Lebih dua dekad mewarnai industri dengan deretan naskhah lakonan, tampilannya cukup disegani ramai. Namun begitu, baginya belum layak untuk dirinya dilabel ‘legenda’ kerana dia ingin mahu lebih berkarya dan berkongsi lebih banyak ilmu lakonan kepada ramai.
Auranya cukup terasa sebaik sahaja Beto atau dia lebih selesa dipanggil Abang Beto tiba di set penggambaran ELLE Men hari itu. Bersahaja seperti yang dikenali di media sosial, dia tidak mengambil masa lama membuka cerita untuk berkongsi pengalaman sendiri. Semakin lama berbual dan semakin banyak tujahan soalan, semakin jelas satu perkara, ada kepuasan tersendiri mendengar cara Beto menyusun bicara.
Pemilik nama sebenar Nurkusyairy Zakuan ini datang ke set dengan ketepatan masa dan mudahnya berurusan dengan isterinya Tisha Shahar yang turut merangkap sebagai pengurusnya. Barangkali, selepas sekian lama membina kerjaya dalam dunia lakonan, urusan kerja dan kehidupan peribadi sudah bergerak seiring buat mereka berdua.
Pelbagai filem, drama, iklan dan muzik video yang menghiasi perjalanan kerjayanya bukanlah sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata. Beto memulakan langkah di dunia hiburan sebagai maskot untuk rancangan televisyen pendidikan RTM, ‘Along’ sebelum membuat kemunculan sulung di layar lebar menerusi filem ‘Syaitan’ pada 2007.
Daripada situ, langkah perjalanan seni Beto terus berkembang dengan pelbagai karakter dan naskhah yang berjaya mengukuhkan namanya dalam industri. Antaranya ‘Istanbul Aku Datang!’ (2012), ‘CEO’ (2014), ‘Gila Baby’ (2014), ‘Bisik Pada Langit’ (2017), ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ (2022), ‘Imaginur’ (2023), ‘Reversi’ (2024), ‘Gayong’ (2025 - 2026), ‘Libang Libu’ (2026) dan terkini, ‘Chelot’ (2026).
Di kaca televisyen pula, Beto pernah muncul menerusi ‘Kekasihku Seru’ (2008), ‘Juvana’ (2011), ‘Jangan Ambil Padang Kami’ (2012), ‘Hanya Padamu’ (2013), ‘KL Gangster: Underworld’ (2018 - 2020), ‘Good Boys Go To Heaven’ (2026) dan banyak lagi.
Ternyata, lebih dua dekad berada dalam lapangan seni lakon, Beto Kusyairy kekal relevan untuk diterima segenap lapisan masyarakat dan umur. Jika ada yang bertanya tentang lagam seni Beto Kusyairy, rasanya tidak perlu diragukan lagi, ia sudah terbentuk melalui pengalaman, disiplin kerja dan kecintaannya terhadap kerja lakonan.
ELLE Men: Untuk kita bermula, boleh kongsikan fokus terkini Beto?
Beto Kusyairy: Sekarang (ketika temu bual ini berlangsung) saya sibuk dengan kerja-kerja promosi filem ‘Chelot’, syukur selepas 14 hari ditayangkan kami masih berada di nombor satu carta pawagam seluruh Malaysia. Saya juga sedang prepare untuk sebuah lagi filem arahan Ariff Zulkarnain di bawah Indigo Films tetapi judulnya masih belum boleh saya kongsi.
Hujung tahun pula, satu lagi filem lakonan saya akan keluar iaitu ‘HAK: Tuntut atau Tunduk’ bersama Syafiq Kyle, Kodi Rasheed dan beberapa nama lain lagi. Kehidupan saya selalunya banyak berkisar tentang kerja sahaja. Kalau ada masa peribadi, saya lebih banyak meluangkannya bersama isteri di rumah dan rehat.
EM: Kurang lebih 20 tahun dalam lapangan seni lakon, sebenarnya Beto sudah menemui kepuasan itu atau sebaliknya?
BK: Di fasa sekarang, saya lebih suka membuat apa yang saya suka. Ya betul ketika mula-mula dulu saya lebih fokus untuk membina nama. Kebanyakan karya yang saya terima untuk menunjukkan kepada orang apa yang saya boleh deliver dan pada masa sama membuatkan orang dalam industri kenal saya.
Tetapi di fasa sekarang dan umur ini, saya lebih selesa memilih jalan cerita, skrip, watak dan sebagainya kerana saya mahu mencari lebih kepuasan berkarya. Ia lebih kepada kepuasan yang saya boleh temui dalam diri. Mudah-mudahan, karya yang saya lakonkan juga dapat beri manfaat kepada orang di luar sana terutamanya anak muda.
EM: Perkara besar yang mengubah perspektif Beto menjadi seorang pelakon.
BK: Saya tidak mudah untuk menyatakan bahawa kerja lakonan ini sentiasa mengajar saya jadi lebih baik. Bagi saya, apa sahaja pekerjaan kalau kita buat dengan baik, memang akan datangkan kebaikan. Tetapi saya percaya dan tahu, sejak saya terjebak dengan lakonan dulu, ia banyak mengajar saya tentang perikemanusiaan, tentang cara untuk jadi manusia yang lebih ihsan atau lebih tepat lagi faham perilaku manusia.
Dengan berlakon membolehkan saya melihat pelbagai ragam manusia dan memahami apa yang orang di sekeliling rasa. Itulah empati. Selain itu, saya juga diberi peluang untuk menjadi orang lain dan melihat dunia daripada perspektif yang berbeza. Saya ini seorang yang ambivert, jadi lakonan mengajar saya untuk lebih berkeyakinan. Dulu, saya agak kekok dan malu hinggakan banyak ikut pada skrip sahaja. Sekarang, saya sudah lebih berani ke hadapan. Bagi saya, lakonan itu juga memang passion saya. Saya belum pernah imagine diri saya buat benda lain, seperti business atau sebagainya. Mungkin ini sahaja yang saya rasa saya mampu buat (ketawa).
Jaket daripada TAGUWARUWA.
Jaket, seluar dan pakaian dalam daripada KIT WOO.
EM: Beto sering dikenali sebagai pelakon yang cukupmeticulousuntuk menghidupkan apa jua watak. Apa perkara pertama dicari bila terima tawaran?
BK: Sudah tentunya saya akan melihat skrip dahulu. Skrip itu inti pati atau akar kepada sesebuah karya. Bila saya mula baca skrip, saya akan melihatnya daripada pelbagai sudut pandang. Kalau skripnya cukup menarik, itu plus point bagi saya. Tenaga kerja di belakang sesebuah produksi juga sangat penting. Di umur ini, bukan masanya untuk saya main-main seperti masa muda dulu. Agak sukar untuk saya bekerja dengan orang yang tidak serius. Bila saya berlakon filem, saya bukan bekerja untuk diri sendiri tetapi untuk menyempurnakan karya itu. Jadi, apabila dapat sesuatu tawaran sahaja, saya mahu semua orang yang terlibat mempunyai fokus yang sama untuk memastikan karya tersebut menjadi sesuatu yang sempurna. Selebihnya, apabila di set, enjoy sahaja.
EM: Ketika mendalamianykarakter pula, sejauh mana Beto bergantung kepada pengalaman sendiri berbanding apa yang tertulis dalam skrip cerita? BK: Untuk tambah atau ad-lib mana-mana ayat dalam skrip semasa berlakon, kita perlukan persetujuan pengarah dan penulis. Setiap pelakon kena tahu apabila kita ubah atau ad-lib sesuka hati, ia seolah-olah disrespectful kepada yang sudah menyiapkan skrip tersebut. Namun, jika pengarah dan penulis beri kelonggaran, saya akan tambah sedikit sebanyak untuk jadikan watak itu lebih real dan natural. Bagi saya, kesefahaman di set itu penting dan semuanya dilakukan atas dasar hormat.
EM: Ada pelakon memerlukan masa untuk menjiwai watak, ada juga yang cepatadapt and always camera ready. Apa momen Beto sendiri sebelum danon set?
BK: Kalau di set, momen saya adalah untuk deliver. Saya pegang prinsip bahawa di set itu masa untuk kita sebagai pelakon produce the results. Nak buat apa sahaja, nak bergaduh, nak soal jawab atau apa pun kita perlu ready sebelum masuk set lagi. Bagi saya, seorang pelakon yang baik harus sentiasa sedia. Bukan tiba di set baru tanya atau terkial-kial. Set adalah tempat untuk kita menyampaikan apa yang diperlukan pengarah dan penulis. Proses sebelum tiba ke set itu yang penting. Pelakon mesti tahu apa yang perlu dibuat dan datang dalam keadaan sudah bersedia. Itulah cara saya.
EM: Kita sering melihat Beto membawa karakter yang dekat dengan identiti dan latar Melayu. Sejauh manasimilaritykarakter tersebut dengan Beto di luar sana?
BK: Saya tidak nafikan ada sedikit sebanyak persamaan dan ada juga watak-watak yang saya dapat bawakan yang secara tidak langsung mengajar saya tentang jati diri Melayu. Saya sendiri memang cukup suka dengan seni budaya Melayu. Kalau bercakap tentang silat, saya bukanlah seorang penggiat tetapi saya sendiri pernah belajar silat sejak berusia enam atau tujuh tahun hingga belasan tahun. Apabila membesar, saya tidak lagi ada masa yang cukup untuk fokus kepadanya.
Jadi apabila saya diberikan watak yang memerlukan elemen seperti silat, muscle memory itu berhubung. Saya rasa gembira kerana dengan watak-watak sebegitu, saya dapat memahami budaya Melayu dengan lebih dekat dan pada masa sama lebih menghargai seni serta warisan yang kita ada.
Kemeja dan kimono daripada ANAABU.
EM: Apa cabarannya menjadi seorang Beto Kusyairy?
BK: Cabaran saya hadap sekarang lebih kepada fizikal. Saya berumur 46 tahun ini. Jadi banyak perkara saya perlu jaga seperti makan, tenaga dan macam-macam lagi. Kalau dulu saya boleh recover dengan cepat. Sekarang, bila melakonkan watak aksi, stunt atau berlawan, saya kena sentiasa tolak ego ke tepi dan memikirkan kesihatan diri juga. Stamina juga perlu dijaga sebaiknya dan saya terima kenyataan itu.
EM: ‘Imaginur’, ‘Mat Kilau’, ‘Gayong’ dan ‘Libang Libu’ semuanya ada kemasan jalan cerita sendiri. Namun jika dilihatkan ramai yang mula berlakon seusia Beto sudah hilang daripada radar dan Beto masih relevan. Ia tentang rezeki atau kerja keras?
BK: Saya percaya rezeki dan kerja keras harus datang seiring. Tetapi saya lebih yakin kepada rezeki yang Tuhan beri. Ramai sahaja dalam industri ini yang sudah kerja keras tetapi mungkin rezeki tidak menyebelahi mereka atau sebesar yang sepatutnya mereka dapat. Jadi, saya percaya seratus peratus kepada rezeki dan saya berani menyatakan begitu kerana naskhah-naskhah yang saya terima hampir semuanya merupakan naskhah yang baik, yang mana saya boleh terus katakan “barang ini baik”, “tak perlu saya try hard”, “sedap”. Bagi saya, diberi kepercayaan membawa naskhah yang baik untuk dilakonkan itu sendiri sudah merupakan satu rezeki. Rezeki itu nombor satu.
"Dengan berlakon membolehkan saya melihat pelbagai ragam manusia dan memahami apa yang orang sekeliling rasa."
EM: Boleh kongsikan tuntutan disiplin kerja seorang Beto Kusyairy. BK: Saya tiada background filem kerana saya belajar lakonan daripada menjadi kru dan seterusnya belajar di teater. Jadi, disiplin saya bermula dengan memahami skrip. Skrip itu perlu dibaca dan difahami dengan teliti, apa yang pengarah mahu itulah yang cuba saya visualkan. Apa cabaran yang mungkin ada di set dan paling penting mengenali siapa watak yang akan saya bawa.
Contoh, malam sebelum lakonkan sesuatu scene, saya akan cuba memahami scene itu, bukan hanya duduk menghafal skrip. Saya akan bayangkan bagaimana situasi scene tersebut berlaku supaya sampai sahaja di set, saya sudah tahu apa yang perlu dilakukan dan boleh deliver dengan baik. Bagi saya, persediaan itu sangat penting. Bila sampai di set, saya mahu berada dalam keadaan fizikal dam mental paling bersedia.
EM: Deretan pelakon baru muncul saban hari, bagaimana Beto melihatnew generationdan apa yang Beto harap mereka tahu lebih awal di bidang ini?
BK: Saya noticed saja mereka-mereka yang baru hari ini dalam industri, contohnya yang datang daripada siri-siri seperti ‘Kahar’ dan ‘Projek: Anchor SPM’. Saya cukup kagum mereka semua generasi yang ada kelainan dan bersaing sesama sendiri. Cuma apa yang saya harapkan agar mereka serius dengan kerjaya lakonan. Jangan anggap kerjaya pelakon ini main-main. Ini kerjaya yang memerlukan knowledge, ilmu kamera, lighting dan macam-macam ilmu lagi. Jangan jadi pelakon yang tidak serius dan mereka harus tahu tidak ramai yang dapat peluang sama. Perlu diingatkan juga jangan jadi pelakon yang burukkan dunia hiburan dengan cerita yang memperlekehkan bidang seni ini. Jangan suka-suka tambah garam dan paling penting, kena berdisiplin.
Kemeja kimono daripada ANAABU. Seluar daripada KIT WOO. Kasut milik penata gaya.
EM: Penampilan di beberapa pentas peragaan itu pula sebahagian daripada percubaan yang dirancang ataurequestyangunexpected?
BK: Janganlah tanya soalan sebegini, saya malu (ketawa). Kita ambil yang paling latest di Kuala Lumpur Fashion Week 2026 untuk Taguwa Ruwa. Itu cuma ajakan kawan-kawan industri. Saya segan untuk offer diri. Secara peribadi, saya malu untuk berjalan di pentas peragaan atau buat modelling. Tinggi pun tidak cukup rasanya.
EM: Selepas membintangi banyak filem, drama, iklan dan juga muzik video, masih ada apa-apa perkara yang Beto masihmanifest?
BK: Saya sangat teringin untuk berlakon dengan benda yang kita jarang nampak. Contohnya, macam berlakon di angkasa lepas, animation atau mungkin dengan makhluk asing. Sangat interesting untuk saya explore dan cuba kalau ada peluang.
EM: Setelah perjalanan panjang danawardsyang sudah Beto miliki, bagaimana Beto sendiri mahu mendefinisikan perkataan ‘legenda’?
BK: Legenda itu perkataan yang sangat besar dan membawa makna yang cukup besar. Ia juga boleh membawa kepada kesedihan. Kenapa saya kata sebegitu? Ada ramai legenda yang sepatutnya diangkat dan dihargai ketika mereka hidup, tetapi hanya dirai selepas mereka sudah tiada. Ambil contoh paling mudah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Bukanlah saya kata tidak bagus untuk menghargai mereka selepas tiada di muka bumi, tetapi bagi saya legenda harus dihargai waktu mereka masih hidup lagi.
Legenda ialah seseorang yang memberi sumbangan kepada ratus ribu orang lain mungkin juga jutaan orang. Bagi saya, seorang legenda harus mempunyai sumbangan yang banyak. Saya sendiri sebenarnya tidak setuju kalau melabel diri saya sebagai legenda. Mungkin belum lagi untuk saya dilabel dengan title itu kerana sumbangannya perlu lebih banyak dan meluas. Kalau ada yang anggap saya sebagai legenda, itu rezeki. Itu bukan hak saya untuk menentukan. Saya cuma berharap saya masih ada lebih banyak perkara yang boleh disumbang dan lebih banyak ilmu untuk dikongsikan barulah boleh dianggap sebagai legenda.
Setelah bicara panjang antara kami berdua, perbualan akhirnya sampai kepada soalan akhir tentang watak yang paling mencabar buat Beto. Antara yang masih diingatinya sehingga hari ini ialah ‘Warkah Terakhir: Rosli Dhoby’, drama bersiri sejarah terbitan Astro pada 2009 yang mengangkat kisah perjuangan Rosli Dhoby, pejuang kemerdekaan terkenal dari Sarawak. Beto akui watak itu cukup memberi kesan kepadanya hingga sekarang, apatah lagi ketika itu dia masih hijau dalam industri. Membawakan karakter berdasarkan tokoh sebenar datang dengan cabaran tersendiri, bermula daripada memahami latar sejarah hinggalah memikirkan pandangan ahli keluarga tokoh yang mengenali sosok tersebut dengan lebih dekat.
Namun, pengalaman mencabar itu bukan yang terakhir buat Beto membawakan karakter bersama tanggungjawab besar. Ketika ditawarkan watak Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Uda Mohd Hashim, mahaguru silat Gayong yang cukup dikenali di negara ini, perasaan gusar itu masih wujud. Baginya, ketika ditawarkan watak Datuk Meor, dia sangat-sangat gusar kerana takut tidak mampu menghidupkan watak pengasas seni silat tersebut, walaupun dia sendiri merupakan anak Silat Gayong.
Begitu juga untuk watak dalam ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ yang akhirnya menobatkan kemenangan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-32 serta Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2023 dan itu hanyalah sebahagian daripada deretan pengiktirafan yang pernah menghiasi perjalanan seninya.
Namun, barangkali pencapaian dan anugerah bukanlah ukuran yang mahu diletakkan Beto untuk dirinya sendiri. Seperti katanya, gelaran ‘legenda’ terlalu besar kerana ia harus datang dengan sumbangan yang sama besar diberikan buat orang lain.
Intihanya, lagam seni Beto Kusyairy tidak perlu dipersoalkan lagi. Lebih dua dekad dalam dunia lakonan, puluhan watak serta anugerah sudah menjadi sebahagian daripada cerita perjalanannya. Tetapi mungkin yang lebih penting daripada semua itu ialah keinginannya untuk terus berkarya, belajar dan seperti yang diharapkannya sendiri, terus memberi sesuatu yang bermakna untuk orang lain. Selebihnya, biarlah masa yang menentukan sama ada namanya layak disandarkan kepada satu perkataan yang cukup besar itu yakni seorang legenda.