Menurut laporan The Korea Herald bertarikh Selasa (30 September) T.O.P Big Bang telah menyelesaikan proses rakaman untuk albumnya. Seterusnya dia kini sedang dalam perancangan konsep video muzik tersebut pula.
Menariknya, untuk produksi video muzik ini, T.O.P akan berkolaborasi dengan pengarah seni terkenal dari siri popular Squid Game, Chae Kyoung-sun. Sebelum ini, pengarah tersebut juga turut terlibat dalam projek Squid Game musim kedua.
Album tersebut T.O.P itu dijangka akan dilancarkan sekitar Oktober atau bulan selepasnya sebelum akhir tahun dan kerjasama ini dijangka membawakan visual yang unik, artistik dan berkelas tinggi. Segala gambaran ini sekaligus memperkuatkan identiti T.O.P sebagai seorang artis yang sentiasa tampil dengan konsep luar jangka.
Sebelum ini, T.O.P sudah memberi bayangan tentang kemunculan semulanya menerusi beberapa hantaran di media sosial. Dalam beberapa temu bual terdahulu, beliau juga menyatakan bahawa dirinya bersedia untuk kembali ke dunia muzik selepas berehat panjang daripada industri hiburan.
Selepas meninggalkan Big Bang dan agensi YG Entertainment, T.O.P memilih untuk bergerak secara bebas tanpa naungan mana-mana syarikat pengurusan tetap. Walaupun beberapa kali dikhabarkan akan menyertai agensi lain, laporan tersebut ternyata tidak benar.
Kemunculan semula ini dianggap sebagai detik penting buat T.O.P dan para peminatnya yang telah lama menanti. Dengan kematangan dan pengalaman baharu yang dibawanya, album ini diharapkan akan menjadi satu karya bermakna dan mendalam, Ininselaras dengan reputasinya sebagai salah seorang rapper dan figura seni paling berpengaruh dalam industri K-pop.