontemporari. 245 tahun sejarah dan kemahiran Chaumet dipersembahkan dengan sentuhan moden dan para pengunjung dibawa menelusuri perjalanan menarik motif lebah daripada kemunculannya sebagai lambang empayar di bawah pemerintahan Napoléon sehingga ke tafsiran semasanya dalam rekaan sarang lebah yang lebih grafik.
Menyinari majlis pembukaan dengan kilauan perhiasan daripada koleksi tersebut, barisan selebriti terkenal turut hadir meraikan acara ini. Antara yang mencuri tumpuan ialah Song Hye Kyo, pelakon dan duta Chaumet; Winter daripada kumpulan Aespa; penyanyi dan komposer Soobin Hoang Son; serta Anton dan Sunchan dari kumpulan K-pop Riize.