LANGGAN

Brainrot: Bila Hiburan Ringan Menjadi Obsesi

Keadaan ini merujuk kemerosotan fungsi mental atau kognitif apabila anda terlalu terdedah kepada kandungan hiburan digital yang cetek dan kurang berfaedah secara berlebihan.
Published: August 13, 2025

Jika anda seorang individu yang aktif di media sosial tidak kiralah TikTok, Instagram, X ataupun aplikasi lain, besar kemungkinan anda pernah terdengar istilah brainrot. Ia bukan istilah saintifik, tetapi kini menjadi sebahagian daripada budaya internet yang menggambarkan satu fenomena gaya hidup yang sangat nyata dalam kehidupan digital hari ini.

Apa Maksud Brainrot?

Secara literal, brainrot berasal daripada dua perkataan Inggeris yakni brain (otak) dan rot (reput). Namun, dalam konteks slanga internet, ia tidak merujuk kepada kerosakan otak yang sebenar, tetapi lebih kepada keadaan di mana seseorang terlalu obses atau "terjebak" dengan sesuatu kandungan sehingga ia menguasai fikiran dan mengganggu rutin harian.

Contohnya, apabila seseorang:

  • Tidak boleh berhenti mengulang satu video TikTok yang lucu atau ‘relatable’.
  • Terus-menerus memikirkan watak dalam drama, anime atau filem kegemaran.
  • Mendengar lagu yang sama berulang-ulang sehingga hilang fokus terhadap perkara lain.

Inilah gambaran brainrot bila otak terasa "diracun" oleh hiburan tertentu, sukar untuk dilepaskan.

Bagaimana Fenomena Ini Mula Tular?

Istilah ini mula popular dalam komuniti online seperti fandom, pencinta meme dan pengguna tegar TikTok. Ia catchy, mudah difahami, dan mencerminkan pengalaman ramai pengguna muda yang menghabiskan waktu berjam-jam menatal kandungan yang aneh, spontan dan kadangkala langsung tidak masuk akal.

Video kucing berputar sambil lagu AI berbunyi “tung tung tung sahur”? Meme wajah orang menangis disunting jadi watak anime? Kandungan seperti ini nampaknya pelik, tapi berjaya menghiburkan dan lebih penting, menyatukan pengguna dalam satu bentuk hiburan yang ringan dan mudah difahami.

Kenapa Brainrot Menarik Minat Ramai?

Jawapannya mungkin terletak pada keletihan kolektif.

Ramai anak muda hari ini berhadapan dengan tekanan hidup yang luar biasa daripada tuntutan akademik, kerjaya, media sosial, hinggalah kepada perbandingan diri yang tidak sihat. Dalam keadaan sebegitu, hiburan yang tidak perlukan pemikiran mendalam menjadi ruang rehat yang cepat dan efektif. Kita ketawa, menatal skrin dan kita lupa sejenak akan dunia sebenar yang menyesakkan.

Namun, di sinilah kitaran bermula; lebih banyak kita tonton kandungan seperti ini, lebih banyak algoritma akan menyajikannya, lalu kita terperangkap dalam ‘loop’ tanpa henti. Jari kita bergerak dalam mod autopilot’ dan masa berlalu tanpa disedari.

Kesannya: Antara Rehat dan Ketagihan

Walaupun kelihatan tidak berbahaya, brainrot boleh memberi kesan terhadap cara kita berfikir dan berinteraksi:

  • Tumpuan menurun – Kandungan pendek dan pantas melatih otak untuk tidak sabar. Tiba-tiba, membaca artikel panjang atau menonton dokumentari terasa membosankan.
  • Bahasa berubah – Kita mula berkomunikasi dengan meme dan jargon internet. Kata “tolong” bukan lagi minta bantuan, tapi ekspresi ketawa berlebihan.
  • Empati menipis – Bila tragedi disunting jadi kandungan lucu, penderitaan sebenar menjadi bahan jenaka. Kita ketawa saat sepatutnya kita merasa sedih atau peduli.

Seorang pempengaruh, Joel Cave, menyatakan bahawa salah satu tanda otak telah “dijajah” media sosial adalah apabila seseorang kerap menggunakan ungkapan internet tanpa sedar. Ini bukan sekadar perubahan bahasa, tapi perubahan cara kita memproses dunia.

Jadi, Brainrot Ini Salah Siapa?

Sebenarnya, brainrot bukan sesuatu yang harus ditolak sepenuhnya. Dalam dunia yang penuh tekanan dan ketidaktentuan, ada masa kita memang perlukan ketawa yang ringan dan hiburan yang pelik untuk meneruskan hari. Ia juga membentuk satu komuniti yang faham ‘bahasa’ yang sama di mana untuk mewujudkan rasa kebersamaan yang unik.

Namun, perkara lebih penting adalah kesedaran dan keseimbangan.

Tidak salah menikmati video TikTok yang aneh atau audio lucu yang dimainkan berulang. Tetapi jangan sampai kita biarkan kandungan seperti ini menjadi satu-satunya cara kita merasa hidup. Dunia di luar skrin juga menanti untuk diterokai dengan kehijauan, keheningan dan hubungan yang nyata.

Otak Kita, Pilihan Kita

Brainrot hanyalah istilah, tetapi di sebalik istilah itu tersirat cabaran sebenar gaya hidup moden. Bagaimana kita menjaga kesihatan mental dalam dunia yang tidak pernah tidur.

Tatal skrin jika perlu, ketawa jika mahu. Namun jangan lupa untuk berhenti. Hirup udara luar. Berbual dengan manusia sebenar. Baca sesuatu yang panjang dan perlahan.

Kerana pada akhirnya, otak kita bukan dicipta untuk “mereput” tetapi untuk merasa, memahami dan mencipta makna.

Share this article:
READ NEXT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down