
Kolaborasi Rado bersama Ji Chang-Wook yang dijalin sejak 2023 membentuk satu semangat jitu dua jenama global ke tahap prestij yang membanggakan. Seni ketukangan dan rekaan berinovasi Rado menyatu sempurna dengan estetika kerja Ji Chang-Wook. Menerusi satu lawatan khasnya di pusat penyelidikan Rado dia dibawa menyelami naratif penyatuan warisan dan teknologi menerusi program ‘Master of Materials’.
Penyatuan kreatif ini membuah ilham baru ‘True Square Open Heart x Ji Chang-Wook’ yang menakjubkan. Proses kreatif diolah dengan idea segar yang membentuk satu perspektif baru dengan penuh keterujaan. Rado menyambut kehadiran Ji Chang-Wook ke makmal seramik bagi melihat sendiri proses penyelidikan dalam teknologi bersatu sebagai sebuah mekanisme yang diterjemah sebagai sesuatu yang realiti.
Pertemuan yang asalnya sebagai pengenalan dengan sesi soal jawab tentang jenama membentuk satu idea baru buat kedua-duanya. Ketua Pegawai Eksekutif Rado, Adrian Bosshard memerhatikan kepekaan Ji Chang-Wook yang benar-benar menghayati naratif penghasilan.

“Saya pastikan jam tangan ini akan disematkan dengan kristal nilam di bahagian belakang.” Ujar Bosshard sambil tersenyum dan Ji Chang-Wook menambah “Kita juga boleh meletakkan tatahan batu delima.” Daripada perbualan ini, sini satu projek baru bermula menjadikan imaginasi ke dunia realiti.
Rona merah membawa pemaknaan tuah dan dengan ketepatan masa Rado ia melengkapi kehendak sebuah penciptaan jam tangan berprestij. Dalam berseloroh sempat dia berkongsi “Batu delima juga merupakan batu tahun kelahiran saya.” Saat itu semua yang ada di bilik sesi soal jawab tahu bahawa projek ini akan menjadi sesuatu yang nyata.
Lawatan ini menjadi satu medan pertemuan individu kreatif yang tahu dan faham tentang fungsi, teknikal dan estetika penciptaan. Setiap komponen kecil diperhatikan dan diperbincangkan menjadikan pemahaman Chang-Wook lebih mendalam.

Setiap penciptaan Rado Open Heart membawa satu sudut pandang baru kehidupan secara menyeluruh. Naratif dicipta dengan ceritera kesibukan hiruk-pikuk kota yang terhenti seketika pabila semesta terpana pada penciptaan jam tangan yang mencuri perhatian.
Edisi terhad True Square Open Heart ini diperincikan dengan dua belas batu delima dan disempurnakan dengan Super-LumiNova® berona merah. Bekas dan pergelangan seramik rona hitam menyerlahkan sepenuhnya tatahan batu delima. Ia dicipta penuh karakter dan kaya dengan penceritaan budaya bertemu kemodenan penciptaan.
Spesifikasi uniknya dengan kaliber R734 automatik dengan ketahanan sehingga 80 jam dipersiap kemas dengan pergelangan seramik dalam rona hitam dan tiga kekunci titanium dalam saiz 38 mm.