Garmin Malaysia memperkenalkan Approach G82. Sebuah peranti pegangan tangan yang menggabungkan fungsi launch monitor dan GPS golf dalam satu sistem bersepadu. Diperkenalkan sebagai alat pemanas badan sebelum permainan dan sokongan ketika di padang. Peranti ini menampilkan skrin sentuh berwarna bersaiz 5 inci dan yang terbesar pernah ditawarkan dalam rangkaian peranti golf pegangan Garmin setakat ini.

Melalui paparan resolusi tinggi, pemain boleh melihat maklumat terperinci bagi lebih 43,000 padang golf yang telah dimuatkan secara pra tetap. Dengan keahlian Garmin Golf, pengguna juga mempunyai akses kepada imej udara. Ia membolehkan visual padang dilihat secara fotografi bagi membantu memahami susun atur setiap lubang dengan lebih jelas.

Approach G82 direka untuk menyokong sesi latihan di driving range dan kawasan latihan putting. Antara ciri utama yang diperkenalkan ialah launch monitor terbina dalam yang menggunakan data radar untuk memaparkan metrik asas seperti kelajuan bola, kelajuan kayu, smash factor dan tempo. Data ini membantu pemain menilai dan melaraskan ayunan mereka secara lebih objektif.

Melalui fungsi bag mapping, pemain boleh merekod jarak sebenar setiap kayu ketika latihan. Maklumat ini kemudiannya diintegrasikan dengan ciri virtual caddie untuk membantu membuat keputusan semasa permainan sebenar. Mod latihan sasaran pula membolehkan pemain menetapkan jarak tertentu dan menilai ketepatan pukulan mereka berdasarkan julat ideal.
Ciri latihan tempo dan latihan kelajuan kayu turut disertakan bagi membantu pemain membina konsistensi ayunan, sama ada dengan atau tanpa memukul bola.

Di atas padang, Approach G82 menyediakan maklumat tambahan seperti cadangan kayu berdasarkan data ayunan terdahulu, faktor angin, elevasi dan lokasi halangan. Fungsi PlaysLike Distance pula melaraskan jarak pukulan berdasarkan keadaan persekitaran.
Dengan sambungan kepada aplikasi Garmin Golf dan peranti lain dalam ekosistem Garmin, pengguna boleh menerima kemas kini angin, pengesanan pukulan automatik (melalui sensor tambahan) serta jarak bendera yang lebih tepat apabila disepadukan dengan laser rangefinder yang serasi.

Direka untuk digunakan dalam pelbagai keadaan cuaca, Approach G82 mempunyai penarafan kalis air IPX7. Dari segi penggunaan, ia menawarkan sehingga 25 jam hayat bateri dalam mod GPS dan sehingga lapan jam dalam mod radar. Reka bentuk magnetik terbina dalam membolehkan peranti dipasang pada troli golf atau beg dengan mudah.

Pendekatan Garmin terhadap produk luarannya terus menekankan integrasi teknologi dengan pengalaman sebenar di lapangan. Melalui peranti seperti Approach G82, data dan analisis dijadikan alat sokongan bagi pemain golf untuk memahami permainan mereka dengan lebih mendalam tanpa menggantikan kemahiran atau intuisi di padang.