LANGGAN

Senarai Filem Seram Terbaik Sempena Halloween Ini!

What’s your favorite scary movie?
Published: October 30, 2025

It's the spooky season! Oktober melabuhkan tirai dengan musim yang menyeramkan dan tiada cara yang lebih sempurna untuk menikmati suasana ini dengan maraton filem seram yang mampu buat anda menjerit, ketawa dan membuat anda berfikir sejenak selepas tamat tayangan. Sama ada anda lebih sukakan kisah klasik yang penuh nostalgia atau seram moden yang mind-twisting, ini adalah senarai filem yang wajib anda tonton sempena Halloween ini! 

Ghostbusters (1984)

Who’s you gonna call? Filem klasik yang memadukan unsur komedi dan seram Ghostbusters. Membawa kita ke New York City, di mana sekumpulan saintis menjadi pemburu hantu profesional. Dengan dialog ikonik dan watak penuh karisma, filem ini sesuai untuk tontonan ringan yang tetap mencipta suasana spooky tanpa membuat anda menutup mata. 

Beetlejuice (1988)

Karya agung Tim Burton yang penuh dengan imaginasi gothic dan humor gelap. Beetlejuice mengisahkan sepasang roh yang cuba menakut-nakutkan penghuni baru rumah mereka dengan bantuan si nakal Beetlejuice. Ia menyeramkan, pelik dan menghiburkan sempurna untuk mereka yang sukakan sisi pelik dalam dunia seram. 

The Texas Chainsaw Massacre (1974)

Tiada yang lebih menakutkan daripada filem ini. The Texas Chainsaw Massacre memperkenalkan dunia kepada Leatherface, pembunuh bertopeng kulit manusia dengan gergaji rantai di tangan. Ia bukan sahaja menyeramkan tetapi ia adalah pengalaman yang membuat anda merasa cemas dan terganggu dengan apa yang ditonton daripada cerita itu sendiri. 

The Exorcist (1973)

Mengisahkan tentang seorang gadis kecil yang telah dirasuk dan dua paderi yang berjuang mengusir syaitan dari tubuhnya dan penuh dengan simbolisme agama, kemanusiaan dan ketakutan eksistensial. Setiap babak dan watak masih kekal dalam sejarah filem ini dan dianggap sebagai antara filem yang paling menakutkan.

Longlegs (2024)

Filem seram psikologi arahan Osgood Perkins ini menampilkan Maika Monroe sebagai ejen FBI yang menyiasat siri pembunuhan misteri berkaitan simbol okult. Nicolas Cage memainkan watak pembunuh bersiri menakutkan dikenali sebagai Longlegs. Dengan suasana gelap dan gaya visual yang menegangkan, filem ini lebih menakutkan secara psikologi berbanding darah atau kejutan semata. Sesuai untuk mereka yang gemarkan filem seram yang perlahan tetapi menghantui fikiran.

Saw (2004)

“Wanna play a game?” Satu baris dialog yang menjadi legenda. Cerita yang melibatkan dua lelaki yang terperangkap dalam bilik terkunci dan untuk terus hidup, mereka perlu mengorbankan sesuatu yang jauh lebih besar. Filem ini memperkenalkan karakter Jigsaw yang bijak dan kejam, menjadikan setiap keputusan dalam permainan mautnya sebagai refleksi tentang moral dan kesalahan manusia.

IT (2017)

Adaptasi moden daripada karya Stephen King ini memaparkan kumpulan kanak-kanak yang berdepan dengan Pennywise  badut menyeramkan yang memakan ketakutan manusia. IT tidak hanya menakutkan dengan visualnya tetapi juga menyentuh dengan tema trauma dan persahabatan. Setiap adegan membawa anda ke zaman kanak-kanak di mana ketakutan terasa lebih nyata.

Get Out (2017)

Get Out adalah sindiran sosial tajam tentang perkauman dan manipulasi. Mengisahkan tentang seorang lelaki kulit hitam yang berkunjung ke rumah keluarga kekasihnya, hanya untuk menemui rahsia menakutkan di sebalik keramahan yang palsu. Karya daripada Jordan Peele ini membina ketegangan yang halus tetapi mendalam, menjadikan filem ini salah satu filem paling berpengaruh abad ini.

Barbarian (2022)

Apa yang bermula dengan suasana tenang berubah menjadi kengerian yang tidak disangka. Barbarian mengikuti seorang wanita yang menyewa rumah Airbnb hanya untuk mendapati seseorang atau ‘sesuatu’ sudah menunggu di bawah tanah rumah itu. Filem ini bijak mempermainkan jangkaan penonton dengan setiap babak membawa ke arah yang lebih pelik dan berbahaya. Ia menyeramkan dengan cara yang moden dan realistik.

Terrifier (2016)

Jika anda fikir badut Pennywise sudah cukup menakutkan, tunggu hingga anda berjumpa dengan Art the Clown. Terrifier ialah filem berdarah ekstrem yang menolak sempadan ketakutan. Ia sadis, brutal dan tidak bertapis. Sebuah pengalaman untuk peminat tegar genre slasher. Setiap adegan seolah menguji sejauh mana anda boleh bertahan menonton tanpa menutup mata.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down