LANGGAN

Lelaki Moden Cipta Diri Baharu Untuk Tahun Baru

Lelaki moden kini semakin memahami bahawa ‘diri baharu’ bukan tentang perubahan besar, tetapi evolusi kecil yang konsisten demi kesejahteraan diri.
Published: January 21, 2026

Lelaki moden kini semakin memahami bahawa ‘diri baharu’ bukan tentang perubahan besar, tetapi evolusi kecil yang konsisten demi kesejahteraan diri.

Saban kali tibanya tahun baharu, ramai lelaki masih terperangkap dalam mindset lama. Bukan sahaja lelaki, tetapi juga wanita. Kita sering mencipta azam besar pada awal tahun, tampil bersemangat untuk dua minggu pertama, kemudian perlahan-lahan kembali kepada rutin asal. Namun semakin kita dewasa, semakin jelas bahawa “new year, new me” bukan tentang menjadi orang lain, tetapi tentang menjadi versi diri yang lebih baik, lebih jujur dan lebih bertujuan.

Namun, adakah semudah itu untuk seseorang mengubah rutin hidup demi menjadi lebih baik? Sejujurnya, sukar untuk saya menentukan sama ada seorang lelaki mampu mengekalkan disiplin atau tidak. Ada lelaki yang saya kenali berpegang teguh pada tekad. Apabila mereka mahukan sesuatu, mereka akan memastikan ia menjadi kenyataan. Jika niatnya untuk menyimpan wang demi perkahwinan, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh sehingga mencapai apa yang diimpikan.

Tip Untuk Lelaki: Bina Evolusi Diri Yang Lebih Jujur

Lelaki hari ini semakin sedar bahawa perubahan tidak perlu bersifat dramatik. Ia boleh bermula daripada perkara kecil seperti tidur lebih awal, minum lebih banyak air atau kembali bersenam walaupun hanya dua kali seminggu. Bagi mereka, konsistensi lebih penting daripada mengejar ‘kesempurnaan’.

Tahun baharu sering dijadikan peluang untuk menekan ‘reset button’. Namun hakikatnya, perubahan tidak perlu berlaku serta-merta. Anggaplah ia sebagai ruang untuk mengaudit diri seperti proses mengimbas kembali, kemudian memperbaharui. Tanyakan pada diri,  apakah perkara yang paling memberi tekanan tahun lalu? Apa yang anda lepaskan dan ingin dapatkan kembali? Apa yang benar-benar memberi tenaga dalam hidup? Berdasarkan pemerhatian kami, lelaki moden kini semakin selesa berbicara tentang kesihatan mental, halangan hidup dan ketenangan. Tidak lagi hidup mengikut tekanan atau jangkaan orang lain.

Ingat juga, mencipta ‘diri baharu’ tidak semestinya tentang menayang kemewahan. Ia tidak bermaksud membeli kereta baharu atau wardrobe baharu. Kadangkala ia bermula dengan penampilan grooming diri yang lebih teratur, penjagaan wajah dan tubuh yang asas tetapi konsisten atau prihatin tentang bau badan dengan memilih aroma yang sesuai. Malah, menjaga isi rumah khususnya bilik tidur juga sebahagian daripada penjagaan kesejahteraan diri. Pada kami, ini lebih penting kerana ia menyentuh aspek kerohanian dan kejasmanian anda.

lelaki

Ramai lelaki kini juga semakin matang dalam mengurus kewangan. Ada yang mula mempelajari kemahiran baharu serta mencari peluang untuk membangunkan diri. Percayalah, amalan ini sebenarnya adalah pelaburan jangka panjang untuk kestabilan hidup. Jika anda berkeluarga, kesihatan mental suami dan isteri adalah sama penting. Sebagai ketua keluarga, anda perlu mengambil kira hal ini. Namun, jangan sampai anda terbeban. Perancangan kewangan yang bijak adalah kunci untuk tahun mendatang.

Being emotionally intelligent is the new attractive. Percaya atau tidak, ini adalah benar dan wajar dijadikan salah satu azam baharu anda. Belajarlah untuk tidak bertindak mengikut emosi atau memberi reaksi melulu. Jadilah lelaki yang lebih tenang, bukan lebih sibuk. Tahun 2026 bukan tentang “grind 24/7”, tetapi tentang keseimbangan, ketenangan dan menikmati hidup. Lelaki yang tenang, fokus dan jelas arah tujunya selalunya lelaki yang dianggap “menang” dalam hidup.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down