Istilah red flags semakin kerap dibincangkan dalam konteks percintaan dan hubungan. Selalunya ia merujuk kepada sikap atau tingkah laku yang memberi petanda awal sesuatu hubungan yang tidak sihat. Menariknya, lelaki sendiri juga kadangkala boleh tanpa sedar menunjukkan tanda-tanda ini. Ia bukan tentang menyalahkan tetapi tentang memahami bagaimana corak tingkah laku tertentu boleh memberi kesan kepada pasangan dan hubungan. Jom kupas ciri-ciri red flags yang boleh menjadi panduan dalam hubungan.
Sifat cepat marah sering dianggap perkara kecil, namun ia boleh memberi tekanan kepada pasangan. Lelaki yang sukar mengawal emosi berisiko mewujudkan suasana tidak stabil. Dalam hubungan, kemampuan mengekspresikan emosi dengan cara matang lebih dihargai daripada menahan atau melepaskan kemarahan tanpa kawalan.

Ada lelaki yang melangkah ke dalam hubungan tanpa benar-benar pasti tentang hala tuju. Sikap ‘sambil lalu’ atau hanya separuh hati boleh membuat pasangan rasa tidak dihargai. Hubungan biasanya lebih kukuh apabila kedua-dua pihak jelas dengan komitmen masing-masing.
Ramai lelaki membesar dengan didikan bahawa mereka perlu kuat dan tidak menunjukkan kelemahan. Akibatnya, ramai yang memilih untuk berdiam diri daripada berkongsi apa yang dirasakan. Namun, kekurangan komunikasi emosi boleh mencipta jarak antara pasangan. Belajar untuk lebih terbuka sebenarnya membantu membina keintiman yang lebih mendalam.

Rasa cemburu adalah sesuatu yang normal, tetapi jika ia membawa kepada kawalan berlebihan terhadap pasangan, ia boleh menjadi tanda masalah. Daripada mengawal dengan siapa pasangan berkawan atau bagaimana mereka berpakaian, lebih baik hubungan dibina atas dasar saling percaya.

Hubungan bukan hanya soal perasaan, tetapi juga soal tanggungjawab sama ada dari segi masa, emosi atau perancangan masa depan. Lelaki yang tidak memainkan peranan ini sepenuhnya boleh dianggap kurang bersedia. Dalam hubungan moden, perkongsian tanggungjawab lebih dipandang sebagai asas yang adil dan seimbang.

Membincangkan red flags dalam kalangan lelaki tidak bermaksud semua lelaki sama, tetapi ia membuka ruang untuk refleksi. Hubungan yang sihat bermula dengan kesedaran diri.
Apabila lelaki lebih peka terhadap cara mereka mengurus emosi, komitmen dan tanggungjawab, mereka bukan sahaja memperbaiki diri sendiri, tetapi juga memberi ruang kepada pasangan untuk merasa lebih selamat dan dihargai.