Budaya pop Korea bukan sahaja dikenali dengan muzik bertaraf global, persembahan bertenaga dan peminat yang setia, tetapi juga pengaruhnya yang mendalam dalam dunia fesyen. Sama ada di atas pentas, di barisan hadapan pertunjukan fesyen mahupun dalam momen kasual, lima artis lelaki Korea ini membuktikan bahawa mereka adalah arkitek gaya yang sentiasa mendefinisikan semula sempadan fesyen moden.
Menggelar G-Dragon sebagai ikon fesyen seolah-olah tidak cukup untuk menggambarkan impaknya. Dia adalah pelopor yang mengangkat fesyen ke tahap seni persembahan, jauh sebelum ia menjadi normal dalam K-pop. Gayanya tiada batasan: daripada streetwear berinspirasikan punk ke sut mewah penuh perincian, semuanya digayakan dengan identiti yang unik. Sebagai duta Chanel sejak sekian lama, G-Dragon sering menafsir semula kod-kod klasik fesyen mewah dengan sentuhan peribadi, seperti jaket tweed digandingkan dengan but kombat atau sentuhan neon dalam busana serba hitam.
Dikenali sebagai raja street luxe, j-hope merupakan anggota BTS yang paling berani bereksperimen dalam fesyen. Gayanya sering menggabungkan streetwear avant-garde dengan sentuhan kemasan runway, satu gabungan yang mencerminkan identiti gaya uniknya.Akaun Instagram j-hope menjadi jendela kepada dunia fesyennya, dipenuhi dengan palet warna berani, potongan dramatik dan siluet yang tidak konvensional. Daripada menyarung bunny slippers Coach hinggalah knitwear Loewe, setiap padanan yang digayakan j-hope mencerminkan harmoni antara keseronokan dan ketelitian.
Felix daripada Stray Kids adalah simbol maskuliniti masa kini. Dengan raut wajah androgynous dan suara bariton yang dalam, dualiti dirinya turut terserlah dalam gaya peribadinya: lembut namun penuh tenaga, klasik tetapi kontemporari. Disayangi jenama Louis Vuitton, Felix sering tampil bergaya dalam helaian berstruktur, aksesori kulit dan perincian halus daripada rumah fesyen tersebut. Sama ada dalam blazer asimetri mahupun vest berinspirasikan korset, setiap penampilannya menyuntik kelembutan.
Dengan susuk tubuh seperti model dan karisma semula jadi, Mingyu daripada kumpulan Seventeen adalah wajah yang lahir untuk fesyen. Namun di sebalik paras rupa, gaya peribadinya mementingkan sofistikasi dan struktur. Daripada sut double-breasted hingga seluar potongan lebar dengan T-shirt tersisip kemas, penampilannya sentiasa rapi dan terancang.
Tiada siapa yang menyarung busana minimalis dengan aura sensual seperti Kai. Anggota EXO dan artis solo ini dikenali sebagai muse Gucci dan gayanya adalah definisi ketelitian yang menggoda. Kai sering memilih gaya ringkas namun dengan impak yang besar. Sut tanpa baju dalam, knitwear lembut dipadankan dengan kot statement, atau padanan monokrom yang bermain dengan tekstur dan siluet.