LANGGAN

Sentuhan Futuristik Dalam Kolaborasi Rado DiaStar Original dan Tej Chauhan

Sebuah penghormatan kepada legasi Rado DiaStar Original yang diperhalus dengan sentuhan visual segar Tej Chauhan.
Published: July 27, 2025
Tej Chauhan
Tej Chauhan

Sama ada anda sedar atau tidak, besar kemungkinan anda pernah melihat jam tangan Rado DiaStar. Diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1962, DiaStar mencipta sejarah sebagai jam tangan pertama di dunia yang kalis calar, dihasilkan daripada logam keras tahan lasak. Direka untuk bertahan seumur hidup, ia mengekalkan keanggunan dan fungsinya sepanjang masa.

Sepanjang perjalanannya, jam DiaStar telah melalui pelbagai transformasi, namun tiada yang begitu unik dan menarik seperti kolaborasi terbaharu bersama Tej Chauhan

Sebelum kita menyelami keistimewaan jam tangan ini, mari kita kenali dahulu figura kreatif di sebalik rekaan edisi khas ini, Tej Chauhan, seorang pereka industri dari Britain.

Karya-karyanya memberi tumpuan kepada bagaimana objek mampu membangkitkan emosi dan mencipta hubungan dengan pengguna. Dipengaruhi kuat oleh tema angkasa lepas dan estetika futuristik, rekaannya bersifat ceria, unik dan progresif. Pernah terlihat hasil kerjanya? Tej menyertai pasukan Reka Bentuk Nokia pada tahun 2000, di mana dia menerajui rekaan beberapa telefon bimbit ikonik seperti Nokia 7600, 7280 dan 7370, produk yang pada ketika itu mentakrifkan semula teknologi sebagai medium ekspresi gaya peribadi, jauh mendahului zamannya.

Tej Chauhan
Rado DiaStar Original x Tej Chauhan

Dalam kolaborasi istimewa ini, Rado DiaStar Original x Tej Chauhan menggabungkan visi masa hadapan dengan penghormatan terhadap warisan inovasi reka bentuk Rado yang telah membuka jalan sejak 1962. Tej menafsir semula jam tangan ikonik ini melalui lensa visualnya yang tersendiri, berani, unik namun tetap setia pada roh asal reka bentuknya. 

Tumpuan segera jatuh pada bentuk bezel DiaStar Original, kini diperbaharui dengan material Ceramos™ dan disalut dengan kemasan PVD emas kekuningan yang berkilau. Ia serta-merta menarik perhatian.

“Inspirasi saya datang daripada filem sains fiksyen,” kongsi Tej ketika kunjungannya ke Kuala Lumpur baru-baru ini. “Untuk bezel ini, saya terinspirasi daripada pelindung emas pada sut angkasawan dalam filem 'Ad Astra'.”

Rado DiaStar Original x Tej Chauhan

Bezel bergaya futuristik ini memberikan kontras yang menarik terhadap strap getah warna kelabu lembut. Sama menarik ialah dail hitam matte yang dihiasi dengan trek minit perak dan biru yang unik, serta paparan hari dan tarikh menggunakan typeface khas yang direka sendiri oleh Tej. Setiap perincian terasa ekspresif dan sangat tersendiri, bersatu membentuk sebuah jam tangan yang benar-benar kreatif.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down