LANGGAN

Kebahagiaan Noh Salleh

Lama bermuzik membawa Noh ke satu rasa untuk sentiasa bebas berkarya dan terus menjadi dirinya sendiri. Dia bercerita tentang muzik, luasnya rezeki dan perjalanan mencipta bunyi yang benar-benar menonjolkan karakter diri.
Published: November 2, 2026

Begitu bersahaja, itulah Noh Salleh. Kali pertama saya berjumpa dengan penyanyi asal Kuching, Sarawak ini pada tahun 2018. Ketika itu saya masih belajar di universiti, mengikuti gig-gig kecil di atas rumah kedai dan waktu itu sebagai freelancer untuk urusan penulisan. Hari ini, apabila bersua kembali saya rasakan Noh Salleh masih sama. Kata-katanya masih lantang dan jenakanya cukup bersahaja. Cara dia bercakap juga memang begitu selamba, kadang-kadang nakal tetapi ada sesuatu tentang bualnya yang membuatkan kita untuk terus mahu mendengar. Pada saya, kerana sebab itulah pertemuan dengan Noh tidak pernah terasa seperti bertemu seorang ‘rockstar’. Ada sisi merendah dirinya yang sangat mudah didekati, seperti kawan rapat yang giat menulis lagu, menyanyi dan sudah mengembara jauh dengan olahan muzik sendiri. Temu bual hari itu juga berlangsung dalam keadaan Noh lebih memilih untuk berdiri ketika menjawab soalan diajukan. 

Bagi saya, perkataan yang paling sesuai untuk perjalanan muzik Noh hari ini ialah bahagia. Ia kedengaran terlalu mudah tetapi lihat sahaja lembaran muziknya dengan deretan lagu-lagu yang telah dikeluarkan. Bermula dengan ‘Angin Kencang’, ‘Bunga di Telinga’, ‘Biar Seribu’, ‘Gelung’ dan ‘Sang Penikam kepada fasa ‘Debu Bercahaya’, ‘Mahu Ke Mana’, ‘Jalur Dia’, ‘Bisikan’, ‘Cinta Tak Lama’ dan ‘Yang Tercinta’. Kemudian berarah pula ke era muzik seperti ‘Rahsia Tuhan’, ‘Nirmala’, ‘Terbang’ dan ‘Senandung Harapan’ bersama Feby Putri, sebelum dia kembali menyentuh runut bunyi ‘Sang Penikam 2026’ dalam versi berbeza bersama Aina Abdul.

Di samping semua itu, ada juga kolaborasi lain seperti ‘Batas Mimpi’ dengan Soenji, ‘Berada’ dengan Aman RA dan Altimet, ‘Kullul Hubbi’ dengan Mu'adz Dzulkefly, Aizat Amdan dan Faizal Tahir dan ‘Tari Merpati’ dengan Negeri Syam. Melafazkan tajuk-tajuknya sahaja sudah cukup kedengaran unik apatah lagi bunyinya yang juga berkembang seiring waktu dan memperlihatkan perjalanan melejit seorang Noh Salleh yang fokus menghasilkan muzik mengikut nalurinya sendiri. Dan di situlah saya melihat bentuk kebahagiaan sebenar Noh hari ini, tidak hanya pada lagu-lagu yang dicipta tetapi pada kebebasan diri untuk menghasilkan bunyi yang khas tanpa perlu meninggalkan identiti diri. 

ELLE Men: Kurang lebih dua puluh tahun bermuzik, saya lihat Noh terus konsisten mencipta momen berkarier dengan lagu-lagu hits, konsert, composing songs hinggalah bilangan pengikut yang besar. Melihat perjalanan itu, how do you see yourself now?

Noh Salleh: Saya ini sebenarnya tidak pernah plan. Saya jalan sahaja apa yang ada depan mata. I'm in for today, saya buat apa yang saya rasa mahu buat pada hari itu. Kadang-kadang, selalu sahaja rasa tak mahu buat perkara yang telah dirancang, jadi saya tidak teruskan buat hal itu, saya tinggalkan atau tangguhkan dulu. Saya memang untuk hari ini. Sebab itu kadang-kadang orang tanya, “Eh, lama tak nampak Noh di televisyen, di radio”. Saya sebenarnya lebih lega kerana saya berkarya bukan untuk puaskan orang tetapi untuk diri sendiri. Saya buat semua ini kerana art and craft saya dan yang penting saya puas dapat cipta muzik yang memuaskan diri sendiri.

Contoh lain, dulu saya ingat bila sudah ada anak, hidup saya akan berubah tetapi tidak. Dengan kelahiran Tara, rasa nak buat muzik itu sebenarnya membuak-buak. Contohnya ‘Rahsia Tuhan’, saya ingat cuma one-hit wonder. Langsung tiada expectation untuknya. Tiba-tiba jadi lagu tema filem ‘Babah’ dan kemudian ‘Terbang’ untuk ‘Tarung: Unforgiven’. Lepas itu sekarang ‘Sang Penikam’ dengan Aina Abdul juga menjadi. Daripada situ saya semakin sedar role saya dalam industri sebagai penghibur dan pemuzik. Contoh lain, masa Hujan berjaya jual habis tiket konsert untuk 17,000 orang sampai masuk Malaysia Book of Records. Sedangkan semua ini bermula daripada kami yang dulu cuma buat muzik untuk sendiri dan suka-suka. Saya bersyukur dengan segala yang direzekikan hingga hari ini. 

EM: Seiring perjalanan tersebut, apa satu perkara tentang diri sebagai pemuzik yang paling banyak berubah dan apa pula yang kekal sama?

NS: Itu kena tanya orang lain yang melihat. Saya as a person yang buat muzik, rasa diri saya sama sahaja. Mungkin banyak hal berlaku dan berubah dalam hidup, mungkin juga orang rasakan saya sudah tone down atas faktor umur. Tetapi saya yakin, saya masih sama sebab bila atas pentas tetap jadi diri sendiri. Kalau bercakap tentang tone down juga mungkin ada sedikit, sekarang juga sudah menjadi menantu orang dan bapa kepada anak sendiri. Jadi adalah masanya harus behave bila perlu. 

EM: ‘Sang Penikam’ kali pertama dikeluarkan pada 2014 secara solo dan 12 tahun kemudian lagu ini dibawakan kembali dalam versi duet bersama Aina Abdul. Apakah yang sebenarnya Noh lihat dengan impak yang diterima?

NS: Pada saya impak itu tidak penting, tetapi why lagu itu dirakam semula sangat penting. Aina sendiri memang suka lagu tersebut, kalau ingin tahu dia sendiri yang ke hadapan dan beritahu saya yang dia sukainya. Jadi kami duduk dan bincang, instead of kami buat sesuatu yang baru, kita berdua buat apa yang Aina memang suka. Untuk dia agree itu sudah cukup buat saya happy. Plan itu sudah ada sejak tiga tahun lepas lagi, kemudian berjaya dipersembahkan ketika konsert ‘Noh Salleh Chanson de Kuala Lumpur’ di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP). Selepas itu, terus versi bersama Aina ini mendapat perhatian. 

EM: Itu lagu sendiri tetapi kalau diberi peluang menghidupkan semula satu lagu lain, apakah lagu itu dalam kepala Noh sekarang dan mengapa?

NS: Susah untuk saya suka-suka nyanyi semula dan rakam lagu orang. Tetapi lagu ‘Tunggu Sekejap’ Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang saya nyanyi semula bersama Hujan pada 2011, memang satu projek yang cukup seronok.

EM: Bercakap pula tentang penyanyi muda hari ini, ada sesiapa dalam wishlist Noh?

NS: Ada ramai, contohnya kita lihat sahaja barisan nama-nama pemuzik yang sama batch dengan Aisha Retno dan Aina Abdul. Mereka semua bijak-bijak mencari kelainan sendiri. Kalau ingin tahu saya selalu position diri saya sebagai orang yang naif bila berkarya, selalu syok sendiri dan rasakan skil saya cuma biasa-biasa sahaja. Kerana itulah bila ada yang datang minta nasihat atau minta tips jadi pemuzik, saya selalu rasakan mereka itu ditipu hidup-hidup (ketawa). Saya yakin yang Tuhan izinkan saya jadi pemuzik yang syok sendiri, tidak perlu keterlaluan dan itulah rezeki saya. 

Art is subjective, ada orang boleh dengar sesuatu muzik itu sangat sedap tetapi bila pergi ke telinga orang lain yang mendengar, tanggapannya tentang muzik itu biasa-biasa sahaja. Berbalik kepada rezeki Tuhan. Tip lagi satu yang saya boleh kongsi, solat sunat dua rakaat sebelum Subuh untuk luaskan rezeki. Kalau nak tahu, jualan daripada perniagaan Hikari Riders, lebih daripada apa yang saya bayangkan. Itulah cerita saya pasal rezeki, kelangsungan hidup itu lancar. Ada cerita lain lagi pasal rezeki, kalau nak tahu dalam band Hujan sendiri, saya paling banyak buat silap dan tak sure banyak benda. Tapi saya direzekikan dengan bandmate seperti AG Coco dan lain-lain yang rajin kongsi ilmunya. 

EM: Boleh juga kongsikan duet Noh dengan Feby Putri itu berlaku sebagaimana?

NS: Kolaborasi dengan Feby itu bermula daripada dia sendiri. Kami belum pernah berjumpa sebelum itu tetapi selepas duduk bersama dan berbincang, saya nampak yang dia memang sangat particular tentang muziknya. Pada mulanya, dia seakan cuba mengikut sahaja apa yang saya mahukan tetapi saya tahu dia juga takut-takut kalau bunyi itu terlalu jauh daripada identiti lagu-lagu galau yang menjadi sebahagian daripada dirinya. Pada masa yang sama, dia juga tetap mahukan bunyi Noh Salleh itu kekal dengan elemen 80-an dan sedikit 90-an untuk duet ini. Bila lagu itu hampir siap, ia menjadi heavy rotation antara saya dengan isteri. Jadi, tanpa sedar, pengaruh dan keserasian itu turut menguatkan semangat untuk menjayakan kolaborasi ini.

EM: Proses kreatif Noh selalunya bermula daripada mana, melodi, lirik, cerita atau lebih suka kepada hal-hal random yang berlaku dalam hidup?

NS: Saya dah lalui banyak perkara, perform di pelbagai acara dan jumpa ramai orang. Jadi, bila nak mula satu-satu projek atau lagu, saya selalu challenge diri untuk always try new methods of writing, kadang-kadang cuba cara baharu untuk mendapatkan inspirasi dan kemudian biarkan idea itu mengalir sendiri. Macam manusia biasa, kalau idea datang, saya happy. Kalau tak ada, saya relaks sahaja. Ada masa saya dah kerah otak, tetapi idea itu tetap tidak datang. Semudah saya pergi ke kedai sekejap ketika sedang menyiapkan lagu dan bila balik rumah ada kemungkinan idea itu terus hilang. Saya tak pernah paksa idea datang, saya tahu ia akan ada bila tiba masanya.

Macam lagu ‘Rahsia Tuhan’ sendiri. Ketika itu saya stuck dan jam sudah pukul enam petang. Isteri saya pula mengajak ke kedai tomyam. Balik sahaja dari kedai dan tiba-tiba idea itu datang sendiri dalam kepala, chorus lagu itu tidak sengaja bermain sendiri. Susah saya nak cakap tentang proses kreatif sebab bagi saya seni ini tidak ada betul atau salah. Itu cara saya, lain pemuzik maka lain cara mereka berkarya. 

EM: Bila mencipta lirik dan bunyi, sejauh mana Noh membenarkan diri untuk keluar daripada formula yang sudah dikenali pendengar supaya hasil karya itu boleh ‘dijual’?

NS: Saya tidak ada apa-apa formula atau cara, sekali lagi saya masih percaya dengan rezeki. Saya lihat perjalanan seni sendiri rebirth selepas lagu ‘Rahsia Tuhan’. Sebelum itu saya telah sedikit lost dengan cerita peribadi dan macam-macam perkara lain. Untuk EP baru saya nanti, kelahiran anak menjadikan saya lebih produktif. Isteri saya juga sampai terkejut kerana dalam masa lima hari, saya boleh siapkan hampir lima lagu. 

EM: Rujukan muzik Noh biasanya datang daripada mana? 

NS: Hari ini saya tengah syok dengar Jun Mayuzumi (Noh menunjukkan playlist Jun Mayuzumi di Spotify telefonnya). Saya rasa dia masih hidup, tetapi maaf kalau saya silap. Jika untuk mencari rujukan sebenar dalam muzik, saya lebih suka pergi ke tempat random, macam Amcorp Mall. Saya suka masuk ke section atau kedai yang mereka kumpul dan convert lagu-lagu lama daripada piring hitam ke cakera padat (CD). Saya memang suka cari playlist yang rare, macam lagu-lagu Tan Sri P. Ramlee, Sam Saimun dan muzik retro klasik.

Bila dengar lagu-lagu macam itu, saya selalu terbayangkan bagaimana power vocal penyanyi macam Noryn Aziz menyanyikannya semula. Contohnya ‘Sang Penikam’. Mula-mula saya nampak visualnya, kemudian baru datang lirik dan bunyi lagu. Itu yang menjadi rujukan saya. Saya sendiri tidak ada satu rujukan yang spesifik. Tetapi saya memang kena dengar muzik yang gila-gila. Baru sesuatu itu boleh sampai kepada saya. Sama juga dengan ‘Angin Kencang’ dan ‘Renjana’, saya boleh dapat inspirasi daripada benda-benda yang mungkin tidak ada kaitan secara langsung termasuk seperti drama Jepun tahun 90-an.

EM: Menyebut ‘Angin Kencang’ yang boleh dikatakan berjaya membawa nama Noh kepada pendengar yang mungkin sebelum itu jarang mendengar muzik Noh. Bila sebuah lagu tiba-tiba menerima impak lebih besar daripada jangkaan, bagaimana tahap kepuasan itu?

NS: Lega dan puas. Sama macam lagu ‘Sang Penikam’ yang hari ini Ainations boleh terima. Kita semua dalam industri tahu bagaimana fanatic dan ramainya Ainations. Lagu itu sendiri pula sangat dark dan bukan lagu yang mass. Jadi, bila Ainations terbuka hati untuk terima, saya rasa lega dan puas. Kalau saya fikir semula, bekerja dengan Aina itu macam berjumpa dengan cikgu. Dia graduan muzik dan dia terlalu pandai. Setiap lenggok, setiap bunyi dan elemen muzik itu dia tahu istilahnya. Dialah music nerd sebenar. Saya banyak belajar daripada dia.

Itu belum lagi cerita pengalaman bekerja dengan Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Saya sangat bersyukur pernah bekerja dengan dua artis hebat daripada dua era berbeza. Peluang duet bersama Siti semasa konsertnya di Arena of Stars, Genting Highlands tahun lalu kemudian disusuli pula untuk Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza Januari lalu, bagi saya memang satu keajaiban dalam hidup. Saya sendiri tidak pernah sangka dia akan beri kepercayaan kepada saya. Lepas habis persembahan di Genting Highlands itu, saya sudah fikir, mungkin itu yang terakhir tetapi selepas itu Dato’ Siti ajak lagi. Saya sampai menangis dengan isteri saya. Isteri saya siap peluk dan kata “Tuhan sayang kita, Siti sayang you.” Cerita itu yang bagi saya sangat bermakna.

EM: Saya pasti ramai generasi hari ini look up to your success and music. Kalau Noh boleh beri satu perkongsian kepada pemuzik generasi baru hari ini apakah ia?

NS: Mereka beruntung kerana sekarang sudah banyak platform sedia ada. Tidak macam dahulu, untuk menjual karya ‘you need to submit your soul to the devil’. Nasihat saya untuk mereka yang baru masuk ke industri untuk sentiasa aim higher dan jangan hanya padang industri Malaysia. Luaskan lagi pengalaman, bila kita letakkan benchmark tinggi, maka usaha kita juga perlu banyak dan tinggi. Pergilah bermuzik di German, Eurasia atau ke mana sahaja. Kita tengok Yuna, dia ke luar negara untuk boleh kenal ramai orang supaya jadi lebih kreatif dan belajar variation of music. Lagi satu, enjoy sahaja belajar buat muzik, nanti fame itu akan datang sendiri. 

EM: Perspektif Noh melihat penerimaan muzik sendiri di Indonesia, walau kita berkongsi bahasa dan banyak persamaan budaya tetapi mereka mempunyai populasi pendengar yang jauh lebih besar dan landskap muzik tersendiri. Adakah pengalaman Noh di sana mengubah cara Noh melihat potensi muzik Malaysia di rantau ini?

NS: Memang dari awal saya sudah aim untuk bawa muzik saya ke Indonesia. Tetapi bila di sana, baru saya nampak sendiri perbezaan antara muzik mainstream, independent, underground dan sedikit metal. Jadi, untuk muzik luar diterima di sana sebenarnya bukan sesuatu yang mudah. Saya mula sedar perkara itu tahun ini. Pemuzik di sana pun ramai yang perlu survive dengan melakukan pelbagai kerja lain seperti menjadi designer dan sebagainya. Melihat sendiri usaha mereka bersaing dalam industri muzik yang begitu kompetitif, saya sedar bahawa potensi muzik kita untuk tembus ke sana bukanlah senang.

Kalau band seperti Fourtwnty datang ke Malaysia pula, mungkin mereka akan rasa lebih mudah untuk survive di sini berbanding negara sendiri kerana scene di sana terlalu kompetitif. Namun, apabila saya mula mengenali orang-orang hebat seperti band Sore dan individu seperti Vega Antares, networking itu banyak membantu. Mereka membantu muzik saya didengarkan oleh lebih ramai orang di sana. ‘Sang Penikam’ juga mempunyai sentuhan daripada Allahyarham Ade Paloh sebagai komposer dan penulis lirik. Apabila ada nama besar dari sana yang terlibat sama, orang di sana mungkin lebih menghargai dan respect. Saya sangat bersyukur dengan penerimaan yang diberikan, tetapi kalau mahu kata saya sudah berjaya tembusi pasaran Indonesia, saya rasa belum lagi. Masih panjang jalannya. 

EM: Jika satu hari sudah tidak lagi di lapangan ini, apa yang Noh mahu lakukan?

NS: Saya sebenarnya sudah cuba. Pernah satu ketika saya rasa saya terlalu selesa buat muzik, jadi saya cuba cari buat benda lain. Saya pernah buka kafe sampai tiga kali, tetapi tetap tidak menjadi. Daripada situ saya mula cuba juga usahakan perniagaan lain. Saya juga pernah buka studio sendiri tetapi sama situasinya, tidak mendatangkan keuntungan. Sampailah saya decide buat Hikari Riders. Daripada situ saya mula nampak satu visi jelas, fesyen dan muzik sebenarnya ada correlation. Dua-dua berkait rapat dengan identiti, kreativiti dan cara kita mengekspresikan diri. Jadi mungkin kalau satu hari nanti saya tidak lagi di lapangan muzik, saya masih boleh berkarya melalui ruang lain yang masih dekat dengan dua dunia itu. 

EM: Kita mahu Noh kongsi tentang ‘Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra’ pada bulan November nanti. Di manakah tahap persediaannya?

NS: Persediaan sebenarnya sudah bermula lama, mental dan fizikal. Good news, saya baru aktif kembali ke gim untuk tingkatkan stamina. Sesi latihan bersama Aubrey juga baru selesai untuk sesi pertama tetapi kami hanya dapat berlatih enam lagu sedangkan masih berpuluh lagi lagu yang perlu dipersiapkan untuk malam itu nanti. My biggest concern seperti saya katakan tentunya stamina sendiri supaya saya dapat berikan yang terbaik kepada mereka yang datang.

EM: Apakah yang boleh dijangka daripada konsert ini? Sebab apabila kita bercakap tentang orkestra, muziknya tentu akan menjadi lebih besar, lebih mega dan menggunakan susunan instrumen yang berbeza daripada persembahan biasa.

NS: Experience yang tentunya berbeza terutamanya bila kita bercerita tentang persembahan orkestra. Saya mahu mereka yang datang pulang ke rumah dengan rasa mind blown. Saya pernah buat persembahan seperti ini tahun lepas di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) untuk ‘Noh Salleh Chanson de Kuala Lumpur’. Persembahan itu pada 1 November dan saya beri pulang orang ramai untuk record di mana hal tersebut bertentangan dengan rules DFP sendiri. Saya puas kerana sebanyak 900 tiket terjual walaupun mulanya jualan agak perlahan, mungkin kerana harganya sedikit mahal. Tetapi di hari konsert, saya dapat rasa suasananya berubah 180 darjah. Jadi untuk kali ini, saya harap mereka yang datang dapat pengalaman yang sama puas atau lebih lagi sampaikan mereka yang tidak datang akan rasa menyesal.

EM: Soalan terakhir, kita sentuh sedikit tentang Nada Suara, label yang sedang diusahakan Noh bersama isteri. Sejauh mana perkembangannya hari ini?

NS: Kami melihatnya sebagai sebuah label yang bukan sahaja dapat menguruskan artis tetapi mempunyai banyak merchandise yang boleh dijual. Isteri saya mempunyai latar belakang bidang law manakala saya pula ada sedikit pengalaman untuk Hikari Riders. Jadi, mungkin gabungan itu boleh membantu melahirkan lebih ramai pemuzik berkarya. Mungkin nanti Tara pula sambung perniagaan ini. Sekarang pun, bila kami mainkan lagu, dia mula headbanging. Jadi, nampaknya minat muzik itu diturunkan.

Temu bual berakhir dengan satu pertanyaan ringkas namun jawapannya membawa Noh kepada renungan lebih mendalam tentang caranya mendefinisikan bahagia. Katanya, jika mahu jawapan tidak serius, bahagia baginya adalah memiliki sebuah mansion bernilai lima juta dolar (ketawa). Namun, jawapan seriusnya, bahagia adalah apabila dia tidak terikat dengan sesuatu yang menyekat kebebasan dirinya.

Menyebut tentang bahagia, Noh kemudian berkongsi satu cerita ketika dia berada di Indonesia. Ketika itu, dia dan pengurusnya meilhat seorang pakcik tua membawa ojek di tepi jalan. Pada masa yang sama, mereka melihat seorang kaya sedang memandu sebuah wagon. Namun, apabila dibualkan mereka merasakan orang yang membawa ojek itu sebenarnya lebih bahagia. Orang itu bekerja sendiri dan lebih bebas menentukan bila mahu berhenti atau berehat. Sedangkan individu yang lebih berada mungkin perlu terus bekerja kerana terikat dengan perniagaan dan tanggungjawab kerja. Bagi Noh, di situlah letaknya definisi bahagia yang sebenar apabila seseorang bebas menentukan apa yang mahu dilakukan, baik dalam kehidupan mahupun dalam muzik. 


PENYELARAS DAN PENATA GAYA ARDI IDEWANI ZAINI

DIBANTU OLEH MUZAMMIN MUZLAN

FOTOGRAFI EDMUND LEE

VIDEO DENNIS KHOO 

TEKS DAN TEMU BUAL M. RIDHWAN SA'AYA

ARAHAN DIGITAL NURHANI NATASHA

DANDANAN DAN SOLEKAN DANIEY JUNAEDY

PELATIH AMALI HIZRAL FAIZ ROZEMAN

PAKAIAN ALL SAINTS, BLUE BELL MALAYSIA

AKSESORI CINCIN DAN RANTAI DARIPADA CHOPARD HAPPY DIAMONDS, JAM TANGAN DARIPADA CHOPARD HAPPY SPORTS THE FIRST

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down