Barang kemas kini tidak lagi dianggap eksklusif untuk wanita, sebaliknya ia menjadi simbol ekspresi diri yang berkuasa bagi lelaki di seluruh dunia. Sama ada perincian perak yang minimalis atau pernyataan emas yang berani, seutas barang kemas mampu menyempurnakan gaya. Untuk memberi inspirasi, kami menampilkan lima selebriti lelaki Asia yang menggayakan barang kemas dengan penuh elegan, sekali gus diangkat sebagai duta bagi jenama barang kemas terkemuka.
Cha Eun-Woo, idola dan pelakon Korea Selatan yang dikenali menerusi kumpulan Astro dan drama 'True Beauty', dilantik sebagai Duta Global Chaumet pada tahun 2022. Sejak itu, dia menjadi wajah utama untuk pelbagai kempen, termasuk koleksi Bee My Love serta kerap mencuri perhatian di acara besar Chaumet di seluruh dunia dengan pesona, karisma dan rupa parasnya yang cukup menawan.
Selepas menamatkan latihan ketenteraan pada Jun 2024, Jin dari BTS segera menandatangani kerjasama mewah pertamanya secara solo sebagai Duta Global Fred Jewelry. Pengumuman rasmi dibuat pada 8 Julai 2024, di mana Jin meluahkan rasa bangga kerana diterima dalam keluarga Fred. Pesona serta gaya timelss yang dimilikinya menjadikannya wakil ideal bagi jenama Perancis ini.
Pelakon dan penyanyi Thailand, Jeff Satur dilantik sebagai duta Cartier di Thailand pada Jun 2024, menyertai barisan selebriti antarabangsa seperti V dari BTS dan Deepika Padukone. Jeff menonjol dengan versatiliti yang sukar ditandingi. Gayanya yang berani bereksperimen mewujudkan estetika androgini yang cukup autentik.
Satu lagi wajah dari Thailand yang bersinar di pentas global. Apo Nattawin dilantik sebagai Duta Global Piaget pada 19 April 2024 bersama artis K-pop Lee Jun-Ho. Sebelum itu, pada tahun 2023, Apo mencipta sejarah sebagai ‘Friend of the Maison’ pertama dari Asia Tenggara. Pelantikan ini mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai ikon gaya mewah on the rise.
Pelakon dan figura fesyen Thailand, Win Metawin, dilantik sebagai House Ambassador Tiffany & Co. untuk Asia Tenggara pada Februari 2024, sekali gus mencatat sejarah sebagai individu pertama dari rantau ini yang menyandang gelaran tersebut. Sejak itu, dia sering menjadi tumpuan di acara Tiffany, termasuk pembukaan butik di The Exchange TRX Kuala Lumpur pada Mac 2024. Dia turut menyerikan pentas berprestij seperti Asian Film Awards ke-18 di Hong Kong.