LANGGAN

Kelab Komedi New Gen: Ming Yue

Mencipta jenaka dengan platform untuk semua generasi
Published: April 28, 2026

Mengukir nama sebagai YouTuber Malaysia sejak tahun 2010, Ming Yue terus relevan dengan bereksperimen merentas pelbagai platform. Daripada sketsa digital ke pentas stand-up comedy. Berbekalkan humor berasaskan pemerhatian dan pengalaman seharian, dia membuktikan bahawa seni membuat orang ketawa sentiasa berkembang seiring perubahan zaman.

EM: Siapa anda?

MY: Saya seorang stand-up comedian. Pada masa yang sama, saya juga seorang pencipta kandungan yang bermula di YouTube dan kini turut mengusahakan perniagaan sendiri. Ketika era awal kegemilangan YouTube sekitar 2011 hingga 2012, kami merupakan antara perintis YouTuber di Malaysia bersama kumpulan seperti Jinny Boy dan ramai lagi pada waktu itu. 

Sejak itu, kami tidak pernah berhenti berkarya. Bezanya cuma pada format dimana sekarang kami bereksperimen dengan pelbagai medium baru. Daripada YouTube, kami beralih ke podcast dan kini menghasilkan rancangan seperti ‘Sip and Spill’ di TikTok dan Instagram. Dalam masa yang sama, saya juga aktif dalam dunia stand-up comedy

EM: Bila kali pertama anda tahu yang anda boleh buat orang ketawa?

MY: Saya rasa sejak kecil lagi kerana ayah saya seorang yang sangat kelakar dan saya percaya kami mewarisi sifat itu daripadanya. Seawal usia lima atau enam tahun, saya sudah sedar bahawa saya mampu bercerita dan membuat orang tersenyum atau ketawa dan itu sesuatu perkara yang saya nikmati. 

Semasa saya dibangku sekolah, saya sering dilabel sebagai ‘class clown’. Saya budak Cina yang agak berisi dan sentiasa menceriakan suasana malah guru-guru juga turut terhibur. Dari situ, saya teruskan sebagai kerjaya. Ketika mula menghasilkan sketsa di YouTube, saya sering menjadi watak komedi utama. Bagi saya, sifat melawak itu sudah sebati dalam diri, ia seperti DNA saya. Hidup tanpa gelak tawa terasa agak membosankan.

EM: Kelainan yang dibawa dalam jenaka.

MY: Saya banyak bergantung kepada pemerhatian. Sejak zaman YouTube lagi, kandungan kami sering berkisar tentang perkara-perkara harian seperti loghat, cara orang berinteraksi dan reaksi spontan dalam kehidupan seharian. Humor saya banyak diinspirasikan daripada manusia sebenar, situasi sebenar dan perbualan bersama rakan, keluarga dan orang sekeliling.

Bagi saya pendekatan ini perlu diteruskan dalam kandungan terkini. Saya melihat bagaimana orang berdepan dengan pelbagai cabaran hidup, namun pada masa sama saysa cuba mengingatkan bahawa masih ada sisi yang boleh ditertawakan kerana kita sentiasa ada ruang untuk ketawa walaupun dalam kesusahan.

EM: Bagaimana sebenarnya diri anda itu apabila off-camera?

MY: Ramai mengatakan saya tidak ada beza sama ada di hadapan atau di belakang kamera. Sudah tentu ada masa saya perlu serius apabila bekerja tetapi kebiasaannya saya masih individu yang sama.

Tambahan saya sebenarnya seorang yang introvert. Saya suka menghabiskan masa di rumah bersama isteri dan binatang peliharaan saya, kadang-kadang saya bermain permainan video, menonton televisyen atau membaca. Itu mungkin perbezaan paling ketara kerana ramai menganggap saya seorang extrovert, sedangkan saya selesa bersendirian dalam suasana tenang.

EM: Satu karakter yang tidak diketahui peminat/pengikut. 

MY: Saya percaya kebanyakan individu yang kelakar sebenarnya seorang yang banyak berfikir dan agak mendalam. Ramai mungkin tidak menyedari bahawa orang paling lucu juga sering menjadi individu yang paling reflektif dan berfikiran jauh. 

Satu perkara yang saya pelajari tentang diri sendiri ialah saya tidak terlalu peduli untuk mengejar trend. Ketika muda, saya seorang yang sangat FOMO tetapi semakin meningkat usia, saya sedar bahawa apabila pulang ke rumah, perkara itu tidak lagi penting. Tiada siapa benar-benar peduli dan itu memberikan ketenangan.

EM: Hobi apabila tidak sibuk bekerja. 

MY: Saya gemar membaca, bermain permainan video dan menonton pelbagai rancangan bersama isteri. Selain itu, saya juga suka membeli-belah. Sebelum membeli-belah saya akan membuat tinjauan terlebih dahulu seperti beg atau jam tangan sebelum membelinya.

Saya tidak kisah menghabiskan masa seminggu penuh di rumah. Saya selesa dengan rutin itu. Dari segi bacaan, saya tidak hanya tertumpu kepada buku serius, sekali-sekala saya membaca buku motivasi tetapi kebanyakannya saya lebih gemar novel fantasi. Antara penulis kegemaran saya ialah Brandon Sanderson kerana dunia yang dibina dalam karyanya sangat mendalam. Ia memberi ruang untuk saya ‘melarikan diri’ seketika daripada realiti.

EM: Rencana terbesar dalam perancangan kerjaya tahun ini. 

MY: Saya bakal mengumumkan jelajah stand-up comedy terbaru yang melibatkan Malaysia dan Singapura. Ia antara yang terbesar setakat ini, dengan sasaran lebih 2,000 penonton bagi setiap bandar. Lokasi yang dirancang termasuk Singapura, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching serta beberapa bandar antarabangsa seperti Sydney, Perth, Melbourne, sama ada Adelaide atau Brisbane dan juga England.

Saya juga ingin memberi perhatian kepada ‘Sip and Spill’, salah satu projek kegemaran saya bersama pasukan. Kini memasuki tahun ketiga atau keempat, rancangan ini menampilkan saya bersama hos lain, di mana kami duduk santai di kerusi perkhemahan, menawarkan kopi kepada orang ramai dan mendengar luahan mereka sama ada masalah atau apa sahaja yang mengganggu fikiran. Tahun ini, kami merancang untuk membawa ‘Sip and Spill’ ke peringkat antarabangsa termasuk ke Singapura, Indonesia dan Filipina.

Penyelaras & Penata Gaya: Ardi Idewani

Arahan Seni: Iera Nadzlim

Dibantu Oleh: Aishah Haziyah

Fotografi: Edmund Lee

Dandanan: Miedy Daniel

Solekan: Desiree

Pakaian: Sacoor Brothers & Wardrobe Privato

Teks oleh: M. Ridhwan Sa'aya & Nurhani Natasha

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down