Meraikan keindahan dan misteri langit malam, jenama arloji mewah Vacheron Constantin memperkenalkan Métiers d'Art Tribute to The Celestial. Ia merupakan edisi baru yang terdiri daripada 12 rujukan dengan penghasilan dail yang menampilkan ilustrasi zodiak dan buruj yang berkaitan, yang diukir secara hand-guilloché dan diserlahkan dengan 'bintang' berlian.
Dihadirkan dalam bekas emas putih 39mm yang anggun serta dihiasi dengan batu nilam biru potongan baguette bagi melengkapi dail berwarna biru, jam tangan ini digerakkan oleh pergerakan buatan ultra nipis automatik dengan tourbillon dengan kaliber 2160.
Jam tangan Métiers d'Art Tribute to The Celestial meraikan kepakaran hasil kepakaran seni tangan menggunakan guilloché dan penetapan tatahan permata. Sejak Maison ini diasaskan 270 tahun yang lalu, kemahiran dalam métiers d'art telah diwarisi daripada generasi berbeza dalam menyuburkan pencarian berterusan Maison terhadap keindahan dan kehalusan penciptaan yang berestetika.
Setiap daripada 12 dail menampilkan lambang zodiak yang diukir dengan teknik guilloché serta buruj yang berkaitannya, dengan bintang utama diwakili oleh berlian potongan brilliant. Selain guilloché, empat tanda zodiak yang mewakili figura manusia turut dihiasi dengan butiran opalin.
Seni lukisan figura guilloché ini telah dibangunkan oleh master guillocheur Vacheron Constantin sendiri, melangkaui corak abstrak guilloché klasik untuk memungkinkan penciptaan ilustrasi, sekaligus mentransformasikan seni tradisional ini menjadi satu bentuk seni figura tersendiri.
Teknik inovatif ini memerlukan ketelitian pembuatan. Ia melibatkan penciptaan ratusan segitiga guilloché yang terbentuk daripada garis lurus padat dengan setiap segitiga disusun pada sudut berbeza daripada jirannya. Untuk menghasilkan satu lambang zodiak sahaja, ia menuntut kira-kira 16 jam bagi mendapatkan hasil kerja tangan yang teliti.