LANGGAN

Pilihan Third Space yang Wajib Anda Terokai!

Ruang baru untuk berkomuniti dan mencari inspirasi
Published: July 14, 2026

Sejak kebelakangan ini third space muncul sebagai satu konsep baru yang semakin mendapat perhatian terutama dikalangan generasi kini. Ia bukan sekadar kafe untuk minum kopi atau tempat cantik untuk bergambar tetapi sebuah ruang di mana kita boleh berinteraksi, berkongsi idea dan berkomuniti.

Konsep third space ini diperkenalkan oleh ahli sosiologi Ray Oldenburg sebagai ruang selain rumah (first place) dan tempat kerja (second place). Ia berfungsi sebagai tempat pertemuan sosial secara santai dan terbuka. Konsep ini kembali menjadi perbualan kerana semakin ramai mencari ruang fizikal yang membolehkan mereka berhubung secara lebih autentik.

Di Kuala Lumpur, fenomena ini dapat dilihat melalui kemunculan ruang kreatif yang dapat memberi pengalaman dan komuniti. Ini antara senarai pendek third space yang wajib anda kunjungi! 

Kolektif Kucing

Lokasi: Sam Mansion, Kampung Attap

Kolektif Kucing bukan sekadar sebuah sanctuary buat kucing jalanan dan kucing terbiar. Ia adalah sebuah ruang komuniti yang dibina atas dasar kasih sayang terhadap haiwan. Dijaga oleh pasangan pencinta kucing, Rina dan Wan Hidayat, ruang ini memberi perlindungan dan penjagaan kepada si bulus yang memerlukan. Pada masa yang sama, Kolektif Kucing turut berfungsi sebagai sebuah third space yang dipenuhi pelbagai aktiviti dan pengalaman yang menghubungkan pengunjung dengan kucing-kucing di sini dalam suasana yang santai dan mesra.

Tintabudi Bookshop

Lokasi: TTDI

Lebih daripada sekadar kedai buku, Tintabudi memberi ruang buat orang ramai untuk duduk, membaca dan menemukan karya yang mungkin tidak ditemui dalam arus perdana. Dengan suasana yang intim dan tenang, ia menjadi tempat pertemuan buat pencinta buku untuk berkongsi minat serta idea. Selain jualan buku baru dan terpakai, Tintabudi turut meraikan ilmu dengan menghidupkan budaya membaca dan berkomuniti.

Gerak Budaya 

Lokasi: Petaling Jaya

Gerak Budaya adalah sebuah ruang intelektual yang menghidupkan perbincangan tentang sejarah, masyarakat dan identiti Malaysia. Ramai yang hadir ke sini untuk meneliti dan berdiskusi tentang pelbagai isu melalui perspektif dengan lebih mendalam bersama komuniti yang berlainan. Third space ini juga meraikan pertukaran idea serta perbincangan tentang isu-isu semasa yang membentuk landskap dunia hari ini.

Dia Space

Lokasi: Pasar Seni

Sebuah ruang baru yang mewakili ruang kreatif yang lebih terbuka, inklusif dan eksperimental, di mana seni dapat didekati tanpa batasan. Ia menjadi platform untuk komuniti menikmati karya kreatif dalam suasana yang lebih santai, dekat dan mudah diakses. Ia juga membuka peluang kepada penggiat seni serta pencinta kreativiti untuk berkongsi idea, meneroka perspektif baru dan membina hubungan melalui pengalaman seni yang lebih bermakna.

Belum Friday

Lokasi: Raja Chulan

Lebih daripada sekadar tempat menikmati makanan dan minuman, ia menjadi ruang untuk memperlahankan rentak hidup melalui perbualan, muzik, persembahan langsung, sesi bacaan dan pelbagai aktiviti kreatif. Mencerminkan keperluan generasi hari ini terhadap third space yang lebih bermakna, Belum Friday memberi peluang kepada pengunjung untuk berkumpul, bertukar idea dan membina hubungan dalam suasana yang lebih tenang, terbuka dan tanpa tekanan.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down