LANGGAN

Gentleman: Definisi Baru Maskulin?

Walaupun sut dan tie semakin jarang dipakai, nilai seorang ‘gentleman’ masih kekal relevan sehingga ke hari ini.
Published: September 1, 2025
Gentleman

Dunia telah berubah dan begitu juga gaya lelaki. Di zaman dahulu, maskuliniti lelaki diukur melalui penampilan yang tersusun rapi, keyakinan tinggi serta kendali diri yang unggul. Gelaran gentleman bukan sekadar satu panggilan biasa, ia adalah penghormatan tertinggi, melambangkan kelas, martabat dan kehalusan budi pekerti. Namun, di era moden yang sarat dengan kebebasan ekspresi dan kreativiti, gaya lelaki telah mengalami transformasi. Lelaki masa kini menikmati ruang luas untuk mengekspresikan diri melalui fesyen dan identiti yang lebih dinamik, berani dan terbuka. 

Lelaki Maskulin Klasik

Tanpa ragu, salah satu perbezaan paling ketara antara lelaki maskulin klasik dan lelaki moden terletak pada cara mereka berpakaian. Dahulu, gaya lelaki berpaksikan kepada prinsip keanggunan berkelas, potongan yang tepat dan berdisiplin. Fesyen bukan sekadar perkakas untuk kelihatan menarik, tetapi juga merupakan simbol status sosial, integriti dan kebijaksanaan peribadi. Sut yang diseterika sempurna, kemeja berkolar tajam, kasut kulit berkilat dan aksesori halus, ciri-ciri ini merupakan cerminan kepada lelaki maskulin klasik. 

Pada masa itu, berpakaian kemas dianggap sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial. Seorang lelaki yang berpakaian rapi mencerminkan karakter yang teratur, berprinsip dan memiliki nilai yang kukuh dalam hidupnya. Ia bukan soal menarik perhatian, tetapi menunjukkan rasa hormat terhadap diri sendiri dan orang sekeliling. Tiada unsur keterlaluan, tiada pencarian identiti melalui pakaian, segala-galanya berpandukan norma, tradisi dan kekemasan yang konsisten.

Terdapat garis panduan yang tegas tentang cara seorang lelaki sepatutnya berpakaian, walaupun ia kadangkala berubah mengikut kedudukan sosial. Prinsip utamanya tetap sama, gaya adalah lambang kehormatan. Dalam konteks ini, gaya klasik masih dianggap sebagai cara berpakaian yang paling maskulin. Seperti mana yang sering dikatakan, ‘sut pada lelaki ibarat lingerie pada wanita’, kerana sesetengah pakaian itu direka untuk menyerlahkan kelebihan semula jadi tubuh seseorang.

Dari segi warna pula, lelaki klasik berpegang teguh kepada palet yang terhad, seperti putih, biru, kelabu dan hitam. Warna-warna ini kekal sebagai pilihan utama kerana sifatnya yang bersih, neutral dan timeless. Aksesori juga digunakan secara minimalis. Sapu tangan poket, tali leher dan boutonnière digunakan sekadar sebagai sentuhan akhir untuk menyempurnakan gaya, bukan untuk menonjol secara berlebihan. Bahkan jam tangan pada zaman itu direka dalam bentuk yang kecil dan ringkas. Kesederhanaan dalam gaya adalah intipati kepada daya tarikan sejati.

Lelaki Masa Kini

Gaya lelaki moden adalah refleksi langsung kepada perubahan zaman, dunia yang kini meraikan kepelbagaian, individualiti dan kebebasan ekspresi. Tidak seperti generasi terdahulu yang berpakaian mengikut garis panduan sosial yang ketat, lelaki moden berpakaian untuk mengekspresikan diri, mencipta identiti dan buat segilintir, mencabar norma tradisional.

Lelaki moden tidak lagi terhad kepada sut dan tie. Hari ini, mereka bebas menggabungkan elemen daripada pelbagai subkultur fesyen, sama ada streetwear, minimalism, athleisure, avant-garde, genderless dan sebagainya. Potongan oversized, seluar baggy, jaket utiliti, sneaker mewah, aksesori seperti beg silang dan rantai perak menjadi semakin biasa dalam penampilan harian.

Warna juga bukan lagi dikawal oleh stereotaip maskulin klasik. Merah jambu, ungu, hijau neon dan warna lembut kini menjadi sebahagian daripada palet lelaki moden. Malah, tekstil yang dahulunya dilihat feminin (seperti satin, sutera atau renda) kini digunakan dengan berani untuk mencipta gaya unik.

Bagi lelaki moden, setiap pilihan pakaian membawa maksud tersirat – siapa mereka dan apa yang mereka perjuangkan, serta bagaimana mereka mahu dilihat oleh dunia. Fesyen menjadi medium untuk menyampaikan nilai diri, sama ada minimal dan sofistikated atau berani dan eksperimental.

Mendefinisikan Semula Lelaki Kini: Gentleman Abad ke-21

Dalam dunia fesyen lelaki hari ini, tiada gaya yang ‘betul’ atau yang ‘salah’. Sama ada anda cenderung kepada gaya klasik yang penuh maskulin atau gaya moden yang bebas dan berani, kedua-duanya mempunyai nilai tersendiri.

Daripada lelaki klasik, kita belajar tentang disiplin, kekemasan, rasa hormat terhadap penampilan dan kekuatan dalam kesederhanaan. Gaya mereka mengajar kita bahawa berpakaian adalah satu bentuk tanggungjawab, bukan sekadar keinginan untuk kelihatan menarik. Ia tentang prinsip yang timeless.

Daripada lelaki moden, kita belajar tentang keberanian untuk mencuba, ekspresi diri tanpa batas dan keberanian untuk menolak stereotaip. Gaya mereka membolehkan lelaki meneroka pelbagai sisi diri, seperti lembut, kreatif, berani atau sensitif. Ia menjadikan fesyen sebagai saluran komunikasi peribadi yang jujur.

Namun karakter sebenar lelaki tidak terletak pada gaya semata-mata, tetapi pada nilai yang dibawa bersama penampilan itu. Seorang lelaki yang memakai sut tidak semestinya gentleman, manakala seorang lelaki yang memakai streetwear tidak semestinya rebel. Walaupun gaya lelaki berubah mengikut arus moden, nilai dan keperibadian seorang gentleman klasik masih boleh diterapkan dalam lelaki moden.

Saya percaya, tingkah laku yang beradab, hormat kepada orang lain dan nilai-nilai moral yang lain masih dihargai, sama ada oleh wanita, rakan-rakan, rakan sekerja mahupun ahli keluarga. Dan, inilah maksud sebenar gaya yang berkualiti – apabila kebebasan moden bertemu dengan prinsip klasik, maka lahirlah seorang lelaki yang bukan sahaja bergaya secara luaran, tetapi juga dihormati kerana keperibadiannya. Menyeimbangkan antara gaya dan karakter adalah kunci sebenar kepada gentleman moden.

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down