Di tengah kesibukan kota New York dengan pancaran matahari yang terang, Coach mengangkat tirai NYFW untuk musim bunga 2026 di Pier 36, berlatarkan panorama East River. Kreativiti Stuart Vevers sekali lagi menghidupkan roh Amerika moden. Kali ini dengan naratif gaya yang lebih tenang, lebih matang, tetapi tetap penuh semangat jalanan kota Big Apple.
Palet warna hadir lembut dan segar. Antaranya putih, tan, coklat madu dan hitam pudar yang diserikan biru pastel dan sentuhan metalik. Siluet pula bergilir antara seluar denim longgar, skirt potongan kemas, serta gaun tulle dan organza. Hadir dengan motif hati, belon, dan awan. Ia seakan-akan mengingatkan bahawa romantis itu boleh wujud di tengah kota pencakar langit.
Koleksi beg tangan menampilkan keanggunan minimal dengan ikon Kisslock sebagai titik utama. Dari Kisslock Barrel Bag hingga Tabby clutch baharu. Setiap satu hadir dalam kulit pebble, suede, denim kitar semula, hingga kerajang metalik. Sementara itu, kasut utama Soho Sneaker tampil berani dengan strap dan sentuhan cetakan Dalmatian. Ia mengimbangi praktikaliti dengan nuansa lebih playful.
Stuart Vevers sendiri menyebut koleksi ini sebagai “keseimbangan antara polish dan grit, cerminan New York yang setiap pagi kembali hidup dengan tenaga baharu.” Dan benar, barisan outerwear kulit, jaket moto, serta peacoat moleskin terasa seperti tafsiran fesyen terhadap kota yang tidak pernah tidur.
Di hadapan sepanduk sepia yang meniru panorama Manhattan, tetamu seolah-olah menyaksikan perarakan kehidupan urban di pentas fesyen. Di antara mereka, wajah-wajah global seperti Elle Fanning, Soyeon, Chae Soo-bin, dan Nanon Korapat. Juga Syifa Hadju, El Rumi, Nadhir Nasar, dan May Ho. Ini menandakan satu perkara, Coach semakin berakar di pentas dunia, tanpa kehilangan identiti Amerika.
Musim ini, Coach bukan sekadar fesyen. Ia adalah manifestasi tentang bagaimana gaya peribadi ditakrifkan semula, hari demi hari, di jalanan kota yang penuh cerita.