LANGGAN

Budaya Buli dan Pasak Kelelakian

Buli boleh menjadi budaya yang sukar sembuh jika pelakunya tidak dihukum.
Published: October 17, 2025

Budaya buli bukan sekadar salah laku, ianya boleh ditakrifkan manifestasi kegagalan sosial. Berita tentang pelajar sekolah perempuan yang meninggal dunia dibunuh baru-baru ini sekali lagi mengejutkan masyarakat Malaysia. Tetapi seperti biasa, selepas marah reda nanti dan media beralih fokus, satu soalan kekal tidak terjawab, adakah kita benar-benar faham daripada mana datangnya tingkah laku ini?

Kita mungkin cepat menunjuk ke arah sekolah yang gagal memantau, tidak mendidik atau lambat bertindak. Tetapi statistik yang dikemukakan oleh Kementerian Pendidikan juga menunjukkan bahawa kes buli bukan sekadar isu pentadbiran sekolah. Ini adalah pantulan sebuah krisis sosial yang jauh lebih mendalam dan kadangkala lebih maskulin daripada yang kita sangka.

Buli: Satu Simptom, Bukan Akaran

Tindakan buli sama ada secara fizikal, verbal atau emosi bukan muncul dalam vakum yang sama. Ianya terjadi hasil akhir daripada sebuah proses sosialisasi yang panjang, bermula dari rumah dan diperkuatkan oleh rakan sebaya lalu akhirnya dibenarkan oleh normalisasi budaya. Kita sedang melihat generasi yang dibesarkan dalam persekitaran yang terlalu biasa dengan kekerasan emosi, kurang empati dan penuh tekanan untuk “tunjuk siapa yang paling kuat”.

Yang lebih merisaukan, terdapat satu pola kebanyakan pelaku yakni lelaki dan mangsanya yang lemah, sering kali juga wanita. Di sinilah persoalan kelelakian moden perlu mula dikupas.

Pasak Kelelakian Yang Rosak

Selanjutnya, dalam bercakap mengenai budaya termasuk di Malaysia, lelaki dibesarkan dengan satu skrip sosial tertentu iaitu perlu tahan sakit, jangan sesekali tunjuk lemah, mengawal dan mendominasi. Ini bukan sekadar idea lapuk, ianya satu beban yang menjadikan emosi sebagai musuh. Dalam konteks buli, "dominasi" itu mengambil bentuk paksaan, herdikan atau pemaluan awam. Keupayaan untuk menguasai orang lain dijadikan ukuran kelelakian.

Seterusnya apabila dunia digital turut menawarkan pentas tontonan seperti video viral, likes dan clout – tingkah laku ganas mula mendapat tempat sebagai normal sosial. Yang lain mula meniru. Ianya kini bukan lagi tentang pengaruh media sosial semata-mata sahaja, tetapi tentang budaya yang memuliakan kekerasan sebagai simbol kejantanan.

Keluarga: Institusi Pertama Yang Gagal?

Secara asasnya keluarga merupakan institusi pendidikan nilai yang pertama. Tetapi dalam kebanyakan kes, ianya juga menjadi tempat anak-anak belajar menormalisasi konflik, ketegangan dan kuasa tanpa empati. Di dalam rumah yang tiada ruang meluahkan emosi sesetengah anak-anak perlu belajar untuk melawan – bukan memahami.

Kita juga mula melihat pola baharu di mana ibu bapa yang terlalu cepat mempertahankan anak apabila berlaku kes disiplin tanpa menyiasat atau mendengar dua belah pihak. Sikap ini bukan sahaja menghalang anak kecil daripada belajar bertanggungjawab, tetapi juga menumbuhkan budaya tidak ambil peduli terhadap moral. Apabila ibu bapa mula “membuli semula” cikgu atau sistem, bagaimana anak-anak ini akan faham kepada batas?

Sama-Sama Merawat, Bukan Menghukum

Menangani buli bukan hanya soal mengambil tindakan selepas kejadian berdarah atau tragis berlaku. Ianya perlu diselangi usaha bersepadu untuk mendidik semula erti empati, hormat dan kelelakian yang sihat – bukan yang dibina atas dominasi.

  1. Kurikulum Emosi dan Gender – EQ (kecerdasan emosi) perlu dimasukkan dalam sistem pendidikan. Pelajar harus diajar bagaimana mengenali tekanan, marah dan cara mengurusnya dengan sihat. Hormat antara jantina juga mesti dijadikan asas seerta bukan hanya budi bahasa tetapi soal hak asasi dan keselamatan.
  2. Latih Guru dan Ibu Bapa – Kedua-dua kelompok ini perlu dilatih mengenal tanda awal tekanan atau tingkah laku agresif. Intervensi awal sangat penting sebelum situasi menjadi trauma kepada mangsa dan pelaku tidak berdosa.
  3. Kawal Naratif Media Sosial – Platform digital perlu bertanggungjawab terhadap kandungan toksik yang memperbesarkan budaya buli. Konten yang memperlihatkan kekerasan sebagai cool atau bahan lawak seharusnya ditapis, bukan diraikan.
  4. Tajdid Falsafah Kelelakian – Lelaki perlu dibebaskan daripada kepercayaan bahawa mereka hanya dihargai apabila keras, dominan dan tidak emosional. Kita perlukan naratif baru sifat kelelakian moden yang memuliakan rasa belas, ketenangan dan keberanian untuk mengawal diri, bukan orang lain.

Hentikan Buli!

Seperti luka yang dibiarkan bernanah di bawah lapisan kosmetik sosial, gejala buli tidak akan berhenti selagi kita terus melihatnya sebagai sekadar kes terpencil di sekolah atau golongan muda. Ianya sudah seharusnya menjadi amaran kepada keruntuhan struktur nilai sosial, pembentukan identiti jantina yang pincang dan kehilangan empati dalam masyarakat kita.

Jika benar-benar kita mahu menyelamatkan anak-anak muda dan generasi akan datang, bukan sekadar menyelesaikan punca masalah buli, tetapi berhenti daripada menjadi pembuli – maka kita perlu berani mengubah cara kita melihat lelaki, kuasa dan peranan keluarga. Tanpa itu, luka ini akan terus berulang dan setiap kali berlaku mangsanya mungkin lebih muda dan mereka yang tidak bersalah teraniaya.



Topics: ,
Share this article:
READ NEXT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down