LANGGAN

Revolusi Dunia Perhiasan Lelaki Bersama Ziyin Low dari ZCOVA

Memecah norma dan menolak stereotaip, Ziyin Low membentuk semula dunia barang kemas melalui kreativiti dan karisma maskulin.
Published: December 21, 2025

Jika anda sedang mencari cincin pertunangan, cincin kahwin atau barang kemas mewah yang ditempah khas dengan penekanan pada ketelusan, kualiti dan pendidikan pelanggan, ZCOVA ialah jenama yang tepat. Dikenali kerana menawarkan berlian yang diperakui Gemological Institute of America (GIA), ZCOVA dibina dari bawah sebagai jenama Malaysia yang kini berdiri sebagai nama dipercayai dalam detik-detik paling penting kehidupan pelanggan.

Bagi Low Zi Yin, pengasas bersama, pengarah kreatif dan ahli gemologi di sebalik jenama ini, melihat ZCOVA berkembang hingga ke tahap hari ini merupakan pengalaman yang sangat membanggakan. Sebagai jenama tempatan, mereka bangga mengangkat standard industri, meyakini bahawa setiap pelanggan berhak menerima tahap kepakaran dan ketukangan setanding rumah-rumah barang kemas global.

ZCOVA
Gambar: Ziyin Low

Barang kemas sejak dahulu dikaitkan dengan wanita. Bagaimana anda melihat peranan lelaki dalam dunia barang kemas hari ini?

Barang kemas kini bukan lagi aksesori berjantina. Ia adalah lanjutan identiti seseorang. Hari ini, lelaki semakin menerima barang kemas sebagai sebahagian daripada identiti mereka, sama seperti mereka memilih jam tangan, haruman atau pakaian. Di ZCOVA, kami melihat semakin ramai pelanggan lelaki yang meneroka berlian, batu permata dan rekaan khas yang mencerminkan gaya mereka sendiri. Stigma bahawa lelaki memakai barang kemas yang dianggap feminin sudah tidak relevan. Barang kemas kini ekspresi diri untuk semua, bukan wanita sahaja.

Apakah nasihat anda kepada lelaki yang baru mula meneroka barang kemas sebagai sebahagian daripada gaya peribadi mereka?

Mulakan dengan kecil, tetapi dengan niat. Pilih sesuatu yang terasa semula jadi. Mungkin rantai ringkas, cincin signet atau gelang. Jangan takut mencuba barangan kemas wanita seperti gelang tenis, rantai tenis atau cincin eternity. Fahami apa yang menarik perhatian anda: tekstur, logam, perkadaran dan juga gaya hidup harian anda. Daripada situ, bina perlahan-lahan. Barang kemas bukan tentang menonjol, ia tentang keyakinan. Dan pilihan terbaik ialah yang mempunyai makna sama ada ia menandakan detik penting, kenangan atau yang terasa seperti “diri anda”.

Bagaimana pengalaman peribadi anda membentuk estetik dan penceritaan di sebalik rekaan anda?

Estetik saya lahir daripada gabungan didikan kreatif, latihan gemologi dan pengaruh dunia di sekeliling saya, daripada seni bina ke fesyen sehinggalah fotografi. Saya sentiasa seorang yang ingin tahu, berorientasikan visual dan fungsi. Masa saya berguru dengan mentor di Lebanon, saya belajar disiplin serta ketelitian dalam industri barang kemas. Pada masa yang sama, kecintaan saya terhadap dunia reka bentuk mendorong saya untuk meneroka emosi dan kelenturan. Setiap hasil ciptaan saya mencerminkan satu bab dalam hidup saya. Tersusun namun ekspresif, moden tetapi tetap sentimental.

Sebagai usahawan lelaki dalam industri barang kemas di Malaysia, apakah cabaran unik yang anda hadapi dan bagaimana ia membentuk perspektif serta perkembangan anda?

Memasuki industri barang kemas tanpa legasi sedia ada bukan perkara biasa. Ada andaian tertentu: ada yang mempersoalkan sama ada saya memahami industri ini secukupnya atau sama ada sebagai pereka, saya benar-benar memahami perspektif wanita dan keperluan emosi yang terikat pada barangan kemas. Namun cabaran-cabaran itu membentuk diri saya. Ia mendorong saya untuk lebih mendengar, lebih memerhati dan berani berfikir di luar kotak. Menjadi “tidak konvensional” akhirnya menjadi kelebihan; ia membolehkan saya memahami apa yang pelanggan mahukan dan perlukan tanpa mengira jantina. Ia membolehkan saya menyelesaikan masalah mereka dan mendekati kreativiti daripada sudut pandang baharu. Ia menguatkan suara saya, keyakinan saya dan jenama yang saya bina.

ZCOVA
Gambar: Ziyin Low

Boleh kongsikan tentang falsafah reka bentuk anda atau prinsip yang membimbing hasil ciptaan anda?

Falsafah reka bentuk saya terletak pada persimpangan antara praktikaliti, emosi, keabadian dan ketukangan. Barang kemas sepatutnya mengatasi trend. Ia perlu terasa kontemporari hari ini dan tetap indah puluhan tahun kemudian. Setiap rekaan mesti mempunyai niat daripada lengkungan prong kepada cara reka bentuk menonjolkan berlian atau batu permata. Dan lebih daripada itu, barang kemas kami bukan sahaja berlian atau batu permata, tetapi warisan emosi. Ciuman pertama. Janji seumur hidup. Ikatan yang melangkaui waktu.

Pada pandangan anda, apa yang membezakan ZCOVA dalam landskap barang kemas hari ini?

ZCOVA dibina atas ketelusan, keterangkuman, kejujuran dan kebahagiaan dalam sebuah industri yang sekian lama diselubungi ketidakpastian. Kami bangga menjadi jenama Malaysia yang percaya pelanggan layak menerima tahap kepakaran dan ketukangan yang sama seperti rumah-rumah global. Kami meluangkan masa untuk mengajar, memperkasakan dan membina bersama pelanggan. Pelanggan kami bukan sekadar membeli barang kemas. Mereka sebahagian daripada prosesnya. Rasa percaya dan kolaborasi itu dipadukan dengan kepakaran gemologi kami, menjadikan ZCOVA berbeza.

Ceritakan proses kreatif anda. Adakah ia bermula dengan lakaran, bahan tertentu atau suasana dan cerita yang ingin disampaikan?

Proses kreatif saya sentiasa bermula dengan konsep. Kadangkala ia datang daripada kenangan, tekstur atau rujukan budaya. Sesuatu yang menggerakkan emosi. Daripada situ, saya menterjemahkan cerita itu ke dalam lakaran beralun, siluet unik dan butiran tersembunyi. Bahan dipilih selepas itu. Batu permata atau logam yang paling tepat menzahirkan idea tersebut. Fungsi dan bentuk menginspirasi saya: garis moden dengan lengkung organik serta geometri yang tegas. Setiap rekaan mempunyai fungsi yang diterjemahkan ke dalam cerita, detik dan gaya hidup pemakainya.

Apakah detik paling bermakna dalam perjalanan anda sebagai pereka atau usahawan setakat ini?

Detik paling bermakna sentiasa datang daripada reaksi pelanggan kami. Melihat air mata kegembiraan mereka dalam gambar pertunangan atau perkahwinan atau menyaksikan seorang ibu menyerahkan barang pusaka yang kami hasilkan kepada cucu mereka. Semua itu mengingatkan saya mengapa saya melakukan kerja ini. Secara peribadi, membina ZCOVA daripada bawah sebagai jenama Malaysia dan melihatnya berkembang menjadi nama yang dipercayai dalam detik-detik paling penting kehidupan pelanggan adalah sesuatu yang sangat memuaskan. Saya benar-benar bersyukur kepada semua yang percaya pada kami.

Kelestarian semakin dibincangkan dalam dunia fesyen dan aksesori. Bagaimana anda mendekati nilai tahan lama dari sudut kreatif, etika dan kewangan?

Bagi saya, kelestarian bermula dengan ketahanan. Kami mereka perhiasan yang dimaksudkan untuk dipakai dan disayangi sepanjang hayat lalu diwarisi generasi seterusnya bukan dibuang. Dari sudut etika, kami bekerjasama rapat dengan pembekal dipercayai dan memastikan setiap berlian diperoleh secara bertanggungjawab. Dari sudut kreatif, kami mengelak daripada mengejar trend atau meniru. Sebaliknya, kami mencipta rekaan yang boleh disesuaikan dan mempunyai ketukangan kukuh agar ia menua dengan indah. Dari sudut kewangan, kami mendidik pelanggan supaya mereka memahami nilai ketukangan sebenar dan tidak semua barang kemas perlu mahal untuk bermakna.

Betapa pentingnya komuniti kepada jenama anda, dan bagaimana anda memupuk hubungan tersebut dengan pelanggan?

Komuniti adalah nadi ZCOVA. Kami berkembang kerana orang percaya kepada kami, berkongsi pengalaman mereka dan mempercayakan kami dengan detik paling penting dalam hidup mereka. Kami memupuk hubungan itu melalui ketelusan, kejujuran, keterangkuman, kebahagiaan dan konsultasi peribadi, serta dengan mewujudkan pengalaman bermakna, bukan sekadar transaksi. Sama ada membimbing seseorang belajar tentang berlian atau mereka bentuk barang pusaka khas, fokus kami adalah hubungan dan kepercayaan.

Apa yang boleh kami nantikan daripada anda pada tahun akan datang? Adakah terdapat koleksi baharu atau kolaborasi yang sedang dirancang?

Anda boleh menjangkakan lebih banyak koleksi berasaskan penceritaan terutama perhiasan yang menggabungkan minimalisme moden dengan warisan budaya. Kami sedang meneroka rekaan baharu, siluet tidak konvensional dan mungkin sebuah koleksi kapsul yang diinspirasikan perspektif pereka muda kami dalam landskap kreatif masa kini. Terdapat juga beberapa kolaborasi dalam perancangan dengan pereka, penggiat kreatif, dan jenama yang berkongsi falsafah keaslian serta ketukangan kami.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down