Tujuannya untuk menyembuhkan alam? Atau kita melayang jauh ke jendela fantasi yang memerihalkan hubungan alam dengan manusia? Kempen Sacoor Brothers musim bunga/panas kali ini ini membawa kita mengembara jauh, tertuju kepada landskap semula jadi Portugal dan menyedarkan kita tentang akar umbi.
‘Back To Our Roots’ menjuduli kempen ini, yang secara ketaranya menterjemahkan penghormatan terhadap identiti Sacoor Brothers.
Tidak mengesampingkan jati diri: itulah mesej ‘Back To Our Roots’ daripada Sacoor Brothers. Kempen ini menyemak identiti kebudayaan dan kesejarahan Sacoor Brothers serta menghormati kekayaan landskap negara Portugal – negara asal jenama Sacoor Brothers. Naratif kempen ini terus diperhebat lagi oleh bekalan inspirasi lima rantau berbeza yang punya kualiti distingtif – ibu negara Lisbon, perkampungan pantai Comporta, wilayah yang terkenal dengan penghasilan gandum yakni Alentejo, lokasi peranginan Algarve dan Douro yang terkenal dengan penghasilan wain.
Himpunan Sacoor Brothers musim bunga/panas 2025 mengintegrasikan aspek tailoring yang tak usang dek zaman dengan siluet effortless. Setiap satu yang terkandung dalam himpunan ini menghargai semangat lokaliti yang menghubungkan tradisi dengan semula jadi dan sifat elegan. Lantas, apa yang dipersembahkan oleh Sacoor Brothers terasa tidak asing dan serupa membuatkan kita mengenal sukma Portugal, menerusi material fiber semula jadi yang digunakan, rona-rona earthy dan butiran-butiran artisanal yang membahasakan suatu rasa kemewahan.
Makna Visual Sacoor Brothers ‘Berkepala Pokok’
Mulih ke sarang, kata orang. Kembali kepada keasalan – yang merenda sekali identiti Portugis – yang bersatu dengan nada gaya kontemporari dan sofistikated. Aspek tailoring masih kekal klasik dan sudah tentu, citra easy summer tersisip sekali. Perincian-perincian seperti sulaman, corak yang ada teras ilham warisan jenama serta palet-palet ronanya adalah satu ekspresi interpretasi moden kod kebudayaan Sacoor Brothers. Kesemua ini melambangkan utopia landskap yang pelbagai dari Portugal. Segala apa tekstur, rona-rona dan potongan rekaan adalah curahan inspirasi seni bina, elemen semula jadi serta gaya hidup Portugal.
Lisbon – Gabungan inovasi dan sejarah dengan helaian seperti sut K. Easy suits yang dlengkapi kefungsian, dihasilkan daripada fabrik berteraskan teknikal dalam palet warna klasik.
Comporta – Diinspirasikan oleh salah satu kawasan pantai paling eksklusif di Portugal. Nada rona pasir, corak dan linen ringan membangkitkan imej bukit pasir dan sawah padi yang menjadi identiti destinasi ini.
Alentejo – Mencedok inspirasi daripada aspek bumi dan tradisi, menampilkan rona-rona hangat kuning tanah, merah kundang dan hijau lumut. Material yang digunakan aalah seperti kapas, sutera dan linen.
Algarve – Ringan, penuh tenaga dan bersandarkan semangat musim panas. Tarikan tepian pantai menjadi sumber ilhamnya berasaskan biru laut, jingga sitrus dan siluet breezy – disempurnakan oleh butiran-butiran sulaman yang menterjemahkan identiti Rantau Selatan Portugal.
Douro – rona-rona sofistikated seperti hijau dan perang, yang mencerminkan teres ladang anggur, dilengkapi oleh butiran sulaman yang diinspirasikan daripada kualiti kraf Portugal.